Monday, December 04, 2023

DI SEBALIK MESEJ PRK KEMAMAN

DALAM konteks politik Sabah, walaupun informasi perkembangan politik di Semenanjung merentasi laut china selatan begitu pantas dan jelas akan tetapi kesannya lambat di negeri di bawah bayu itu.

Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) kali pertama kehilangan sokongan 2/3 di Dewan Rakyat walaupun BN menang besar di Sabah.

Pada PRU14, apabila kesan perubahan politik di Semenanjung sampai ke Sabah maka BN tumbang kali pertama sejak kewujudan negara sebagai negara merdeka.

Pada PRU15, PRN2023 dan PRK Kemaman, adalah fenomena perubahan sokongan kaum melayu di Semenanjung.

Khasnya PRK Kemaman pada 2 Disember, majoriti calon parti yang menang meningkat daripada 27,179 ke 37,220 (10,041 bersamaan 37 peratus). Menerusi pertambahan itu, secara jelas sokongan pada calon yang menang meningkat luar biasa, sedangkan calon yang dikalahkan adalah calon Kerajaan Persekutuan.

Sebelum penamaan calon, Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri mengatakan, bahawa Parlimen Kemaman adalah kubu kuat Umno. Merujuk kenyataan Pengerusi Umno Terengganu, kemenangan calon PAS pada PRU15 kerana rasuah. Kerana isu itu, maka mahkamah membenarkan pemetesyen daripada Umno yang menyebabkan kekosongkan kerusi.

Pada PRK itu, isu rasuah tidak lagi menjadi alasan bagi Umno, kerana calon PAS semasa kempen mengelak sebarang elemen rasuah mempengaruhi pengundi. Keputusannya calon PAS bukan sahaja menang dengan majoriti yang bertambah, malah undi yang diperolehi calon Umno menurun dengan drastik berbanding PRU15 jika menurut calon yang kalah pada PRU itu, kekalahan kerana isu rasuah.

Mulai daripada sekarang, parti-parti daripada Sabah perlu mencongak akan kemungkinan bakal berlaku di Semenanjung pada PRU16. Pada masa sama perlu meneliti dengan dekat akan hala tuju pengundi, kerana pengundi Sabah telah membuktikan pada PRU14, dengan tindakan menjadi sebahagian penyebab BN tumbang.

Di Sabah, isu tuntutan hak-hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah melekat pada sebahagian hati rakyat Sabah. Gagal menunaikannya boleh membawa malapetaka. Apa tah lagi, dalam kerajaan Persekutuan hari ini, terdapatnya pemimpin dan wakil rakyat yang menentang tuntutan 40 peratus hasil bersih kutipan hasil Persekutuan daripada Sabah dengan hujah jika Kerajaan Persekutuan memberikannya, maka Kerajaan Persekutuan menjadi muflis.

Parti-parti di Sabah mempunyai pilihan sendiri. Menerusi Sidang DUN Sabah pada 24-30 November lalu, rata-rata wakil-wakil rakyat (kecuali satu dua) mengangkat isu MA63, maknanya mereka telah merasakan denyut nadi rakyat Sabah berkaitan hak-hak Sabah dalam MA63.

Rata-rata pemimpin telah faham dan mengerti betapa pentingnya Sabah mengwujudkan satu kekuatan, kekuatan yang perlu diterjamahkan menerusi jumlah kerusi.

Hanya menerusi kekuatan sahaja boleh menjadi pemudahcara mengembalikan hak-hak Sabah dalam MA63. Apabila kekuatan menerusi jumlah kerusi, maka jumlah itu diperlukan oleh mana-mana parti di Semenanjung untuk menubuhkan kerajaan, maka mana-mana parti yang disokong mengerti, bahawa sokongan itu bersifat menang-menang.

Bagi mengwujudkan keadaan menang-menang, maka parti-parti di Sabah perlu memberi tahu rakyat Sabah, apapun perubahan yang berlaku di Semenajung bukan lah urusan rakyat negeri ini, melainkan rakyat negeri ini perlu menentukan hala tuju sendiri menerusi kekuatan yang diperlukan, bukan memerlukan. Kerana hanya menerusi diperlukan sahaja, untuk memastikan tuntutan dalam MA63 dapat direalisasikan secara tuntas.

Bertindak agar menjadi kekuatan yang diperlukan, maka rakyat Sabah perlu memberi mandat pada parti milik negeri, parti yang diurus oleh pemimpin sendiri, parti yang bersifat seperti rumah sendiri, dicatur, dijaga sendiri, tidak dipangaruhi oleh mana-mana pihak.

Rakyat Sabah perlu menerima hakikat, di Semenanjung, bakal berlaku perubahan besar pada PRU16, apabila kaum majoriti di sana, bakal memilih parti yang mereka sukai, iaitu Perikatan Nasional, khususnya Parti PAS.

Pemimpin Semenanjung dalam kerajaan sudah mula menerima hakikat bahawa kekuatan PAS di kawasan melayu sama dengan kekuatan DAP di kawasan kaum cina. Ertinya mereka mengakui, mana-mana parti selain PAS di kawasan kaum melayu, menyertai pilihan raya semata-mata untuk meraikan pesta demokasi seperti mana di PRK Kemaman.

Pun begitu rakyat Sabah tidak boleh mengikuti rentak sedemikian, kerana perlu mengambil iktibar sejarah 60 tahun, menjadi sebahagian yang menyokong telah merugikan rakyat Sabah. Rakyat Sabah perlu meletakkan diri menerusi parti yang diperlukan, bukan memerlukan.

No comments:

Blog Archive