Monday, September 04, 2023

PRK PULAI & SIMPANG JERAM-SEJAUH MANA NARATIF GELOMBANG RAKYAT?

DI ATAS kertas berpandukan PRN Johor dan PRU15, kombinasi undi PH-BN, maka calon PH pasti menang, kerana di Parlimen Pulai undi PH 64,900, BN 31,729 manakala PN 20,677 di DUN Simpang Jeram pula PH 8,749, BN 6062, manakala PN 6,350.

Walaupun komposisi undi sedemikian rupa, PN yang merupakan “underdog” cuba membawa naratif gelombang rakyat seperti mana berlaku pada PRN2023, 12 Ogos lalu.

Jika diteliti memang berlaku transformasi pola pengundian yang amat berbeza antara PRN Johor (Jan 2022), PRU15 (November 2022) dan PRN2023 (Ogos 2023).

“Gelombang Rakyat” boleh ditafsirkan sebagai gelombang orang melayu. Oleh kerana gelombang berkaitan orang melayu, maka hanya boleh dihubungkan dengan orang melayu yang mengundi pada 2 PRK ini.

Jika ditinjau jumlah undi masing-masing blok parti pada PRU15 di Parlimen Pulai, jika pengundi BN 100% berpaling tadah, kerana kesan gelombang melayu, sementara PH mengekalkan undi, secara matematik, PH tetap menang.

Akan tetapi lain kesudahannya jika orang yang melayu yang mengundi PH juga berpaling tadah.

Kalau lah pengundi melayu yang mengundi PH dan BN pada PRU15 masing-masing 25% dan 70% mengundi PN, maka PN boleh melakukan “upset”. Sementara di DUN Simpang Jeram pula, jika 70% pengundi BN pada PRN Johor mengundi PN, juga “upset” akan berlaku.

Walaupun PRN di dua kawasan ini tidak memberikan kesan pada Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri, akan tetapi sangat menarik untuk diberikan perhatian. Tumpuan utama adalah sejauh mana momentum naratif gelombang rakyat (gelombang melayu).

Gelombang melayu membolehkan parti-parti melayu akan berkuasa semula seperti mana sebelum PRU14. Tiada cara lain untuk parti-parti melayu mendapatkan kuasa melainkan menerusi gelombang melayu.

Di hadapan yang bakal dihadapi orang melayu adalah apabila persempadanan pilihan raya dikaji pada tahun hadapan yang bakal diwujudkan kawasan-kawasan baharu di kawasan-kawasan yang padat, terutama di kawasan bandar.

Jika ini berlaku, maka kerusi bukan majoriti kaum melayu akan bertambah, sementara kerusi majoriti kaum melayu mungkin kekal jumlahnya.

Kerana senario ini, maka PN mengajak pengundi melayu di Parlimen Pulai untuk tidak mengundi calon PH untuk menghalang PH-BN mempunyai sokongan 2/3 di Dewan Rakyat. Sokongan 2/3 membolehkan Perlembangaan Negara diubah termasuk meluluskan persempadanan baharu.

Kebiasaannya apabila gelombang sesuatu kaum berlaku maka akan berterusan, seperti mana dibuktikan oleh Tsunami kaum cina yang bermula pada tahun 2008 dan berterusan sehingga pada PRN2023.

Mana-mana pilihan raya selepas PRU2008, lebih 90% pengundi kaum cina yang keluar mengundi mengundi calon-calon DAP dan rakan parti itu.

Atas sebab itu, DAP adalah parti yang amat berjaya kerana menang hampir keseluruhan kerusi yang ditandingi. Sebagai contoh pada PRN2023, daripada 47 kerusi yang ditandingi parti itu, menang 46 (98%). Tiada parti yang boleh menyamai pencapaian parti itu dari segi rate kemenangan sejak tahun 2008.

Jika pada PRU-PRU akan datang, termasuk persempadanan semula, akan mendapati parti DAP merupakan single parti terbanyak di Dewan Rakyat, bukan kerana salah parti itu, melainkan salah parti-parti orang melayu.

DAP hanya mengajak semaksimum mungkin pengundi kaum cina mengundi parti itu, tidak terkesan berkaitan parti lain yang mewakili kaum masing-masing.

Jika parti-parti kaum melayu terpecah-pecah bukan salah DAP melainkan salah para pemimpin parti itu.

Bagi DAP jika jumlah kerusi diperlukan oleh mana-mana parti untuk menubuhkan kerajaan, maka parti itu akur, jika tidak, maka bersedia sebagai pembangkang untuk menjalankan fungsi semak dan imbang.

DAP untuk sementara, tidak “sangat” kemaruk berkaitan jawatan/kedudukan, seperti mana dibuktikan dalam Kerajaan Perpaduan Persekutuan, menerima 4 jawatan menteri tanpa banyak soal, walaupun parti itu adalah single parti yang terbanyak kerusi dalam PH atau parti-parti yang menyokong kerajaan Perpaduan.

Di masa akan datang, jika benar lah jumlah kerusi parlimen akan bertambah ke 300 daripada 222, maka setidak-tidaknya 30 kawasan tambahan itu kerana mengambil kira kepadatan pengundi, dan tentunya 30 kawasan itu berlokasi di bandar-bandar utama.

Kerana tren, mana-mana kerusi bandar akan dimenangi DAP, maka di masa akan datang, parti itu, sekurang-kurang memwakili 70 kawasan parlimen di Dewan Rakyat.

Dalam senario politik tanah air, sejak tahun 2008, parti DAP lah yang konsisten mendapat sokongan kaum yang mendokong parti itu. Sementara sokongan parti-parti lain berdepan pasang surut. Dalam senario sekarang, PN lebih kehadapan daripada segi sokongan kaum melayu, dan perlu dibuktikan pada PRK Pulai dan Simpang Jeram, apa kah momentum itu kekal. Jika tidak, maka akan kembali pada status quo, bahawa sokongan pada parti-parti yang mengharapkan sokongan kaum melayu kekal berhadapan sokongan pasang surut.

Apapun keputusan kaum melayu, akan dibuktikan pada 9 September ini, manakala pengundi kaum cina tiada keraguan mengenainya, kekal dengan calon yang disokong DAP, iaitu calon PH.

No comments:

Blog Archive