Saturday, January 28, 2023

BUDAYA TUMBANGKAN KETUA KERAJAAN DI SABAH

JIKA berlaku perubahan kerajaan menerusi pilihan raya, ianya lumrah dalam arena demokrasi, kerana ianya keputusan rakyat, sebaliknya diluar itu, bukannya mandat rakyat, akan tetapi keputusan wakil rakyat.

Bermula di Sabah pada tahun 1994, berlakunya perubahan kerajaan diluar pilihan raya, selepas itu berjangkit di Perak pada tahun 2009, kemudiannya merebak, sehingga memenuhi senarai panjang perubahan kerajaan di luar pilihan raya.

Salah satu jangkitan yang paling ketara adalah pada Februari 2020 dan Ogos 2021 yang melibatkan pergantian Kerajaan Persekutuan di luar pilihan raya.

Gerakan terbaharu menggantikan Ketua Kerajaan berlaku di Sabah, akan tetapi gerakan tersebut tidak mendapat sokongan majoriti.

Jika diteliti dengan lebih dekat, terutama di Sabah, tindakan menjatuhkan ketua kerajaan, digerakan oleh kawan sendiri, atau lebih dekat lagi oleh mereka yang seagama, kecuali era Tan Sri Harris Salleh.

Tun Mustapha dijatuhkan oleh kawan yang seagama, Tan Sri Pairin Kitingan oleh kawan dan seagama, Tan Sri Musa Aman juga oleh kawan dan seagama, Datuk Shafie Apdal juga mengalami keadaan yang sama.

Gerakan menggulingkan Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada awal tahun ini juga digerakan oleh kawan dan seagama, walaupun gerakan itu tidak mendapat sokongan majoriti, sehingga menjadi rekod politik Sabah, kerana kali pertama gerakan menggulingkan Ketua Menteri secara terbuka digagalkan.

Apa yang menarik untuk dianalisis, berkaitan gerakan menggulingkan Hajiji, adalah gerakan itu didominasi oleh mereka yang seagama dengan Ketua Menteri tersebut, dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak rakyat Sabah pada PRN-16, apabila majoriti rakyat Sabah yang seagama dengan beliau telah memberi restu menduduki jawatan Ketua Menteri.

Pergolakan pada 6 Januari, mendapati 54% ADUN beragama islam berpakat menggulingkan Hajiji, sementara bukan islam hanya 28%.

Para ADUN yang mempertahankan Ketua Menteri 72% bukan beragama islam (21 ADUN daripada 29), sementara yang beragama islam 46% yang melibatkan 23 ADUN daripada 50 ADUN beragama islam.

Pengajaran apa yang diperolehi pada gerakan terbaharu ini? Bahawa politik Sabah tidak berubah dan kekal sama seperti mana sebelum ini, yang membawa maksud, para pemimpin politik Sabah tidak mahu menjadi kuat, mewakili rakyat Sabah melalui satu suara, berbeza dengan negeri jiran- Sarawak, yang bersatu hati sebagai satu suara.

No comments:

Blog Archive