Sunday, December 04, 2022

TIADA MENTERI BN SABAH DALAM KABINET PERSEKUTUAN-JANGAN SALAHKAN ANWAR

KALAU ikutkan laporan berbagai platform media, komposisi kabinet yang diterajui Datuk Seri Anwar, adalah hasil keputusan bersama parti-parti yang menyokong kerajaan, walaupun pada hakikatnya kuasa menamakan barisan kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri, akan tetapi, kerajaan yang dibentuk berkeadaan luarbiasa, maka hak itu dilunakkan.

Kalau melihat barisan kabinet Datuk Seri Anwar, ianya terdiri daripada 8 daripada PKR, 6 daripada Umno, 5 daripada GPS, 4 DAP, 2 Amanah, 1GRS, 1UPKO dan seorang profesional.

Yang menjadi perhatian, daripada 6 menteri Umno, hanya 4 merupakan wakil rakyat yang menang, manakala dua lagi kalah, tetapi dilantik sebagai anggota Dewan Negara (senator), dan semua mereka itu daripada Semenanjung.

Jika berpandukan sumbangan BN Sabah pada keseluruhan 30 kerusi BN, sekurang-kurangnya seorang menteri dariapada Sabah mewakili BN dalam kabinet, akan tetapi, Umno memutuskan sebaliknya, termasuk mencadangkan mereka yang kalah menganggotai kabinet.

Berpandukan pada kementerian yang digalas wakil rakyat Umno, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Pertahanan dan Luar Negara, boleh diisi wakil BN Sabah, kerana duluan sebelum ini, kementerian-kementerian tersebut pernah disandang pemimpin Sabah, Tun Mustapaha (Pertahanan), Kemajuan Desa dan Wilayah (dulu KKLW)- Datuk Shafie Apdal, dan Datuk Anifah Aman (Menteri Luar).

Mempertikai keputusan Datuk Seri Anwar tidak melantik wakil BN daripada Sabah sebagai menteri, tidak sepatutnya dibebankan pada PM-10 itu, akan tetapi perlu dirujuk pada pemimpin BN khususnya Umno sendiri.

Wakil BN Sabah antara lain Pengerusi BN Sabah- Datuk Bung Moktar Radin terkilan kerana tiada penyertaan BN Sabah dalam kabinet Persekutuan, dan terbaharu kekecewaan MP Kalabakan- Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Bagi penulis, perlantikan hanya dua menteri daripada Sabah yang diberi porfolio Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah & Sarawak, adalah penilian Perdana Menteri, bahawa rakyat Sabah sangat memerlukan dua porfolio tersebut yang dikomplemen oleh Kementerian Kemajuan Desa dan wilayah; Kementerian Perladangan dan Komoditi, berbanding kementerian-kementerian lain.

Lagipun, sebagai kabinet fungsional, Anwar melihat keperluan rakyat Sabah secara menyeluruh, dan tidak terikat pada mana-mana individu atau parti, sebagai gambaran penyertaan.

Rakyat Sabah secara umumnya memerlukan pembelaan, dan iannya boleh dilakukan menerusi kabinet fungsional.

Sabah dilihat tidak memerlukan anggota kabinet bagi makasud politik, sebaliknya anggota kabinet yang bersifat “working cabinet member” dan ianya boleh digalas dua anggota anggota kabinet daripada Sabah.

Senario politik Sabah tidak seperti negeri jiran Sarawak yang bersepakat antara satu sama lain, di Sabah adalah sebaliknya.

Politik Sabah memilih menjatuhkan antara satu sama lain, kerana masing-masing pemimpin mahu menjadi kapten politik Sabah.

Ketua Menteri Sabah hari ini, sudah berulang-ulang berkata, malah merayu semua pemimpin politik perlu bekerjasama, kalaupun tidak mahu sebumbung, demi Sabah dan rakyatnya.

Menerusi “Kerajaan Perpaduan” yang diketuai Anwar, nampaknya untuk sementara semua pemimpin politik negeri sudah “sebumbung” kerana semua menyokong Kerajaan Persekutuan. Malangnya, masih ada bersuara sumbang, hanya kerana isu penyertaan dalam kabinet.

No comments:

Blog Archive