Tuesday, October 18, 2022

SHAFIE CUBA RACUN RAKYAT- GRS -BN TEBANG BALAK

DATUK Shafie Apdal siap menyebut nama “Majid Khan” tebang balak, sehingga gajah-gajah keluar daripada hutan merayau-rayau di perkampungan penduduk. Selain itu, Presiden Warisan itu dengan sinisnya, jika gajah-gajah dapat mengundi pasti mengundi Warisan.

Shafie mendabik dada, kononnya kerajaan Warisan yang larang eksport balak, maka membawa erti tiada balak yang ditebang, sedangkan faktanya, tidak sampai sebulan jadi Ketua Menteri pada Mei 2018, bersusun lori-lori balak di jalan-jalan raya dengan balak segar-segar, ertinya balak baharu ditebang.

Apabila lori-lori balak dengan kayu-kayu segar diviralkan di media sosial, Jabatan Hutan Sabah tampil memberi penjelasan, kononnya semua balak-balak tersebut daripada kawasan konsensi Yayasan Sabah.

Melarang eksport tidak bermakna tiada balak yang ditebang, sedangkan dalam tempoh 27 bulan kerajaan Warisan, luar biasa aktiviti penebangan balak, sehingga berlaku beberapa gajah mati kerana terperangkap lumpur.

Ironinya semasa Kerajaan GRS-BN yang mengambil alih kerajaan negeri pada September 2020, sehingga sekarang, tiada lori-lori balak-balak yang membawa kayu yang baharu ditebang diviralkan berkeliharan di jalan-jalan raya, akan tetapi, Shafie membuat dakwaan pula, bahawa berlaku penebangan balak berleluasa yang dilakukan oleh seseorang yang disebutkan.

Shafie mempunyai kepakaran mempengaruhi fikiran rakyat dalam masa singkat dengan menanamkan tuduhan-tuduhan yang mudah membangkitkan kemarahan rakyat.

Malangnya, tiada pemimpin GRS-BN yang khusus ditugaskan untuk menyanggah tuduhan-tuduhan seumpama ini, sebelum ianya benar-benar diterima rakyat sebagai betul.

Shafie berhujah di depan rakyat perkara-perkara remeh, umpama memberi akronim pada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai Gabungan Rompak Sabah, dengan memberi tafsiran yang mengarah kepada kemarahan rakyat, seperti ramainya tauke-tauke balak, atau kontraktor membayar wang pada pemimpin, samada untuk tujuan menebang balak atau mendapatkan projek.

Shafie boleh berkata dengan kronologi dan proses yang lengkap untuk menggambarkan kaedah merompak, kerana keadaan itu memang-memang berlaku, bukan era GRS-BN, akan tetapi era Kerajaan Warisan.

Semasa jelajah di Matunggong, Shafie boleh mendakwa ada orang-orang Warisan membawa wang berguni-guni di Hotel Marco Polo, Tawau untuk diberikan pada Presiden Warisan itu semasa berjawatan Ketua Menteri, dan wang itu bertujuan, supaya kerajaan Warisan membenarkan membalak, tetapi tidak menyatakan apa kah wang itu dikembalikan, tetapi menembak pula ke arah orang lain.

Dalam politik, perkara utama adalah menakluki pemikiran rakyat, termasuklah persepsi. Kerana demikian lah permainan politik, maka parti bukan kerajaan atau pembangkang, menggunakan pendekatan membakar semangat selain menaklukinya dengan dakwaan yang dekat di hati dan fikiran rakyat.

Shafie cuba menawan hati rakyat dengan isu-isu sederana, kerana isu-isu ringan sebegini diambil mudah oleh kerajaan, sedangkan di sisi rakyat, adalah isu besar.

Pemimpin kerajaan, tertumpu pada majlis rasmi, majlis penerangan, akan tetapi terhad capaiannya, kerana disampaikan di pentas berkelas bintang, dan ianya hanya santapan mereka yang seangkatan, tidak sampai ke kaki lima atau warung-warung. Pendekatan yang berbeza ini lah yang digunapakai Shafie untuk meracuni pemikiran rakyat, untuk menawan fikiran dan hati mereka.

Penulis melihat sehingga kini, pemimpin GRS-BN macam memandang sebelah mata pada keupayaan Presiden Warisan itu, sehingga tiada kaedah khusus yang digunakan untuk memantau, menangkis atau counter-attack, seolah-olah membiarkan apa sahaja tindakan ADUN Senallang Semporna tersebut.

Sempena PRU-15 ini, GRS-BN hanya fokus berkaitan kerusi yang ditandingi, untuk mengelak pertembungan, dan percaya dengan pendekatan itu, maka dapat membendung terobosan Warisan, sedangkan perkara pokok yang patut diberi perhatian adalah “winning the heart and mind” rakyat dalam masa-masa kritikal ini.

Dalam suasana pilihan raya, rakyat lebih tertarik pada isu-isu semasa atas sebab itu, GRS-BN kena counter-attack apa sahaja isu yang berbangkit. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive