TIDAK timbul sebarang isu keputusan Parti KDM meletakkan calon-calon pada PRU-15 ini walaupun sebelum ini bersungguh-sungguh sangat menyertai GRS dan secara terbuka menyokong kerajaan GRS-BN.
Oleh kerana parti yang dipimpin mantan Naib Presiden Parti Warisan tersebut hanya bertindak sepihak berkaitan hasrat menyertai GRS, maka status parti itu kekal sebagai parti tidak berkaitan langsung dengan GRS; manakala kenyataan parti itu menyokong kerajaan negeri, adalah hak parti itu, dan tiada komen yang tepat mengenainya, hanya ucapan terima kasih.
Berhubungan kenyataan Setiausaha BN Sabah- Datuk Jafry Ariffin yang meminta Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS untuk membuat pendirian sepatutnya tidak timbul, kerana memangpun tiada sebarang penjelasan atau pendirian yang perlu dibuat memandangkan tiada hubungan rasmi antara GRS dan parti yang dipimpin oleh ADUN Melalap tersebut.
Pengumuman parti serpihan Parti Warisan meletakkan calon-calon dan bertindak seperti parti-parti lain yang terpaksa dihadapi calon-calon GRS-BN, adalah sebahagian kemeriahan PRU kali ini, dan memperkuat lagi andaian penulis, calon-calon yang menang, bukan kerana undi popular akan tetapi kesan daripada pertembungan berbagai penjuru.
Pada hakikatnya penyertaan KDM memberi peluang pada calon-calon GRS-BN, kerana parti itu akan hanya mendapat sokongan segelintir penyokong Parti Warisan, bukan penyokong parti lain. Jika parti itu umpamanya mendapat sokongan signifikan, ertinya sokongan pada Parti Warisan semakin berkurang.
Pandangan penulis, penyertaan parti itu di kawasan-kawasan panas seperti Parlimen Kota Marudu, Sepanggar, Papar dan Kimanis sangat dialu-alukan, atas sebab ianya memberi peluang besar pada calon-calon GRS dan BN untuk menang.
No comments:
Post a Comment