Monday, March 21, 2022

LOJIK JIKA PBS TANDING PARLIMEN TUARAN

ADA kelojikan jika PBS bertanding di Parlimen Tuaran mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU-15.

Parlimen Tuaran sebelum ini ditandingi parti UPKO mewakili Barisan Nasional (BN) sehingga PRU-14 tahun 2018 yang lalu. Parti UPKO bukan sahaja keluar daripada BN, akan tetapi telah menyebabkan kerajaan BN yang dibentuk selepas PRU itu tumbang.

Walaupun secara tradisinya parlimen Tuaran ditandingi BN, akan tetapi berasaskan rekod pada PRN-16 Sabah, parti yang menonjol di kawasan parlimen tersebut adalah PBS, kerana telah menang dua kawasan DUN, iaitu Kiulu dan Tamparuli, manakala dua DUN lagi yang juga termasuk kawasan parlimen tersebut DUN Pantai Dalit dan DUN Sulaman, masing-masing diwakili Umno dan Bersatu.

Pada PRN-16 Sabah, undi calon Bersatu dan PBS berjumlah 16,769, Warisan, UPKO dan PKR berjumlah 12,006, manakala Umno 6,868.

Jika bersandarkan pada keputusan tersebut, maka calon GRS mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menang.

Pada PRU-15 yang membabitkan hanya kawasan parlimen di Sabah, banyak kawasan-kawasan kelabu  bagi mana-mana parti, jika berlaku pertembungan tiga penjuru, apa tah lagi ditambah dengan sifat pengundi Sabah yang sukar diramal, kerana mudah sangat berubah.

Keputusan PRN-16 Sabah, tidak semestinya menjadi panduan, apa tah lagi telah berlakunya perubahan senario politik semasa ekoran keputusan PRN Sarawak, Melaka dan Johor.

Walaupun demikian, tindakan beberapa parti yang menerajui Kerajaan Sabah pada hari ini, memperkukuh kedudukan menerusi sebuah entiti melalui pengambungan menerusi gagasan besar- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan hanya menggunakan satu lambang semasa berhadapan dengan PRU tersebut, menambah peluang untuk mendapat undi yang lebih banyak berbanding parti-parti lain.

No comments:

Blog Archive