UMNO jangan dulu merasa kuat, dan yakin menang, kerana berhadapan rakyat atau pengundi itu keputusan yang pasti adalah kekalahan, manakala kemenangan perlu melalui perjuangan dan usaha yang gigih dan kental, selain dibantu gerak kerja yang teratur dan tersusun.
Jangan kerana mempunyai rekod di peringkat akar umbi, maka mengandaikan, rekod itu kekal dan tidak berubah. Jika itu jadi sandaran, ianya satu kesilapan, kerana tidak mengambil iktibar kepada kekalahan pada PRU-14.
Kekalahan pada PRU-14 sebenarnya telah menoktahkan rekod bertahun, dan digantikan lembaran baharu.
Para pemimpin UMNO, kena mengambil iktibar, bagai mana sebuah parti seperti Warisan yang berumur setahun jagung, boleh menang 21 kerusi DUN, dan 15 daripadanya DUN tradisi UMNO.
Jika berpandukan kepada lamanya parti dan lamanya bertapak diperingkat akar umbi, syogianya, UMNO tidak boleh kalah sehingga 15 kerusi, jumlah yang hampir separuh daripada jumlah kerusi yang ditandingi. Apa yang malang lagi, calon parti yang kalah tersebut, mempunyai kedudukan sebagai menteri dan Timbalan Ketua Menteri, selain mereka yang berjawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan.
Menjelang PRN Sabah pada 26 September (jika mahkamah tidak membenarkan semakan kehakiman pembubaran DUN pada 30 Julai, 2020), UMNO kembali kepada cara lama, sombong, angkuh, abang long, seakan-akan tidak memerlukan rakan-rakan lain.
Tindakan, hujah para pemimpin Umno, tercermin membuli rakan-rakan lain, khususnya mantan teman-teman yang berpindah rumah. Hujah mereka, bahawa para pemimpin itu, seolah-olah langsung tiada penyokong pribadi, dan hijrah mereka, langsung tidak berkesan di peringkat akar umbi, makna kata, siapapun bakal dicalonkan di kawasan-kawasan mantan-mantan pemimpin tersebut, asalkan calon parti, maka akan menerima sokongan yang sama. Jika itu pegangan para pemimpin Umno, maka ianya satu kesilapan besar, kerana yang dihadapi itu adalah manusia yang tahu rasa, tahu melihat, tahu mengadili.
Mungkin di kalangan pemimpin Umno, tidak dapat menerima hakikat, bahawa hijrah atau pindah rumah mantan-mantan pemimpin itu, bukan untuk menyelamatkan diri sendiri, akan tetapi para pengundi yang memilih. Pemimpin yang bijak, adalah pemimpin yang mampu menjadi penyelamat kepada para penyokong dan pengundi, bukan membiarkan diri sendiri karam bersama penyokong, hanya kerana mempertaruhkan PRINSIP.
Jika tingkah laku pemimpin Utama UMNO, masih kekal dengan takok lama, tidak menghairankan, rakyat sekali lagi menghukum mereka dalam PRN Sabah kali ini.
No comments:
Post a Comment