Friday, December 04, 2009

Pas Kelantan Sokong Penuh Tok Guru Nik Aziz

PAS Kelantan pada Jumaat menyatakan pendirian dan sokongan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menangani kemelut yang berlaku dalam pentadbiran dan politik di negeri itu termasuk tuntutan royalti minyak daripada kerajaan pusat.

"PAS Kelantan tetap memberi sokongan dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan Nik Aziz dalam pentadbiran dan parti," kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Mohd Zaki Ibrahim ketika berucap di majlis perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada Nik Abdul Aziz yang dihadiri kira-kira 3,000 penyokong di Dataran Ilmu di sini.

Perhimpunan itu diadakan sempena kuliah mingguan Mursyidul Am PAS itu di dataran itu yang bermula 8 pagi. Hadir sama, Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri.

Beberapa sepanduk dan kain pemidang turut dipasang di sekitar lokasi itu sebagai tanda sokongan dengan sebilangan anggota Pemuda parti memakai lilit kepala berwarna merah yang bertulis "We Love Tok Guru".

Mohd Zaki yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kelaboran, kemudiannya menyerahkan memorandum sokongan kepada Nik Abdul Aziz.

No comments:

Blog Archive