Friday, October 23, 2009

Nizar-Anwar: Najib-Musa Aman: Coba Baca Catitan Ini: Ambillah Iktibar

Ustaz Haji Yusof Abdul Rahman telah lama kembali ke kampung halamannya. Beliau berasal dari Melaka. Selama beberapa tahun, beliau bertugas sebagai guru agama di Sekolah Ugama Islam (SUI) An Nuar, Kampung Taun Gusi Kota Belud dalam tahun-tahun 70-an dan 80-an.Saya sempat menjadi muridnya meskipun sebentar.

Tetapi nama inilah yang akan kita temui kalau kita mengkaji bagaimana mulanya anak-anak Kota Belud terdorong untuk belajar di sekolah-sekolah pondok di merata tempat di Tanah Melayu."Beliau datang sendiri ke rumah kami, jumpa ibubapa kami .Kemudian tanya berapa ekor kerbau milik kami," kata Ustaz Daiman Salalah, salah seorang pelajar yang pernah belajar di Kedah dan Pulau Pinang.

Ketika itu masih ramai orang yang memiliki kerbau di kampung. Ustaz Yusof mencadangkan supaya seekor kerbau dijual untuk mendapatkan tambang penerbangan untuk menyambung pelajaran di semenanjung.

Beliau sendiri yang datang ke rumah, itulah sebabnya ramai pelajar dari kampung Tamau, selain dari kampung-kampung lain juga, untuk belajar disekolah pondok Semenanjung khususnya Kedah dan Pulau Pinang, kata Ustaz Daiman lagi ketika saya menemubualnya di kantin Yayasan Sabah.

Kemudian ramai di antara mereka mendapat dermasiswa dari Yayasan Sabah tetapi kehidupan di pondok, memang menuntut mereka untuk berdikari sendiri.Antara pelajar pertama dari Kampung Tamau yang bersekolah di sekolah agama di Semenanjung, ialah Ustaz Haji Awang Laiman Haji Ekin.Beliau mula belajar di Sekolah Khairiyah pada tahun 1981.

Pemergian Awang Laiman ke semenanjung kemudian diikuti oleh Ustaz Abdullah Maria, Ustaz Matning Rajunah, Ustaz Daiman Salalah, Ustaz Saifudin Haji Sepion, Ustaz Abdi Haji Mansor, Ustaz Satri Putong dan Imam Khatab Haji Ekin.

Sebelum itu, seorang lagi pelajar Mokdin Haji Mansor pernah belajar di Pasir Putih sebelum melanjutkan pelajaran di Maahad Muhammadi Kota Bharu.

Bagaimanapun, peluang belajar di sekolah agama dan sekolah sekolah lain juga dimanfaatkan dengan baik oleh pelajar-pelajar itu dengan memberi galakan dan dorongan kepada anak-anak kampung selepas mereka untuk melanjutkan pelajaran di Semenanjung, juga dengan belanja sendiri.

Ketika itu, untuk ke Semenanjung, payahnya bukan main. Keluarga harus menjual sapi atau kerbau, menggadai sawah mereka semata-mata untuk memastikan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran demi untuk masa depan mereka.

Bahkan ada di antara mereka mencuba nasib belajar di Semenanjung selepas gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan di SMK Taun Gusi.Lewat tahun 87, Amirun Haji Rajun (Rampayan Ulu) , Ahmad Shah Buludtu, Ahmad Jaidin Kumai menyusul untuk belajar di Pokok Sena.

Sebelum itu, mereka juga turut belajar di Yayasan Budi, sebuah sekolah yang diusahakan ABIM sekitar penghujung 80-an di Kota Kinabalu.Selepas itu, semakin ramai pelajar dari Kota Belud yang mengecap pelajaran mereka (dengan belanja sendiri) ke Semenanjung.

Selepas menamatkan pelajaran di sekolah agama di Khairiah, ada beberapa pelajar melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, antaranya Ustaz Haji Awang Laiman Haji Ekin, Ustaz Abdullah Maria dan Ustaz Matning Rajunah.

Ustaz Matning terpaksa dari Jordan angkara Perang Teluk manakala Awang Laiman dan Ustaz Abdullah yang belajar di Universiti Al Azhar pulang ke tanahair selepas beberapa tahun di bumi seribu menara itu.

Bagaimanapun, Ustaz Daiman Salalah dan Ustaz Satri Putung, kemudian mengambil langkah untuk melanjutkan pelajaran ke IAIN Sunan Gunung Jati Bandung. Saudara Akmal @ Kamia Haji Abdullah juga belajar di Sunung Gunung Jati dalam bidang sejarah.

Ketika itu, antara pelajar Sabah yang belajar di Bandung termasuklah Drs. Edham Haji Sakmad, Ustaz Norjeli Haji Deli (Tuaran), Aziz Muji (Ranau) Japran Haji Kusin, Ustaz Meli dan lain-lain lagi.

Penghantaran pelajar ke Semenanjung Malaysia dengan perbelanjaan sendiri ini pernah disoroti antaranya oleh arwah Dr.Datu Bandira Datu Alang dalam bukunya Iranun Sejarah dan Adat Tradisi.

Pemergian puluhan pelajar untuk belajar di sekolah agama di Semenanjung menjadikan Kampung Tamau terkenal berbanding kampung-kampung lain di Kota Belud.

Kampung Tamau bukan saja melahirkan ramai pelajar lulusan agama, malah kampung itu juga melahirkan ramai qari dan qariah. salah seorang yang pernah menjadi wakil sabah ke peringkat Kebangsaan , ialah Imam Madli Haji Mansor.Ayahnya seorang guru mengaji quran. Ramai muridnya yang telah berjaya menjadi qari dan qariah.

Imam Madli dan saudara-saudaranya, antaranya Ustaz Abdi, Rafli dan lain-lain pernah menjadi juara qari di daerah Kota Belud.

Perkembangan agama di Kota Belud sebenarnya bermula lebih jauh dari itu. Ada riwayat yang menyatakan menyatakan bahawa nama Tamau itu, Apu' Tamau itu sendiri adalah guru mengaji.

Sebab itu, Tamau mendapat namanya Kampung Tamau, satu pendapat yang kemudian mendapat sanggahan daripada pengkaji yang lain.

Namun hakikat bahawa Apu Tamau, seorang guru mengaji diakui kerana masih ada mengakui nenek moyang mereka pernah berguru dengan Apu Tamau itu.

Guru-guru mengaji yang lain ialah Haji Omar (Paka'), seorang ilmuan tradisi yang sukar dinafikan kedalaman ilmunya. Selain itu, Haji Samad Lantukan juga pernah menjadi guru.

Tetapi antara reformis yanga agak terkenal ialah Imam Sidek (Guru Sa dalem a alad) yang pernah belajar dengan Imam Suhaili Haji Yakub di Putatan. Haji Mohd.Salleh (Haji Sebang) juga mempunyai murid mengaji yang ramai.

Kecuali Tuan Guru Sidek, hampir kesemua mereka hanya mengajarkan ilmu bacaan al-Quran namun Guru Sidek juga mengajarkan mengenai fiqah, tauhid dan sebagainya.

Namun kepulangan Awang Laiman dari belajar pondok di semenanjung sempat juga menghasilkan pertentangan antara fahaman tradisional dan lain-lain lagi. Beliau pada mulanya dilihat agak `keras' dalam menentang sesuatu yang dianggapnya amalan kurafat dan bidaah dalam masyarakat.

Contohnya ialah `pangalay' amalan perubatan tradisi yang dilihat bercanggah dan juga amalan meletakkan `bangkai-bangkaian' di tengah rumah apabila berlaku kematian.bangkai-bangakian itu merupakan pakaian dan barang kepunyaan arwah yang diletakkan di tengah rumah yang menandakan bahawa ada orang yang berpulang ke rahmatullah di rumah itu.

Bagaimanapun ada orang-orang tua yang menganggap bahawa itu adalah ganti simati dan menangisinya. Selain itu, terdapat juga amalan untuk memberi jamuan kepada orang ramai yang berziarah ketika berlaku kematian.Ada diantaranya malah sanggup berhutang semata-mata untuk menjamu orang ramai.

Padahal sepatutnya mereka yang datang itulah yang menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga simati.Inilah antara lain, yang ditentang oleh Ustaz Awang Laiman dan kawan-kawan ketika itu. Namun, akhirnya amalan ini sedikit demi sedikit hilang hasil kegigihan mereka yang menjalankan dakwah dengan penuh berhikmah selepas itu.

Kepulangan mereka dari belajar di sekolah agama di semenanjung memang membawa banyak kesan dalam bidang sosial budaya di kampung Tamau.

Bahkan dari segi politik juga, masyarakat di kampung Tamau adalah antara kumpulan yang tidak segan-segan menyatakan pendirian politik mereka, dari dahulu ketika zaman USNO,BERJAYA,PBS dan UMNO kini.

Malah sebahagian mereka tidak berasa canggung untuk menyatakan sikap politik meskipun berlawanan dengan arus politik perdana.Bangkitnya kesedaran di kalangan masyarakat, sama ada dari kesedaran sosial, pendidikan, agama, politik dan sebagainya pada masa kini , saya kira tidak terlepas daripada peranan dan dorongan yang dimainkan oleh pendahulu-pendahulu mereka dan kesedaran ibu bapa mereka yang hidup dalam keadaan daif dan miskin.

Perlu juga dicatatkan bahawa orang pertama dari SK Tamau (dibuka pada tahun 1966), yang lulus dan mendapat ijazah yang disebut `kopia a pasagi' ialah saudara Musram Haji Rakunman yang lulus sebagai sarjana dalam bidang agribisnis dari Institut Pertanian Bogor (IPB).

Di susuli kemudian Razak Rakunman dalam bidang Forestry dari Southern Illinois University (SIU) Carbondale (USA), Akriah Haji Abdullah dalam bidang Farmasi di USM. Selepas tiga nama itu, kampung Tamau menghasilkan ramai graduan, termasuk di kalangan mereka berkelulusan peguam-Rupilin Alik, dan ramai lagi graduan sama ada dari universiti tempatan dan luar negara.

Ada diantara mereka mengecap pendidikan hingga peringkat tinggi.Bagaimanapun, saya melihat usaha yang dimainkan oleh Ustaz Haji Yusof Abd.Rahman, -yang telah kembali ke kampung halamannya, yang gigih memujuk ibubapa untuk menyekolah anak-anak mereka dan mengingatkan ibubapa betapa pentingnya pendidikan, adalah satu titik penting dalam sejarah perkembangan sosial di kampung itu, yang pada gilirannya turut mewarnai senario perkembangan sosial di daerah itu.

No comments:

Blog Archive