Sunday, April 27, 2014

Kekuatan Malaysia Terletak Kepada Kepelbagaian-Etnik-Agama: Obama

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata Malaysia boleh mencari kekuatan daripada kepelbagaian etnik dan agama rakyatnya serta harapan yang terlakar dalam sejarah untuk mengukir masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.

Berucap pada majlis jamuan negara di Istana Negara sempena lawatan negara tiga hari beliau ke Malaysia, Obama berkata walaupun Amerika dan Malaysia adalah dua negara berbeza, namun rakyatnya berkongsi harapan dan hasrat yang sama. 

"Saya percaya, tidak kira sama ada kita berasal dari sebuah kampung terpencil atau bandar raya megah, sama ada kita tinggal di Amerika atau di Malaysia, sebagai manusia, kita berkongsi hasrat yang sama - untuk hidup dengan bermaruah dan aman. 


"(Kita ingin) mencorakkan masa depan kita sendiri, boleh mencari rezeki dan bekerja keras untuk menyara keluarga. Dan paling penting, mewariskan kepada generasi akan datang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkan untuk kita," katanya.

Inilah hasrat yang beliau percaya boleh memberi sinar lebih gemilang kepada era baharu dalam perkongsian antara Amerika dan Malaysia, kata Obama pada majlis itu yang diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Pemimpin Amerika itu menyelit beberapa perkataan Melayu dalam ucapannya, sesuatu yang disambut baik oleh hadirin seperti yang terpamer daripada tepukan bergemuruh mereka.

Ketika memulakan ucapannya, Obama mengucapkan "Selamat Petang" dan mengakhirnya dengan ungkapan "Terima kasih banyak". 
Beliau juga menggunakan perkataan "bekerjasama" apabila menyentuh tentang perkongsian antara Amerika dan Malaysia serta "boleh spirit" bagi merujuk kepada slogan "Malaysia Boleh".

Obama mendarat dengan pesawat khas di ibu negara pada kira-kira jam 5 petang untuk melakukan lawatan ke Malaysia sebagai sebahagian daripada siri jelajah beliau ke empat negara Asia, bermula dengan Jepun dan diikuti Korea Selatan. Destinasi terakhir beliau ialah Filipina.

Kunjungan beliau ke sini adalah yang pertama oleh presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun, sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson ke Malaysia pada 1966.

Mengimbau kembali lawatan Johnson ke sini, Obama berkata bekas presiden Amerika itu menulis dalam memoirnya "betapa kagumnya beliau tentang kesegaran dan minat luar biasa yang beliau lihat pada wajah rakyat di sini dan di seluruh Asia Tenggara".

"Dan saya juga begitu ingin melihat semangat 'boleh' yang sama itu esok, apabila saya berpeluang berbicara dengan anak muda dari seluruh Asia Tenggara di Universiti Malaya," kata Obama pada majlis itu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. 

Sambil menoleh kepada Najib, beliau berkata: "Tuan Perdana Menteri, saya amat berharap kita boleh bekerjasama dan saya berikrar akan menyuntik semangat yang sama ke dalam usaha kita.

"Malam ini, saya hanya ingin menyampaikan ucapan terima kasih saya atas kemurahan hati yang anda pamerkan kepada kami hari ini -- kemurahan hati yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia kepada keluarga saya sejak pemilihan saya (sebagai presiden)."

Obama menceritakan kepada hadirin satu episod dalam kehidupannya berkaitan kesukaan ibunya terhadap batik, kain yang tidak asing kepada rakyat Malaysia.

Beliau bercerita tentang pameran batik yang memperagakan sebahagian daripada koleksi batik milik ibunya yang dianjurkan Muzium Keseniaan Islam Malaysia dua tahun lalu.

"Ibu saya memang sukakan batik. Saya masih ingat ketika masih kecil dan membesar di Jakarta, beliau akan pulang ke rumah dari pasar dengan tangannya penuh menjinjing kain batik dan membentang kain itu di dalam rumah untuk menghayatinya sebelum dijadikan pakaian.

"Oleh kerana saya masih kecil ketika itu, saya tidaklah seteruja seperti beliau," tambah beliau dan disambut dengan ketawa oleh hadirin.

Menurut Obama, bagi ibunya, batik bukan hanya sekadar satu fesyen, tetapi hasil usaha dan punca rezeki bagi ibu dan wanita muda yang begitu tekun menghasilkannya.

"Ia adalah jendela untuk menjengah ke dalam kehidupan orang lain - budaya dan tradisi mereka serta harapan mereka. Dan ia begitu bermakna serta menjadi sebahagian daripada semangat beliau.

"Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana meraikan sebahagian daripada kehidupan ibu saya itu. Terima kasih semua," katanya.

Obama juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas layanan luar biasa yang ditunjukkan kepada beliau dan delegasinya.

"Bagi pihak negara saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sambutan yang diberi kepada kami hari ini," katanya sambil menyuarakan kegembirannya kerana dapat melakukan lawatan bersejarah ini.- BERNAMA

No comments:

Blog Archive