Wednesday, November 06, 2013

PRK Sungai Limau: Gula-Gula Duniawi Tidak Mengoda

RATA-RATA pemimpin BN mengungkapkan, meskipun kalah di PRK Sungai Limau, namun mereka menganggap keputusan PRK itu sebagai Kekalahan dalam kemenangan. Faktor yang mendorong mereka berbuat demikian kerana kemampuan calon BN mengurangkan lebih separuh majoriti PAS dalam pilihan raya kecil itu.

Calon PAS menang dengan majoriti 1,084 undi berbanding 2,774 majoriti undi pada pilihan raya umum dalam bulan Mei yang lalu.

Sungai Limau yang mempunyai 19 daerah mengundi, menyaksikan PAS kehilangan empat daerah mengundi kepada BN - Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka dan Padang Lumat.

Ironinya juga, PAS kini menguasai Sungai Limau dengan hanya menang di sembilan daerah mengundi berbanding BN yang menang di sepuluh daerah mengundi.

Bagaimana pun, analisis menunjukkan BN sebenarnya berbelanja terlalu besar untuk memperolehi peningkatan undi yang terlalu sedikit.

Menurut PAS, BN membelanjakan kira-kira RM15.5 juta dalam kempen mereka di Sungai Limau.

Jumlah itu meliputi RM5.5 juta untuk sekolah menengah agama, RM2.25 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina, dan RM1.2 juta untuk sekolah-sekolah lain.

BN juga mengagihkan bantuan sebanyak RM2.8 juta untuk bantuan perumahan dan cermin mata percuma, RM802,700 untuk program Bantuan Azam Tani Mara, RM2.5 juta untuk tukun tiruan dan RM500,000 untuk jeti perikanan.

Ia tidak termasuk RM300,000 untuk Masjid Simpang Empat, RM118,000 untuk guru-guru prasekolah agama Kafa dan 33 masjid, RM30,000 dalam bentuk pinjaman TEKUN serta RM19,700 dalam bentuk zakat dari Agrobank.

Malangnya, hasil daripada perbelanjaan ini hanya berjaya diterjemahkan kepada peningkatan sebanyak 465 undi buat BN- daripada 10,520 undi pada 5 Mei lalu kepada 10,985 undi pada Ahad - jumlah yang terlalu sedikit jika dibandingkan dengan usaha serta wang yang disalurkan kepada pemilih di kawasan itu.

Dan jika jumlah RM15.5 juta itu dibahagikan dengan tambahan 465 tersebut, BN sebenarnya membelanjakan RM32,258 untuk setiap tambahan undi.

Tambahan 465 undi itu juga sebenarnya hanya satu pertiga daripada jumlah majoriti PAS yang berjaya dikurangkan BN iaitu sebanyak 1,690 undi.

Jadi di mana silapnya BN sehingga mereka masih gagal menawan Sungai Limau walaupun mengerahkan banyak jentera kerajaan untuk membantu kempen?

Sama ada BN sedar atau tidak, kempen yang berorientasikan pembangunan dan kemakmuran hidup tidak cukup untuk memujuk emosi majoriti pemilih di kawasan kubu kuat PAS itu.

BN perlu mengambil iktibar pada PRK kali ini, bahawa tidak selamanya pengaruh wang dan janji-janji pembangunan tidak semestinya merupakan strategi yang ampuh untuk menawan kubu kuat PAS yang pada kebiasaannya tidak tergoda dengan tawaran keduniaan sedemikian.

No comments:

Blog Archive