Sunday, September 08, 2013

Pemilihan Umno Semakin Rancak

Pemilihan UMNO semakin rancak apabila dari semasa ke semasa, ada sahaja pemimpin yang membuat pengumuman untuk bertanding bagi jawatan sama ada di peringkat Majlis Tertinggi, Pergerakan Wanita, Pemuda mahupun Puteri.

Walaupunpun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikatakan 'sudah selamat' berikutan kesepakatan pemimpin dan ahli UMNO untuk memastikan ia tidak ditandingi, namun nama KULI masih juga muncul, apatah lagi pemimpin veteran itu masih berteka teki, jawatan mana yang bakal ditandinginya. Malah Ketua Bahagian Lembah Pantai- Raja Nong Chik, terpaksa membuat kenyataan, agar mantan Menteri Kewangan itu, supaya jangan bertanding.

Secara umumnya semua bahagian-bahagian parti memberi tumpuan kepada jawatan Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Naib Ketua Wanita, Naib Ketua Pemuda dan Naib Ketua Puteri, bukan kedudukan kerusi Presiden dan Timbalan.

Untuk jawatan Naib Presiden, tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal sudah menyatakan kesediaan mereka mempertahankan jawatan berkenaan.

Setakat ini, mereka akan dicabar oleh dua pemimpin lama dalam UMNO iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd.Ali Rustam.

Desas desus bahawa Datuk Musa Aman dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir akan turut sama memeriahkan perebutan kerusi Naib Presiden, masih dalam teka teki. Malah Menteri Besar kedah itu berkata, desas-desas itu hanya merupakan spkulasi, kerana beliau belum menyatakan hasrat, jawatan mana yang beliau bakal tandangi. 

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah- Datuk Musa Aman, yang disokong oleh 21 Bahagian Umno Sabah, agar bertanding jawatan Naib Presiden, sehingga tulisan ini, belum sepatahpun keluar daripada mulut beliau, berkaitan dengan cadangan itu.

Musa yang mendapat undi kedua tertinggi jawatan Majlis Tertinggi pada pemilihan parti tahun 2009, bersama Datuk Noh Omar, masih lagi berdiam diri, dan tidak pernah menyatakan jawatan apa yang bakal ditandinginya.

Bagi jawatan Ketua Wanita, kehadiran bekas Ketua Puteri UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar penyandang jawatan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dikatakan 'menghangatkan' persaingan.

Walaupun Shahrizat dikatakan lebih sesuai dan layak untuk terus menduduki jawatan berkenaan namun 'keberanian' Azalina mencabar beliau tetap menjadi perhatian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob dikatakan mempunyai peluang cerah untuk menduduki jawatan Naib Ketua Wanita biar pun beliau setakat ini dikatakan akan dicabar oleh wakil dari Sabah Datuk Azizah Mohd.Dun.

Untuk jawatan Ketua Pemuda pula, setakat ini Menteri Belia dan Sukan yang juga penyandang jawatan Khairy Jamaludin dilihat berpeluang cerah untuk terus mengungguli kedudukan tersebut memandangkan setakat ini tiada mana-mana pemimpin Pemuda yang dilihat 'berani' tampil mencabar beliau.

Bagi jawatan Naib Ketua pula perebutan setakat ini menyaksikan pertarungan empat calon termasuk Ketua Pemuda UMNO Perak Khairul Azwan Haron yang dikatakan cukup popular di dalam media sosial dan mendapat sokongan beberapa pemimpin kanan Pemuda.

Beliau akan bersaing dengan Ketua Pemuda UMNO Lenggong, Mohd.Iruan Zulkefli, Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar dan Exco Pemuda UMNO Lokman Noor Adam.

Bagi jawatan Ketua Puteri pula yang kosong berikutan penyandangnya, Datuk Rosnah Rashid Sirlin sudah cukup umur, ia setakat ini menjadi perebutan antara Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Puteri Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman.

Walaupun Mas Ermieyati dilihat calon 'favourite', namun saingan sengit dijangka berlaku jika Naib Ketua Puteri Shahanim Mohamad menawarkan diri untuk bertanding. Bagi kerusi Naib Ketua Puteri, calon yang berhasrat merebut kedudukan itu ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah Datin Nor Sabrina Mohd.Noor dan Zahida Zarikh Khan.

Bagi kerusi MT pula, beberapa muka baru dijangka menjadi pencabar kepada penyandang-penyandang sedia ada terutamanya Ahli Parlimen Kuala Pilah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahalan.

Turut mendapat perhatian empat calon daripada kepimpinan Pemuda UMNO iaitu Ahli Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim, Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Exco Pemuda UMNO Datuk Sohaimi Shahadan dan Tun Faisal Ismail Aziz.

Tidak kira siapa pun mereka yang bakal bertanding, apa yang pasti nasib mereka terletak di tangan 150,000 ahli UMNO di seluruh negara yang akan membuat keputusan.

Apa yang diharapkan, sesengit mana pun persaingan yang akan berlaku dan sehebat mana pun pemimpin yang bakal bertanding tetapi biarlah ia berlangsung dalam semangat kekeluargaan diiringi dengan matlamat untuk memartabatkan UMNO.

No comments:

Blog Archive