Thursday, September 05, 2013

Cepatnya Datuk Zahrain dapat habuan

Mantan Pengerusi PKR Pulau Pinang dan Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim dilantik sebagai duta ke Indonesia. Menurut Menteri Luar Datuk Anifah Aman, perlantikan itu akan dihebahkan kepada Pemerintah Indonesia, sesuai dengan proses diplomasi untuk persetujuan.

Zahrain adalah salah seorang pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela Najib. Beliau menyertai Umno pada satu majlis ringkas di Pulau Pinang Disember 2012.

Ramai yang melihat perlantikan Zahrain adalah sebagai ganjaran kerana meninggalkan Anwar dan menyokong kepimpinan Najib. Namun, rata-rata kalangan dalam Umno percaya tiada ada sebab atau merit lain yang boleh dijadikan sandaran kepada perlantikannya itu melainkan sebagai upah atas pengorbanannya itu.

Selain itu, perlantikannya sebagai duta ke Indonesia juga dikhabarkan untuk mengekang pengaruh Anwar di negara tersebut memandangkan Ketua Pembangkang itu dipercayai mempunyai pengaruh serta simpati yang besar di kalangan tokoh-tokoh politik di negara tersebut. 

Malahan ketika era reformasi, selepas pemecatan Anwar pada tahun 1998 beberapa penyokong setia Anwar seperti Ezam, Saifuddin Nasution dan Rahim Ghouse berada bertahun-tahun di negara itu untuk mendapatkan perlindungan dan mengelakkan daripada ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia.

Dengan ganjaran yang diterima Zahrain itu, beliau merupakan seorang lagi pemimpin PKR selepas Ezam Mohd Nor yang dijadikan Senator selepas turut meninggalkan PKR dan bersedia menyerang serta memaki-hamun Anwar Ibrahim. 

Kalaulah perlantikan Zaharin kerana atas sebab mengekang pengaruh Anwar di Indonesia, tidak terlihat kewajarannya malah daripada segi meritpun tidaklah tepat. Mungkin yang betul adalah, perlantikan itu sebagai hadiah, kerana berani meninggalkan Anwar, tidak lebih daripada itu.

Dalam negara, rata-rata orang tahu, bahawa beliau tidak dikenali sebagai pembicara, pengucap atau seseorang yang ada kelebihan dari segi meyakinkan orang lain. Sebelum keluar PKRpun, suaranya baik dalam parti mahupun di Parlimen semasa membahaskan isu-isu semasa tidak pernah kedengaran. 

Hanya setelah bertukar kiblat politik dan bersalin baju baru, barulah suaranya sesekali kedengaran. Itu pun topiknya hanyalah mengenai PKR dan Anwar, bukan isu-isu yang melibatkan rakyat atau ada nilai perjuangan.

Bagi AYT kalaulah tujuannya untuk menjalin hubungan politik yang lebih manis dan jernih antara Malaysia dan Indonesia, dan pada masa yang sama mahu menyekat pengaruh Anwar, baik saja dilantik beberapa bekas menteri atau timbalan menteri yang kalah bertanding atau tidak dilantik semula selepas pilihanraya lalu.

Ramai tokoh-tokoh Umno yang boleh dilantik yang boleh menyumbang kepada jalinan hubungan antara Malaysia dan Indonesia. 

Kalaulah mengambilkira mereka yang senantiasa menghentam Anwar, Datuk Ibrahim Ali lebih hebat berbanding Zahrain. Kalaupun dilihat daripada segi ketokohan- Ibrahim Ali lebih ke depan.

Perlantikan Zahrain, dilihat betapa susahnya Perdana Menteri mencari "tokoh" yang boleh dihandalkan untuk memulihkan hubungan dengan indonesia kepada tahap yang mesra sebelum pemecatan Anwar pada tahun 1998.

Apakah melalui Zahrain, hubungan itu boleh dikembalikan, atas sebab beliau adalah mantan kawan rapat Anwar? Jika itu yang diambilkira, AYT rasa Perdana Menteri tersilap, kerana pihak Indonesia akan meragui keiklasan yang ada pada Zahrain.

Perlantikan Zahrain sebagai Duta Besar ke Indonesia, bakal mendapat tanggapan negatif, baik di Indonesia mahupun di kalangan Umno sendiri. Mungkin masa ini, ramai pemimpin dan kalangan penyokong Umno yang kecewa dengan anugerah kepada Zahrain itu. Budi dan jasa Zahrain kepada Umno dan atau Najib hanyalah setahun dua ini, tetapi terlupa bahawa sebelum ini beliau adalah penentang dan penderhaka kepada parti.

Nampaknya dalam Umno, yang mendapat penghargaan itu, bukan pejuang setia, akan tetapi mereka yang pandai bermain politik seperti Zahrain.

Ramai pejuang-pejuang setia dalam Umno yang tidak diberi apa-apa penghargaan meskipun berjuang siang malam dan tidak pernah menderhaka kepada parti.

Sedang berlaku bahawa ramai pejuang setia, malah ada diantaranya umpama pengemis memanjat dari satu pejabat ke satu pejabat menteri sambil membawa fail dan sampul surat besar untuk menemui menteri dan pegawai tinggi kerajaan semata-mata untuk mendapatkan sambung nyawa bagi kepentingan parti dan perjuangan.

Malah ada yang berkata, kalau mahu mendapatkan pertolongan daripada Umno, kena terlebih dahulu berjinak-jinak dengan Anwar atau pembangkang, kemudian berpatah balik, dan menjilat kembali semua tomahan yang dilontarkan, dan jangan lupa memberi sanjungan kepada pemimpin Umno; hanya itulah jalan pintas untuk mendapat perhatian dan hadiah.

Namun, jika masih merasa mempunyai maruah diri, maka setialah dan janganlah mengharap apa-apa dan redalah berjuang semata-mata untuk agama, bangsa dan negara hingga ke akhir hayat.

No comments:

Blog Archive