Thursday, August 29, 2013

Pergolakan Parti LDP semakin Parah

Komponen tertua BN Sabah LDP bergolak dengan parahnya. Para pemimpin parti itu, walaupun bukan sebulat suara mahu menyingkirkan Presiden Parti- Datuk VK Liew, namun usaha kearah itu semakin jelas, apabila Timbalan Presidennya juga turut sama menyokong agar Liew ditandingi semasa pemilihan parti oktober ini.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Parti itu, Datuk Teo Chee Kang yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas pada kabinet Sabah dipecat kononnya tidak menjalankan keputusan Majlis Tertinggi yang diadakan pada 9 Jun 2013 di mana dalam keputusan itu, jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

Dalam persidangan beberapa bahagian parti itu, Teo dicadangkan untuk bertanding jawatan Presiden, dan ironinya beliau bersetuju menerima pencalonan itu.

Pada September 2010, kepimpinan LDP juga goncang, kerana Naib Presiden parti itu yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah- Datuk Peter Pang En keluar daripada parti, ekoran kenyataan Timbalan Presiden parti itu Datuk Chin Su Phin yang hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sabah- Datuk Seri Musa Haji Aman.

Nampaknya, krisis LDP kali ini, Presiden parti itu terperangkap oleh Timbalan Presidennya sendiri sekali lagi, apabila beliau menyokong Teo untuk merebut jawatan Presiden, dan beliau bersedia mempertahankan jawatan Timbalan.

Teo, dilantik oleh VKLiew pada tahun 2006, sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Presiden parti menggantikan Tan Seri Chong Kah Kiat.

VKliew kehilangan sokongan apabila, beliau gagal mempertahan kerusi Parlimen Sandakan pada PRU-13 lalu, sekaligus kehilangan jawatan dalam politik.

Sebagai mantan wakil rakyat dan mantan Timbalan Menteri, beliau tidak mempunyai apa-apa lagi yang boleh ditawarkan kepada penyokong atau ahli parti, daripada segi "handout" projek, adalah salah satu faktor beliau mahu disingkirkan daripada kedudukan Presiden.

Berlainan dengan Datuk Teo Chee Kang, para ahli dan penyokong berharap sebagai Menteri kabinet Sabah, sekurang-kurangnya dapat membantu ahli atau penyokong mendapatkan "handout" projek, sekurang-kurangnya itulah harapan mereka.

Proses penyingkiran VKLiew, selain bertujuan mendapatkan projek, juga usaha segelintir para pemimpin parti itu mendapatkan kuasa politik.

Walaupun LDP sebuah komponen BN Sabah menghadapi krisis kepimpinan, ianya tidak akan mengganggu gugat kestabilan politik Sabah, kerana pada asasnya kekuatan komponen BN tertua itu terletak kepada kaum bumiputera. Kawasan-kawasan yang ditandingi parti itu dan dimenangi seperti Dun Tanjong Kapor, Dun Merotai, Dun Karamunting, kecuali Parlimen Sandakan adalah kawasan majoriti bumiputera.

Sebenarnya VKLiew gagal membaca pendirian Timbalannya yang menjadi punca keluarnya Naib presiden parti itu Datuk Peter Pang tiga tahun lalu. Kini, Presiden parti itu terperangkap kali ke-dua, dan pada kali ini termasuk mengulingnya daripada kedudukan Presiden.

Semalam, Timbalan Presiden parti itu- bersama-sama dengan 27 AMT, mengadakan mesyuarat tergempar dan meminta mesyuarat Agong Luar Biasa parti yang dijadualkan bulan depan, kononnya untuk membincangkan krisis parti. Memandangkan jumlah yang hadir itu melebih 2/3 AMT parti, maka adalah dijangka pada Mesyuarat itu, akan diusulkan, Undi Tidak Percaya kepada Presdien.

Apakah VKLiew mampu mengatasi krisis dalam partinya? sama-sama kita tunggu.

No comments:

Blog Archive