Monday, June 03, 2013

Azmin Ali Persoal Perlantikan Saifuddin Nasution

Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali berkata kalangan anggota parti kurang senang dengan pelantikan setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail ke jawatan pegawai perhubungan politik di pejabat menteri besar.

Laporan Sinar Harian memetik kenyataan Azmin yang menyebut bahawa anggota parti berkenaan juga merasakan bahawa keputusan tersebut seolah-olah melupakan pemimpin Selangor yang lain.

“Kalangan ahli melahirkan rasa kurang senang dengan keputusan tanpa perbincangan parti malah seolah-olah melupakan pemimpin Selangor yang berjaya memenangi hati rakyat serta menang dalam pilihan raya umum ke-13 lalu,” kata Azmin seperti dilaporkan akhbar tersebut.

Dalam satu lagi laporan, akhbar berkenaan memetik kenyataan ketua penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shaifei yang menuntut agar menteri besar menjelaskan peranan Saifuddin di jawatan tersebut.

“MPN (majlis pimpinan negeri PKR) Selangor akan meminta penjelasan lanjut dari Tan Sri Abdul Khalid (Ibrahim) kerana timbul pertanyaan mengapa pula setiausaha agung PKR selaku ahli politik boleh dilantik ke dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin sendiri dalam satu lagi laporan di halaman sama berkata beliau hanya akan mengetahui bidang tugas berkenaan apabila bertemu Khalid pada hari Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata tugas berkenaan antara lainnya melibatkan usaha memperkukuh kerajaan negeri dan membina kekuatan pengaruh lebih luas di kawasan yang tidak dikuasai Pakatan Rakyat.

No comments:

Blog Archive