Friday, February 22, 2013

Pencerobohan Tentera Sulu: Malaysia serba salah

SEBELUM menceroboh Kg Tanduo Lahad Datu, pengikut Jamalul Kiram yang dikhabarkan bersenjata terlebih dahulu menyusup masuk ke Sabah. 

Keluasan laut Sabah yang sungguh luas, punca porosnya atau mudahnya penyusupan. Masalah pendatang Sabah yang didengar melalui RCI Sabah yang sedang berjalan di mahkamah, merupakan punca daripada penyusupan yang mudah itu.

Pada tahun 70-an penyusupan masuk rakyat Filipina terutama daripada suku suluk berpunca daripada peperangan saudara di negara itu, dan keadaan itu berterusan, sehingga suatu perjanjian damai antara pemberontak islam dengan kerajaan Filipina, pertama melalui MNLF dan terkini melalui MILF dengan kerajaan Filipina.

MNLF dipimpin oleh Nur Misuari daripada etnik suluk/tausog, manakala MILF dipimpin oleh Murad daripada etnik maranao.

Perjanjian MILF dengan kerajaan Filipina yang diokestra oleh Malaysia ditandatangi di Istana Malacanang dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia- DS Najib pada oktober 2012.

Kecatatan perjanjian damai yang baru itu, apabila mengenepikan MNLF, inilah penyebab utama Nur Misuari geram dan mengambil jalan sendiri.

Kesultan Sulu yang didokong Misuari, rata-ratanya daripada etnik suluk/tausog. Data pelarian etnik ini yang menyusup masuk ke Sabah samada secara sah atau tidak, merupakan 1/3 daripada jumlah semua pelarian daripada Filipina yang kini menetap di Sabah.

Etnik Suluk mempunyai sifat pendendam yang semula jadi, atas sebab itu, sering kita dengar pembunuhan beramai-ramai keseluruhan satu keluarga yang bermusuh. Sifat ikatan keluargaan yang kuat dalam etnik ini, akan membawa padah kepada pihak-pihak tertentu yang cuba mengacam nyawa apatah lagi yang berakibat kematian.

Berkaitan dengan pencerobohan tentera sulu di Kg Tanduo Lahad Datu yang diketuai oleh adik kepada Jamalul Kiram III, Raja Muda Agbimuddin Kiram, yang berjaya mendarat di Lahad Datu pada malam 12 Febaruari lalu dan hingga kini masih berkampung di kg Tanduo, pihak kerajaan terpaksa melakukan rundingan damai, kerana mungkin telah mengambilkira sifat-sifat etnik itu.

Masalah kerajaan Filipina dengan pemberontak tausog ini berlarutan berdekad lamanya, apabila kerajaan Filipina yang diperintah Marcos mengambil jalan kekerasan pada tahun 70-an. Malaysia tidak sanggup keadaan peperangan akan berlaku, apabila mengambil pendekatan ketenteraan terhadap penceroboh itu, kerana tiada jaminan saudara-saudara penceroboh itu yang berdekatan dengan Sabah seperti Simunul di Tawi-Tawi yang hanya memakan masa sejam dengan speedboat ke Sabah tidak akan menyusup masuk untuk membalas dendam.

Seperti yang dilaporkan di Manila sebelum ini, bahawa penceroboh yang berlepas pada 9 Februari lalu daripada Tawi-Tawi tidak membawa sebarang senjata, namun selepas mereka berada di Sabah, mereka telah lengkap dengan senjata. Benarlah, khabar angin, bahawa sebelum ekpedisi pulang kampung oleh Raja Muda adik kepada Sultan Kiram III itu, sebenarnya terlebih dahulu ada kumpulan bersenjata menyusup lebih awal ke Sabah.

Malaysia kini serba salah, kalau mengambil pendekatan ketenteraan mengusir penceroboh itu, maka kemungkinan kumpulan itu akan balas dendam, maka yang menjadi korban adalah keselamatan rakyat Sabah; namun apabila mengabaikan pendekatan ketenteraan, maka Malaysia dianggap lemah dalam menjaga keselamatan negaranya.

Nampaknya, cara Malaysia menyelesaikan masalah pencerobohan ini adalah melalui rundingan, tanpa melibatkan pertumpahan darah, dengan perhitungan, kejadian di Selatan Filipina yang bergolak berdekad lamanya kerana salah pendekatan yang diambil oleh kerajaan Marcos.

Bagi Malaysia, biarlah ianya dianggap lemah dalam konteks ini, kerana mengambil pendekatan, bahawa nyawa manusia lebih mulia berbanding dengan persepsi Malaysia lemah dalam soal-soal menjaga kedaulatan negara.

Dalam konteks pencerobohan ini, ianya bukan musuh utama negara, sebaliknya isu ini hanya disebabkan oleh tindakan politik pihak-pihak tertentu terutama oleh kumpulan Misuari untuk mendapat perhatian kerajaan Filipina.

Misuari telah memperhitungkan bahawa menjadikan Sabah sebagai kambing hitam berhubung perbalahannya dengan kerajaan Filipina, tidak akan merugikannya, kerana dia tahu Malaysia tidak akan sanggup mengambil jalan ketenteraan terhadap kumpulannya, kerana ikatan yang telah terjalin antara kumpulannya dengan sebahagian rakyat Malaysia yang ada di Sabah.

No comments:

Blog Archive