Latest News

Kota Jakarta Lumpuh

Kota Jakarta lumpuh
JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menyiapkan pelan kontinjensi bagi membantu memindahkan rakyat Malaysia yang tinggal di Jakarta jika keadaan banjir di ibu negara Indonesia ini bertambah buruk.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata para pegawai kedutaan besar sentiasa menghubungi rakyat Malaysia di beberapa kawasan di Jakarta untuk memastikan keadaan mereka selamat.

"Alhamdulillah pada masa ini belum ada rakyat Malaysia yang terperangkap dalam banjir," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata Kedutaan Besar Malaysia akan menyediakan tempat tinggal sementara jika ada rakyat Malaysia terutamanya pelajar Malaysia terpaksa berpindah disebabkan kediaman mereka dinaiki air di paras bahaya.

Katanya Kedutaan Besar telahpun membuka bilik gerakan banjir yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan banjir di Jakarta dan bilik gerakan itu boleh dihubungi di nombor telefon +62215224947.

Banjir yang melanda kebanyakan kawasan di ibuk ota ini sejak pagi ini telah melumpuhkan aktiviti harian warga kota kerana beberapa kawasan di pusat bandar dinaiki air sehingga satu meter sementara kebanyakan jalan menuju ke pusat bandar turut digenangi air.

Kerajaan Pentadbiran Ibukota Jakarta telah mengistiharkan Darurat Banjir untuk kawasan Jakarta mulai hari ini hingga 27 Januari.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono turut menaiki bot meninjau keadaan banjir di Jakarta dan mengarahkan pihak polis memantau keselamatan rumah penduduk yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Sejak dua hari lalu, hampir 10,000 penduduk, khususnya yang tinggal berhampiran Sungai Ciliwung serta beberapa batang sungai lain, telah dipindahkan apabila kawasan penempatan mereka dinaiki air sehingga tiga meter akibat air sungai melimpah berikutan hujan lebat dan sederhana lebat berterusan di ibu negara ini. - BERNAMA

0 Response to "Kota Jakarta Lumpuh"

Blog Archive