Friday, November 30, 2012

Naib Ketua Wanita Umno Semporna Ikut Jejak Suaminya menyertai PKR

Kalasahan bersama suami
Naib Ketua Wanita Umno Semporna, Kalasahan Abd Salam hari ini mengumumkan keluar parti itu mengikuti langkah suaminya Abd Habi Mustapha untuk yertai PKR.

Selain bertindak mengikut jejak suaminya, Kalasahan mendakwa bahawa tindak tanduk Ketua Bahagian itu- Datuk Seri Shafie Apdal yang juga Naib Presiden Umno merupakan salah satu penyebab beliau menyertai parti pembangkang.

Shafie menurut Kalasahan tidak mengamalkan kepimpinan yang adil sebaliknya bercorak pilih kasih dan kronisma.

"Umno Semporna sama ada di peringkat Bahagian ataupun cawangan tidak ditadbir urus berlandaskan perlembagaan parti kerana terlalu banyak berlaku ketidaktelusan dalam pentadbiran serta perjalanan mesyuarat cawangan dan bahagian Umno Semporna," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dakwanya lagi, Shafie gagal membawa pembaharuan dan mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing, kekurangan bekalan air, ketidakstabilan bekalan elektrik, pencapaian pendidikan sekolah-sekolah tercorot di negeri Sabah dan kesesakan lalu lintas.

"Sepatutnya, sebagai menteri penuh yang bertanggungjawab terhadap pembangunan luar bandar, beliau telah gagal secara total dalam menjalankan tanggungjawab memajukan Samporna," dakwanya lagi.

Sementara itu, Kalasahan turut mendakwa, sikap Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang terlalu lembut sehingga menyeret dirinya dalam isu skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menyebabkan beliau kesal mengenai perkara itu.

"Beliau terlalu lembut maka itu saya tidak suka. Saya juga kesal, nama Wanita Umno turut tercemar berikutan kontroversi itu," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa selepas ini, akan ramai lagi ahli Umno Bahagian Samporna terutamanya Wanita Umno akan mengikuti jejak langkah beliau.

No comments:

Blog Archive