Sunday, August 12, 2012

Penduduk Sandakan perlu sokong Musa dan Najib: VK Liew

SEMASA menghadiri  majlis buka puasa di Dewan Masyarakat Sandakan petang ini, yang dihadiri kira-kira 2,000 orang-Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk VK Liew menggesa penduduk Sandakan memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin amat komited dalam membawa pembangunan positif di negeri dan negara ini.

Semasa membuat gesaan itu, beliau berkata rakyat dapat melihat sendiri pembangunan yang sedang berlaku di Sandakan termasuk Hab Pendidikan dan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) yang pesat berkembang.

"Semua ini menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi setempat. Kami menghargai dedikasi Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang bekerja keras membawa pembangunan (bagi Sabah).

"Sektor pelancongan juga semakin berkembang dengan pelancaran sebuah hotel antarabangsa lima bintang di dataran Sandakan Harbour yang terkenal ini.

"Malahan bandar lama di Sandakan dan perniagaan di Central Market semakin rancak berikutan penduduk kini mula kembali ke sini. Saya yakin lebih banyak peluang perniagaan akan wujud dan ini akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang kerja dan merangsang lagi ekonomi setempat," katanya pada majlis berbuka puasa  tersebut.

Liew berkata rakyat perlu terus memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) kerana ia terbukti berupaya memperjuangkan kebajikan rakyat. 
 
Pembangkang menurut Presiden LDP itu, hanya mampu membuat janji retorik, dan hanya dilakukan apabila menjelang pilihanraya, selepas itu, kelibat mereka hilang entah ke mana.
 
Dengan mengambil iktibar kepada janji-janji pembangkang pada PRU lalu dan PRK Batu Sapi, semua janji-janji pembangkang bagaikan buih-buih laut.
 
Sebaliknya kerajaan negeri mahupun pusat, terus menepati  janjinya membangun rakyat di berbagai sektor, demi kesejahteraan rakyat.
 
Kerajaan BN pimpinan Najib di peringkat Pusat dan Musa di peringkat negeri, memberi komitmen yang tinggi terhadap pembangunan rakyat terutama menjelang 2020, di mana negara diharapkan menjadi negara maju.

No comments:

Blog Archive