Saturday, February 18, 2012

Undi kaum cina kepada DAP rintis jalan PAS jadi "Taiko": Chua Soi Lek

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata setiap undi yang diberi kepada DAP akan memperkukuhkan PAS dan membuka jalan bagi parti itu menjadi "taiko" dalam kerajan negeri dan persekutuan.

Katanya DAP memberi janji palsu kepada pengundi Cina bahawa sebuah kerajaan yang diterajui orang Cina boleh menjadi kenyataan di Malaysia dan mendakwa masyarakat Cina di negara ini telah ditipu oleh DAP.

"Dalam kempennya, terutama di hadapan hadirin penduduk Cina, DAP gemar menyebut kejayaan mereka membentuk kerajaan negeri Pulau Pinang dengan ketua menterinya adalah seorang pemimpin DAP.

"Ini memberi harapan palsu kepada kaum Cina bahawa perkara serupa boleh berlaku di negeri lain. Secara tradisi, perkara ini hanya boleh berlaku di Pulau Pinang, tidak di negeri lain," katanya di persidangan sehari "Cina Malaysia di Persimpangan Politik" anjuran bersama Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) serta kumpulan pemikir MCA, Insap, di ibunegara.

Persidangan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Chua berkata hakikat itu dapat dilihat dalam pilihan raya sebelum ini di Perak iaitu walaupun DAP memenangi 18 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tujuh dan PAS hanya enam, tetapi wakil PAS yang menjadi menteri besar.

"Sekarang DAP mahu menjadikan Johor pula sebagai negeri di barisan hadapannya. Bagaimanapun, PAS dengan pantas membuat tuntutan bahawa seorang pemimpin PAS Johor, yang kini Anggota Parlimen di Kelantan, sepatutnya menjadi MB Johor," kata beliau.

Mengenai pendirian keras PAS berhubung pelaksanaan hukum Hudud, Dr Chua berkata ia merupakan satu ancaman terhadap sistem undang-undang dan kehakiman sedia ada di negara ini, di samping memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap orang bukan Islam di Malaysia.

Katanya ancaman yang dibawa oleh hukum Hudud adalah sesuatu yang nyata, walaupun ada ahli politik pembangkang dan golongan yang bersimpati dengan mereka berhujah bahawa ia tidak sepatutnya menjadi suatu kebimbangan kerana perkara itu tidak terkandung di dalam "Buku Jingga" dan tidak akan dijadikan manifesto bersama Pakatan Rakyat.

"Bagaimanapun, ini tidak memberi jaminan bahawa PAS tidak akan mendesak agar hukum Hudud dilaksanakan sekiranya ia berkuasa di Putrajaya," katanya.

No comments:

Blog Archive