Friday, February 03, 2012

Rabah Nenen: Lim Guan Eng buat laporan polis terhadap 3 blog pro BN

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuat laporan polis terhadap tiga lamanweb pro-Umno kerana didakwa telah memfitnah anaknya dengan dakwaan dia mencabul rakan sekelasnya.

Dakwaan tersebut, termasuk dakwaan bahawa anak Lim dipaksa berpindah ke sekolah lain, dan dakwaan bahawa ketua menteri itu telah membayar RM200,000 kepada pihak tertentu bagi menutup kes tersebut, di mana Lim telah menafikan sekeras-kerasnya.

Dakwaan yang dibuat pada bulan Oktober tahun lepas, telah terbukti tidak benar apabila "mangsa' dakwaan tersebut - bekas pemain catur kelahiran Hong Kong, Anya Corke - tampil menafikan tuduhan itu.

Anya didakwa menjadi mangsa dakwaan itu apabila gambarnya telah digunakan dalam lamanweb-lamanweb berkenaan yang menuduh anak Lim dengan dakwaan salah laku seksual.

Lim berkata, Timbalan Ketua CID negeri, Naser Salleh telah menasihatkan beliau supaya membuat laporan terhadap Umno-online, blogger Papagomo dan Pisau.net supaya tindakan selanjutnya boleh diambil terhadap ketiga-tiganya.

Menurut Lim lagi, Naser telah memaklumkan kepadanya bahawa arahan meminta Lim membuat laporan tersebut "datang dari atas".

"Beliau membuat temujanji untuk berjumpa dengan saya pada 12 Januari di pejabat saya. Jadi mengikuti nasihat beliau saya telah membuat laporan itu pada hari yang sama," kata Lim kepada pemberita di Komtar.

Menurut Lim, dakwaan-dakwaan tersebut masih ada di lamanweb-lamanweb berkenaan walaupun terbukti tidak benar.

"Mereka enggan memohon maaf atau menarik balik tuduhan mereka itu," katanya.

Menurut Lim, sehingga semalam, polis masih menyiasat perkara itu dan belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

Beliau melahirkan harapannya supaya polis akan melakukan seperlunya dan menangkap mereka yang terbabit melakukan fitnah jenayah itu.

No comments:

Blog Archive