Sunday, January 22, 2012

Skandal NFC berpunca daripada pegawai yang dipecat kerana pecah amanah

Kontroversi Perbadanan Fidlot Nasional didakwa berpunca daripada dendam seorang pegawai yang dibuang kerja kerana didakwa pecah amanah dan kemudiannya menjual maklumat berkaitan kepada pembangkang.

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali hari ini berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh pengerusi Nasional Feedlot Corporation Datuk Salleh Mohamad Salleh Ismail dalam perbincangan selama lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Bila dia kena pecat, dah buat laporan polis, dah jadi kes CPT (pecah amanah), dia tak buat hati dia balas dendam. Balasannya, memang dia ada akses kepada pendrive, jadi dia jual maklumat," katanya.

Tanpa mendedahkan eksekutif pemasaran itu, Ibrahim berkata beliau difahamkan, laporan polis sudah dibuat terhadap pegawai yang didakwa terlibat pecah amanah RM2.7 juta, yang dikatakan diperoleh daripada jualan bekalan daging kepada pasar raya.

Jumlah itu, menurut Ibrahim lagi berjaya diperoleh kerana kutipan jualannya sehari mencecah RM150,000 dalam bentuk tunai.

Kebocoran maklumat syarikat itu sebelum ini pernah dimaklumkan dalam taklimat Salleh kepada beberapa media terpilih di Gemas, Negeri Sembilan,

PERKASA bagaimanapun berkata, maklumat dalam pendrive itu tidak terperinci dan hanya memberikan gambaran sehala tentang sesuatu itu.

"Mungkin nyatakan jumlah (bayaran) saja, bayar untuk apa sekian-sekian tetapi tidak cerita apa dan untuk apa," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Ibrahim turut menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap isu itu supaya perkara sebenarnya dalam disingkap.

"Saya tegaskan kita serah pada SPRM dan pihak polis menyiasat. Hasil terakhir, itulah pendirian kita. Kita percaya kepada integriti badan ini," katanya lagi.

PERKASA dan 11 lagi NGO Melayu hari ini mengadakan sesi dialog dengan Mohamad Salleh - yang juga suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil - lebih dua jam.

No comments:

Blog Archive