Latest News

Projek Lembu: Lagi pemimpin BN desak Shahrizat letak jawatan

Seorang lagi pemimpin BN hari ini menggesa Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya melepaskan jawatan parti dan kerajaan yang disandanganya berikutan kontroversi projek ternakan lembu, Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ahli parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata Shahrizat perlu berbuat demikian demi kepentingan BN dan Umno, salah sebuah parti komponen, yang bakal berdepan pilihan raya umum ke-13.

“Ini adalah isu paling besar yang berlaku dalam sejarah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia cukup memalukan dan kita tidak mahu isu ini menjejaskan BN dan Umno. Kalau isu ini sampai pada waktu pilihan raya, saya rasa undi kita akan kurang," katanya.

Ghapur diminta mengulas mengenai isu itu selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai kanak-kanak kawasan Dewan Undangan Negeri Merotai di Kg Pasir Putih, di Tawau.

Ditanya jika Shahrizat masih mendapat sokongan Pergerakan Wanita Umno, Ghapur berkata, "Ini bukan soal sokong-menyokong tetapi ini soal keseluruhan parti. Bila kita buat salah, kita mesti bertanggungjawab".

Menurut Ghapur di negara maju seperti Amerika Syarikat jika sesuatu isu atau skandal menimpa seseorang pemimpin, pemimpin yang terlibat akan segera meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.

"Kita juga perlu tahu bahawa bukan pembangkang yang bongkar isu ini tetapi ia didedahkan oleh Ketua Audit Negara,” tambah Ghapur.

0 Response to "Projek Lembu: Lagi pemimpin BN desak Shahrizat letak jawatan"

Blog Archive