Sunday, November 20, 2011

Memori Syed Husin Ali: Senator itu berdusta: Zul

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin hari ini menafikan bahawa beliau meminta RM60,000 untuk mengosongkan kerusinya bagi membolehkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Sambil menyifatkan pendedahan yang dibuat oleh Syed Husin Ali menerusi bukunya, Memoir Perjuangan Politik sebagai pembohongan, Zulkifli berkata, veteran PKR itu sendiri yang berjumpanya mewakili Anwar untuk menawarkan supaya kerusi itu dikosongkan.

“Teman (saya) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Syed Husin tesebut.

“Sebaliknya teman ingin menegaskan bahawa Syed Husin sepatutnya lebih tahu apa yang dikisahkan beliau itu satu pembohongan kerana sebenarnya Syed Husin sendiri yang berjumpa dengan teman mewakili Anwar Ibrahim.

“Untuk menawarkan teman supaya mengosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu dengan menyatakan bahawa jika teman bersetuju mengosongkannya, Anwar berjanji akan menawarkan jawatan tinggi kepada teman didalam mana-mana GLC kerajaan Selangor dengan imbuhan bulanan antara RM50,000 sehingga RM60,000 sebulan!” katanya dalam entri terbaru di blognya yang bertajuk ‘Anjing-Anjing Pencen’.

Menurut Zulkifli, Syed Husin juga cuba meyakinkan beliau bahawa Anwar akan mengotakan janji berkenaan kerana dia juga mendapat janji yang sama untuk mengosongkan jawatan timbalan presiden PKR kerana Anwar mahukan Azmin Ali menyandang jawatan tersebut.

"Syed Husin memberitahu saya kalau dia mengosongkan kerusi timbalan presiden PKR untuk memberi laluan kepada Azmin, Anwar menjanjikan dia jawatan senator," tulisnya.

Zulkifli juga mendakwa Syed Husin teringin untuk menjadi wakil rakyat tetapi apabila bertanding asyik kalah.

“Malah nak dicalonkan bertanding di parlimen Kota Bharu pun ditolak kerana dilabel sebagai “anak kominis” oleh kepimpinan PAS pada masa itu.

“Jadi menjadi senator adalah jalan mudah untuk dia menjadi Yang Berhormat melalui pintu belakang!” tulisnya.

Menurut bekas ahli parlimen PKR itu, beliau memang bersedia mengosongkan kerusi Kulim-Bandar Baharu, tetapi tegas menolak tawaran jawatan dalam mana-mana anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor. Ini kerana katanya, kerana perjuangannya bukan untuk imbuhan.

“Kalau itu yang teman cari, lebih baik teman menjalankan khidmat sebagai seorang peguam.

“Malahan teman menegaskan kepada Syed Husin Ali selama lebih 10 tahun teman menjadi antara peguam utama Anwar, sehingga disumbat dalam tahanan ISA, teman tidak pernah meminta atau dibayar walau satu sen pun daripada Anwar sebagai imbuhan fee khidmat guaman teman!

Zulkifli juga mendakwa akhirnya beliau tidak mengosongkan kerusinya kerana Anwar sendiri tidak yakin mampu menang di parlimen Kulim Bandar Baharu.

“Sebaliknya (Anwar) yakin boleh menang di Permatang Pauh. Jadi Anwar kata tidak perlu teman kosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu!

“Teman juga dipanggil oleh Wan Azizah yang memaklumkan kepada teman bahawa dia dipaksa oleh Anwar untuk mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh.

“Jelas Wan Azizah berada dalam keadaan tertekan semasa perjumpaan itu kerana beliau bersedih dan menangis semasa memaklumkannya kepada teman bahawa dia dipaksa oleh Anwar untuk mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh!

“Malah Wan Azizah membuat komen ‘apa yang I dapat berkorban macam-macam untuk Bang Non. Kalau I yang kena macam dia you ingat Bang Non nak berkorban macam I ke?’ kata Wan Azizah sambil mengalirkan airmata! Wan Azizah memanggil Anwar dengan nama Bang Non," tulis Zulkifli.

Bagi beliau, segala tohmahan dan tuduhan Syed Husin itu direkayarsa dan dikarang sebegitu rupa untuk menyerang kredibiliti dan kewibawaannya kerana berjaya membongkar pembohongan, penipuan dan putar belit politik Anwar.

No comments:

Blog Archive