Monday, October 03, 2011

Karpal tetap tolak undang-undang Hudud, walaupun Pakatan menang 2/3

DAP tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan hukum Hudud walaupun Parti Pembangkang mendapat majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti, kata pengerusi parti Karpal Singh.

Katanya pelaksanaan Hudud akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan dan sokongan terhadap pakatan pembangkang memandangkan bukan semua rakyat bersetuju dengan hukum berkenaan.

"DAP tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pindaan dalam Perlembagaan untuk enakmen hukum Hudud termasuk apa yang diusulkan oleh PAS di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Terengganu pada 1993," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor, berkata Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi dalam negara dan perlu selaras dan konsisten di semua negeri.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan semalam bahawa hukum Hudud itu akan dilaksanakan di negara ini sekiranya pakatan pembangkang menang PRU ke-13 nanti.

Karpal berkata PAS perlu menerima pakai resolusi yang diluluskan, iaitu membentuk sebuah negara berkebajikan dan bukannya kembali ke cadangan asal untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara Islam. -BERNAMA

No comments:

Blog Archive