Monday, August 01, 2011

Skandal PKFZ-seorang saksi berkata tanah dibeli pada harga double

Seorang pentaksir kerajaan menganggarkan tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dilanda masalah kewangan, telah dibeli pada harga lebih tinggi - hampir 50 peratus berbanding nilai pasaran sebenar.

Nilai sebenar tanah itu adalah RM17 kaki persegi sedangkan ia diperoleh pada harga RM25 kaki persegi.

Saksi berkenaan Teo Lee Lee, 63, bekas kakitangan dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa kawasan seluas 400 ekar di Pulau Indah, dengan akses kepada jalan dan infrastruktur, telah dinilai mengikut harga pasaran 1998.

Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini, Teo berkata, ibu pejabat JPPH kemudian mengkaji semula nilai tanah itu kepada RM18 kaki persegi.

Perbicaraan kes penipuan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion berhubung skandal PKFZ, membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik bermula di Mahkamah Tinggi hari ini.

Bernama Online menyebut, kes itu didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi dan dijangka 40 saksi akan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan tersebut.

Pada 29 Julai 2010, Dr Ling didakwa atas satu tuduhan utama dan satu tuduhan pilihan menipu kerajaan Malaysia dengan mengelirukan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah.

Bekas menteri Kabinet itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Mengikut pertuduhan utama, Dr Ling didakwa menipu Kabinet untuk mempersetujui pembelian tanah mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa beliau (Dr Ling) boleh menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Malaysia, yang kepentingannya di dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu, beliau terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi.

Bagi pertuduhan utama, Dr Ling dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, Dr Ling didakwa menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dr Ling mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu. Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Manoj Kurup manakala Dr Ling diwakili peguam Wong Kian Kheong.

No comments:

Blog Archive