Saturday, June 18, 2011

Nooryana Najwa Dato' Seri Najib-Daniyar Nazarbayev rasmi bertunang

Nooryana Najwa, anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, secara rasmi bertunang dengan Daniyar Nazarbayev dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya malam tadi.

Majlis pertunangan pasangan itu diserikan dengan kehadiran keluarga serta rakan mereka, selain orang kenamaan dari Malaysia dan luar negara, lapor Bernama Online.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan menghadiri majlis itu.

Yang turut berangkat ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tun Abdullah Badawi, menteri kabinet, timbalan menteri serta pegawai kanan kerajaan pusat dan negeri.

Kenamaan asing yang hadir termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi Jeneral Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan isteri Sheikha Salam binti Hamdan Al Nahyan, serta Pengerusi Medina Council Putera Saud bin Abdulaziz Al-Saud.

Nooryana Najwa, 22, merupakan lulusan School of Foreign Service, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat sementara Daniyar, 22, menamatkan pengajian di Universiti Columbia, New York.

Pasangan itu bertemu ketika menuntut di Amerika Syarikat.

No comments:

Blog Archive