Friday, June 17, 2011

Nik Aziz akui Pemberian Subsidi Kerajaan BN juga adalah Kebajikkan

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui usaha kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) menyediakan pelbagai subsidi dan bantuan adalah satu bentuk kebajikan biarpun tidak menepati konsep negara berkebajikan yang ingin dilaksanakan oleh parti PAS. Katanya pemberian subsidi dan bantuan kerajaan pusat itu merupakan satu kebajikan untuk rakyat biarpun kerajaan pusat terpaksa menanggung beban perbelanjaan yang besar bagi menyempurnakan tujuan itu.

"Kebajikan juga (pemberian subsidi dan bantuan kerajaan oleh pusat) tetapi tidak mencerminkan kebajikan yang dimaksudkan Pas," katanya menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, Jumaat.

Nik Abdul Aziz berkata demikian untuk menjelaskan kepada masyarakat di Kelantan dan anggota Pas mengenai perbezaan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan dengan konsep negara berkebajikan oleh PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Ke-57 parti itu dua minggu lalu langsung tidak menyentuh mengenai konsep negara Islam dan undang-undang hudud seperti mana sebelumnya, sebaliknya menumpukan perhatian kepada konsep membangun negara berkebajikan.

Ekoran itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perjuangan baru Pas untuk memperjuangkan 'negara berkebajikan' membuktikan kejayaan sekutunya, DAP menukar hala tuju perjuangan asal parti itu untuk membentuk sebuah negara Islam.

Ketika ditemui pemberita selepas ceramahnya, Nik Abdul Aziz menjelaskan lebih lanjut mengenai negara berkebajikan berikutan timbul rungutan anggota PAS terhadap perubahan dasar parti itu.

Beliau berkata konsep negara berkebajikan yang menjadi slogan baru Pas tidak akan menjejaskan dasar parti itu untuk mewujudkan negara Islam. -BERNAMA

No comments:

Blog Archive