Sunday, June 05, 2011

Kilafairy-Kerana kecantikannya diburu lelaki hidung belang, termasuk VIP

Kariernya masih hijau, namun dek kerana memiliki pakej lengkap termasuk jolokan sebagai Angelina Jolie Malaysia, pelakon baru, Syakila Nisha Jangir Khan, 19, atau lebih mesra disapa Kilafairy mengaku diburu ramai lelaki hidung belang, termasuk orang kenamaan (VIP) sejak kebelakangan ini.

Gangguan itu hadir menerusi pelbagai cara, termasuk panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) malah ada yang berani mengajaknya keluar meskipun baru kali pertama mencuba nasib.

Apapun, Kilafairy berkata, semua itu dianggap sebagai asam garam bergelar selebriti, apatah lagi dia baru bertatih dalam bidang seni.

“Sebelum memasuki industri seni pun, Kila pernah terima SMS dan panggilan daripada VIP. Bagaimanapun, impaknya lebih besar sejak Kila menjejakkan kaki dalam dunia glamor.

“Kini, Kila menerima lebih banyak SMS dan panggilan daripada golongan itu. Rata-ratanya mahu berkenalan dan tidak kurang pula yang mengajak Kila keluar,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Meskipun tidak sampai setahun bergelar pelakon, keadaan itu tidak mengejutkan kerana puteri bongsu penyanyi popular 1980-an, Rohana Jalil ini memiliki wajah jelita, unik dan susuk tubuhnya menggiurkan ramai lelaki, apatah lagi golongan berada seperti VIP.

Namun, Kilafairy sudah bersedia sebelum memasuki bidang ini, malah dia sentiasa mendapat nasihat dan tunjuk ajar ibunya supaya tidak tenggelam dalam dunia glamor.

“Sebelum menjejakkan kaki dalam industri ini, mama sering menasihati Kila mengenai cabaran dan dugaan yang harus dilalui. Jadi, Kila lihat ini antara cabaran yang datang.

“Kila tidak mahu cepat melatah. Lagipun, Kila pasti ia menjadi perkara biasa terhadap mana-mana artis baru yang semakin meningkat naik.

“Bagi Kila, itu semua permainan golongan itu. Namun, kalau ada lelaki yang benar-benar ikhlas mahu berkawan, kenapa tidak terus berjumpa?

“Lagipun, Kila belum pernah bercinta dengan sesiapa. Jadi, lebih baik berjumpa bertentang mata daripada menghantar SMS yang mengarut,” katanya.

Sebelum ini, bintang filem seram berjudul Karak ini pernah dipalit kontroversi apabila dikatakan bercinta dengan Yusry KRU.

Malah, gadis tinggi lampai ini juga dihambur kerana didakwa menyuntik botoks bagi mendapatkan bibir tebal dan tubuh badan menggiurkan.

Menurut Kilafairy, dia tidak pernah melakukan sebarang suntikan, apatah lagi pembedahan plastik bagi mendapatkan rupa paras dan bentuk badan cantik.

“Kisah botoks, besarkan buah dada dan pinggul adalah tidak benar. Apa yang Kila miliki kini semuanya anugerah Tuhan. Lagipun, inilah yang Kila warisi daripada perkahwinan campur antara mama (Melayu) dan papa yang berdarah Pakistan.

“Keluarga dan rakan tahu siapa sebenarnya Kila dan mereka sentiasa menyokong dari belakang. Walaupun Kila orang baru, Kila yakin peminat di luar sana pandai menilai yang mana baik atau buruk.

“Kila mahu kekal lama dalam bidang ini. Jadi soal remeh-temeh seperti ini tidak harus dilayan, sebaliknya Kila harus pertingkatkan mutu kerja dari semasa ke semasa.

“Paling penting, Kila mahu dikenali kerana bakat dan bukan cerita panas terbabit,” katanya.

No comments:

Blog Archive