Tuesday, June 14, 2011

Kedudukan Tian Chua-masih tanda tanya

Setakat ini belum ada seorang anggota dewan rakyat yang mengusulkan kepada Speaker mengenai kedudukan Tian Chua-MP Batu, Wilayah Persekutuan.

MP Batu itu didapati bersalah mengiggit telinga seorang anggota polis.Berikutan itu,pertengahan Jun tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Chua, yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret berhubung tuduhan mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

Ketika itu, Pengerusi DAP Karpal Singh yang juga seorang peguam berkata, sebagai contoh, pada 1975 Ahli Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu setelah beliau dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 kerana disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.

Bulan lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, adalah sesuatu “tidak bertanggungjawab” jika tiada wakil rakyat memaklumkan Parlimen sabitan kesalahan Chua (gambar) dan kemungkinan boleh hilang kelayakan.

Katanya, tanpa makluman formal daripada mana-mana anggota Dewan Rakyat, Speaker tidak boleh ambil tindakan ke atas Chua yang kedudukannya kini kelihatan tergantung.

Sementera itu, difahamkan Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN (BBCBN) akan memaklumkan Dewan Rakyat secara formal pagi ini — dipercayai selepas selesainya sesi soalan lisan — bahawa wakil rakyat PKR itu sudah tidak lagi layak menjadi wakil rakyat.

“Kami akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini... ya, selepas sesi soalan lisan, sebab perkara ini perlu dibawa mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat,” kata Timbalan Pengerusi BBCBN Datuk Bung Mohtar Radin.

“Kami mengambil pendirian bahawa beliau (YB Chua) sudah tidak layak hadir sidang Parlimen,” kata beliau.

Difahamkan perkara itu diputuskan pada satu mesyuarat BBCBN semalam.

Kata Bung Mohtar, selepas pemakluman formal itu pihaknya akan menentukan sama ada perlu membawa usul ataupun sebaliknya.

“Sama ada perlu dibawa usul atau sebaliknya kita tunggu perbincangan, keputusan Speaker,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan ini.

Ketika ditanya siapa yang akan membawa perkara itu untuk perhatian Speaker Dewan Rakyat, Bung Moktar berkata, “BBCBN, sesiapa sahaja (anggota BBCBN) akan membawa perkara ini hari ini.”

Mengikut peruntukan perlembagaan dan aturan mesyuarat Parlimen perkara itu perlu dibawa kepada Speaker Dewan Rakyat untuk tindakan susulan sebagaimana pernah disaksikan masa-masa lalu.

Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Tian Chua berhubung sabitan kesalahan menggigit seorang anggota polis.

Dengan perkembangan itu, keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mengenakan denda RM2,000 kekal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status kerusinya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan persoalan berkaitan dengan status Chua kepada Speaker Dewan Rakyat memandangkan tarikh akhir untuk mengadakan pilihan raya kecil sudah pun berakhir.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, hanya Speaker Dewan Rakyat ada kuasa untuk memutuskan perkara itu.

“Terpulang kepada Dewan Rakyat dan Speaker akan menentukan statusnya,” kata Wan Ahmad bulan lalu.

Kata beliau Speaker perlu meleraikan persoalan ini sekarang sebelum pilihan raya umum, yang disebut-sebut akan dipanggil bila-bila masa dari sekarang.

Kata Wan Ahmad, persoalan mengenai status dalam pilihan raya umum akan datang sama ada boleh bertanding atau tidak terletak di tangan Speaker.

No comments:

Blog Archive