Wednesday, May 11, 2011

Pas akhirnya akui agama rasmi Malaysia adalah islam

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Islam adalah agama rasmi Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempertikaikan kedudukan tersebut.

Jelas Tuan Ibrahim, walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut agama Islam adalah agama Persekutuan, namun ia memberikan maksud Islam adalah rasmi negara.

“Persekutuan adalah bermaksud negeri-negeri yang bergabung membentuk persekutuan yang mana Islam adalah agama rasmi negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Agama rasmi Persekutuan adalah agama rasmi bagi negeri-negeri ini, jadi bila kata Islam agama Persekutuan maknanya Islam adalah agama bagi negeri-negeri itu dan ia adalah agama rasmi negara.

“Agama rasmi Persekutuan bermaksud agama rasmi Malaysia, ia sama sahaja sebab Persekutuan ini dibentuk dari negeri-negeri,” katanya.

Tuan Ibrahim mengulas mengenai pandangan peguam Syahredzan Johan yang mengatakan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menggariskan bahawa Islam adalah “agama rasmi” negara dengan merujuk kontroversi yang tercetus ekoran laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bahawa pengikut Kristian mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.

Syahredzan, ketua jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam berkata, tafsiran undang-undang oleh Utusan Malaysia adalah salah dan mengingatkan bahawa langkah akhbar harian itu sebagai “tanggapan salah yang bahaya”, yang boleh membawa negara ke arah rusuhan agama dan sosial.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan, hanya ada satu agama bagi persekutuan, tetapi bukan rasmi atau tidak rasmi.

“Perlembagaan sangat jelas dalam hal ini. Islam bukan agama rasmi,” kata beliau.

Mengulas lanjut kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara, Tuan Ibrahim berkata walaupun ada pihak mahu agama lain termasuk Kristian menjadi agama rasmi ia tidak boleh dilakukan kerana banyak prosedur yang terpaksa diikuti.

“Kalau kita lihat sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan ia melibatkan Dewan Rakyat, perlukan dua pertiga majoriti Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebab itu bagi saya ini isu mainan yang sengaja diwujudkan untuk timbulkan keadaan kerana realiti ia tidak akan berlaku.

“Kedudukan Islam (sebagai agama rasmi) tidak perlu dipertikaikan dan tidak perlu bimbang dengan isu-isu yang sengaja dibuat... Islam adalah agama rasmi Malaysia,” katanya.

No comments:

Blog Archive