Wednesday, August 25, 2010

Saya tak tahu nasib saya: Taib Mahmud

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang sudah 43 tahun aktif dalam politik, termasuk 29 tahun menerajui kerajaan negeri, semalam menyatakan sama ada bertanding pada PRU-Sarawak ke-10 terserah kepada Perdana Menteri dan parti.

Beliau juga membayangkan jika khidmatnya tidak diperlukan lagi, maka beliau tiada pilihan melainkan mengundurkan diri.

"Saya sendiri tidak tahu nasib saya, terpulang kepada Perdana Menteri. Terpulang kepada parti menentukan sama ada saya akan bertanding atau tidak. Jika tidak diperlukan, saya akan berundur," katanya.

Abdul Taib pertama kali mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di bawah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1967 ketika berusia 31 tahun dan selepas itu dilantik Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri pada 1968.

Di bawah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, beliau dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada September 1970. Pada 1972, beliau dilantik Menteri Sumber Asli dan selepas itu memegang pelbagai portfolio di bawah Tun Razak dan Tun Hussein Onn sehingga 1981. Beliau juga pernah dilantik Menteri Wilayah Persekutuan yang pertama pada 1980.

Abdul Taib mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya umum 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999 dan 2004 termasuk beberapa kali menang tanpa bertanding sebelum memutuskan untuk tidak bertanding kerusi Parlimen pada 2008, dengan anaknya Datuk Seri Sulaiman Taib menggantikannya.

Pada 1981, beliau turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebandi bagi membolehkannya kembali ke Sarawak dan menjadi Ketua Menteri, menggantikan Tun Abdul Rahman Yaakub. Beliau juga mempertahankan kerusi DUN Sebandi pada 1983, 1987; kerusi DUN Asajaya (1991, 1996) dan DUN Balingian (2001 dan 2006).

Jika Taib tidak lagi bertanding pada PRU-Sarawak,maka beliau tidak akan lagi menjadi Ketua Menteri. Ini bererti, tamatlah perkhidmatan "the white Rajah" Sarawak.

Siapa bakal pengganti beliau? Ada yang mengatakan Adenan Satem adalah pemimpin yang paling ke depan dibanding pemimpin-pemimpin Sarawak.

Adenan Satem di suatu ketika dilantik sebagai menteri persekutuan di era Tun Abdullah Badawai, namun beliau meletakkan jawatan dengan memberi alasan ingin menumpukan perkhidmatannya di Sarawak. Kini beliau merupakan menteri di jabatan Ketua menteri.

No comments:

Blog Archive