Sunday, August 29, 2010

Pengelibatan Anwar memecat 12 penyokong saya berniat jahat: Dr Jeffery

Ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan dibidas hebat oleh pemimpin parti itu baik dari Semenanjung mahupun di Sabah, kerana dipercayai terlibat dalam cadangan menggantung selama setahun 12 pemimpin PKR Sabah yang menyokong Naib Presiden parti Datuk Dr Jeffery Kitingan dan sekaligus menentang pelan damai yang dipersetujui pada 13 Dis lepas.

Dua belas pemimpin PKR Sabah itu telah disasarkan untuk tindakan disiplin kerana dikatakan terlibat dalam rancangan menubuhkan Parti Cinta Sabah tahun lepas. Idea pembentukan parti baru itu dicadang oleh beberapa pemimpin PKR negeri berikutan pertelingkahan antara Jeffery dan seorang lagi Naib presiden PKR-Azmin Ali.

Bagaimanapun pelan damai itu memastikan tidak ada tindakan dikenakan ke atas mereka yang terlibat menentang parti.

Melalui pemecatan atau penggantungan akan mengakibatkan 12 pemimpin berkenaan tidak layak mengambil bahagian dalam pemilihan parti, sekali gus menghapuskan saingan kepada pencabar mereka di Sabah.

Tindak terbaru Anwar itu mengecewakan pemimpin kanan PKR kerana cadangan tersebut menunjukkan seolah-olah pelan damai telah diketepikan.

Tindakan Anwar mengubah fikiran berkenaan pelan damai itu sama dengan isu-isu lain yang dikaitkan dengan beliau sebelum ini termasuk cadangan mengambil alih kerajaan persekutuan pada 16 Sept, 2008 dan dakwaan tawaran RM2 juta kepada wakil rakyat yang berpaling tadah.

Dalam perkembangan sama, Dr Jeffery berkata penggantugan 12 pemimpin tersebut berniat jahat kerana keputusan dibuat selepas hampir 10 bulan pihak bertelagah berdamai, selain ianya dibuat ketika hari pencalonan untuk pemilihan parti menjelang tiba.

Mereka yang semuanya penyokong Jeffery ialah Daniel John Jambun, Awang Ahmad Sah, Moses @ Mozes Michael Iking, Nicholas James Guntobon, Paul Kerangkas, Slyvester @ Balon Mujim, Innocent Makajil, Nasir Samie, Harry Kujukok Manisit, Rubbin Guribah, Gosibin Yosundang dan Guandee Kohoi.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata bagi menyelesaikan krisis PKR yang bermula tahun lepas, pucuk pimpinan tertinggi mempunyai dua pilihan iaitu sama ada mengambil tindakan menggantung atau memecat mereka yang terlibat, atau berdamai.

"Pucuk pimpinan parti telah memilih untuk berdamai dan bersetuju memenuhi beberapa permintaan yang dibuat oleh saya dan Christina Liew, dan penyokong saya juga bersetuju memulihkan keadaan termasuk menarik balik permohonan mendaftar parti baru," katanya.

Beliau berkata walaupun pelan damai itu belum dilaksana sepenuhnya, namun ia telah menunjukkan kemajuan sejak dipersetujui kira-kira sembilan bulan lepas.

"Parti tidak boleh mengetepikan pelan damai dan memilih opsyen yang satu lagi iaitu menghukum mereka yang terlibat kerana tindakan itu sama dengan memusnahkan pelan damai dan kemajuan yang dicapai serta berbalik kepada asal, dan pada masa yang sama mendedahkan pembuat keputusan tidak jujur," katanya.

Beliau berkata keputusan terbaru itu tidak mencerminkan imej yang baik kepada pembuat keputusan selain menunjukkan mereka terperangkap dengan permainan pengadu yang hanya mahu memenangi pemilihan parti menerusi cara membatalkan kelayakan saingannya.

Katanya jika masalah itu tidak diselesaikan, PKR akan kucar-kacir dan masyarakat akan hilang keyakinan terhadap parti, katanya.b 12 orang itu akan dibuat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada Ahad.

No comments:

Blog Archive