Showing posts with label pru 13 getir bagi BN. Show all posts
Showing posts with label pru 13 getir bagi BN. Show all posts

Tuesday, October 11, 2011

Sejauh mana kebejatan Anwar mempengaruhi pola pengundian PRU-13?

Apabila Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Pematang Pauh, selepas PRU-12, untuk membolehkan suaminya bertanding, Anwar pada masa itu menghadapi tuduhan liwat daripada pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Saiful selain membuat laporan polis, juga telah bersumpah laknat, bahawa dia berkata benar. Namun, masalah moral yang membabitkan Anwar itu, tidakpun menutup peluangnya untuk menang pada PRK Pematang Pauh, malah keputusan berpihak kepada Anwar dengan majoriti yang meningkat.

Selepas itu, 7 PRK yang diadakan dan semuanya dimenangi Pakatan yang dipimpin Anwar. Jika benarlah, bahawa isu moral mampu mempengaruhi pola pengundian, maka tidak sepatutnya pada beberapa PRK Pakatan memberi saingan yang cukup sengit termasuk, 8 PRK yang dimenangi BN.

Seperkara lagi, pada PRN Sarawak, BN kehilangan 16 kerusi pada April lalu. Jika benarlah, bahawa isu moral merupakan faktor penentu pola pengundian, sudah tentunya, Pakatan tidak memberi saingan yang begitu hebat terhadap BN.

Hingga kini, liputan mengenai salah laku moral Anwar masih merupakan pilihan para penulis blog terutama para bloger yang dikategorikan pro Bn, kerana para blogger ini memberi laporan yang tidak bersifat fitnah terhadap gabungan 13 parti itu, melainkan fakta yang sebenarnya.

Namun, AYT sejak akhir-akhir ini berasaskan maklmum balas daripada akar umbi, bahawa masalah moral Anwar bukan lagi faktor penentu dalam pola pengundian pada PRU-13 akan datang.

Rakyat yang pergi mengundi nanti akan memberikan undi kepada pihak-pihak yang mampu memecahkan kebuntuhan yang dihadapi rakyat kini, terutama daripada segi pengagihan peluang yang disediakan, masalah inflasi, masalah harga barangan, masalah jenayah dan masalah persepsi terhadap penjawat awam.

Bajet 2012 BN yang berjumlah RM232.8 bilion mencuba merungkai permasalahan rakyat, namun masih ramai yang muskil apakah semua perancagan melalui bajet tersebut itu akan sampai ke sasaran yakni rakyat biasa.

Memang benar, bahawa kerajaan memberikan berbagai bantuan kepada rakyat, terutama dalam bentuk subsidi barangan pokok, namun pengagihan projek yang besar-besar masih tertumpu kepada kroni-kroni atau mereka yang mempunyai kabel dengan para penjawat awam.

Contoh mudah, bekalan makanan ke asrama-asrama, sama yang di bawah kelolaan MARA atau Jabatan pelajaran, mereka yang menadapat peluang itu, adalah mereka yang mempunyai kabel tertentu dengan pegawai tertentu. Walaupun pada zahirnya, bekalan makanan ke asrama dilakukan secara tender terbuka, namun, individu-individu tertentu juga yang mendapatkannya.

Projek-projek di bawah kementerian Pembangunan luar Bandar misalnya, ada pemimpin tertentu yang mendapat projek-projek tersebut, melalui berbagai nama syarikat. On the paper, memang berbagai syarikat yang mendapatkannya, namun pada zahirnya, ada individu sebagai pemain utama di belakangnya. Tidak perlu menyebut siapa?, AYT hanya memberi gambaran secara umum sahaja.

Selain itu, rakyat merasa terpingah-pingah, ada sebahagian individu yang tiada bisnes jelas, namun mampu memilki harta mewah, hanya kerana dekat dengan pemimpin tertentu.

Sebenarnya faktor-faktor yang mengakibatkan rakyat marah adalah sifat menunjuk-nunjuk mereka-mereka yang mendapat peluang ini. Jumlah mereka hanya sebahagian kecil sahaja, namun mempunyai impak yang sangat besar terhadap kerajaan. Inilah yang dikatakan disebabkan nila setitik, maka susu sebelanga rosak binasa.

Di peringat nasional pula, perkara yang memuakkan rakyat adalah kelibat individu tertentu yang mana bukanpun wakil rakyat, tetapi nampak lebih menyerlah berbanding wakil-wakil rakyat.

Sebenarnya faktor-faktor yang disebutkan diataslah yang akan mempengaruhi pola pengundian pada PRU-13, bukannya faktor moral Anwar.

Monday, September 26, 2011

Isu Ekonomi merupakan faktor penentu pilihan rakyat pada PRU13

Tidak dinafikan bahawa pemansuhan ISA akan mempengaruhi aliran sokongan rakyat terutama pengundi melayu yang ekstrim, namun perkembangan itu tidak akan memberi impak besar.

Bagi rakyat bandar dan rakyat tertentu, memang benar pemansuhan ISA berimpak besar, namun bagi rakyat luar bandar, pemansuhan ISA sebenarnya tiada kesan-kesan apa-apa.

Sebenarnya isu ekonomilah yang sangat berimpak besar terhadap sokongan rakyat.

BN menghadapi masalah untuk mengekang kenaikan harga barangan, kerana trend itu menjejaskan taraf kehidupan sebahagian besar rakyat.

Pembendungan harga barangan yang terus meningkat akan lebih bermanafaat kepada kerajaan BN berbanding memenuhi karena pembangkang yang sibuk memperkatakan berbagai akta seperti ISA, akta mesin cetak dan sebagainya, yang tidak mempunyai erti yang besar terhadap kesejahteraan majoriti rakyat.

Tidak dinafikan, pemanasuhan akta seperti ISA akan menaikkan nama Perdana Menteri yang tercalar akibat tindakan terhadap Bersih2.0 pada 9 Julai lalu, namun impaknya tidak demikian, berbanding memperkenalkan perancangan atau tindakan untuk membaik pulih ekonomi.

Pasaran Saham negara misalnya, semakin menjunam, daripada 1560 mata, kini turun kepada paras sedikit diatas 1390-paras buffer.

Sekiranya melalui Bajet 2012, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tidak memberi penekanan dalam pembaik pulihan ekonomi dalam jangka pendek, sudah tentunya akan mempengaruhi persepsi rakyat majoriti terhadap keupayaan kerajaan BN.

Selepas krisis ekonomi pada tahun 1997-98, Perdana Menteri masa itu Tun Dr Mahathir Mohammad, memperkenalkan tindakan preventif dengan memperuntukkan 8 bilion projek-projek luar bandar bagi tujuan merancakkan perekoniman luar bandar, buktinya pada PRU 1999, BN menang besar walaupun menghadapi era reformasi yang sangat kencang.

Perdana Menteri tiada pilihan, satu tindakan segera perlu dibuat.

Sunday, August 01, 2010

Pru 13 amat getir bagi BN: Muhyiddin

Senario politik masa kini serta perubahan dalam lanskap politik negara sejak pilihan raya umum Mac 2008 menuntut kepimpinan Barisan Nasional (BN) daripada semua peringkat untuk melakukan suatu perubahan yang ketara serta proses transformasi yang boleh diterima rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jika ini gagal dilakukan oleh kepimpinan BN, maka parti itu akan menghadapi masalah menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Kalau itu tidak kita lakukan dalam tempoh yang agak segera...maka pasti bila menjelang pilihan raya akan datang kita akan menghadapi masalah agak besar (yang boleh) mencabar keutuhan kuasa politik," katanya pada majlis makan malam anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Kebangsaan (Mubarak) Malaysia di sini Sabtu malam.

Majlis makan malam ini yang turut dihadiri oleh isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman diadakan sempena Perhimpunan Agung Mubarak ke-7 di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata situasi hari ini adalah berbeza dari segi mengurus parti dan kerajaan kerana rakyat kini banyak membuat penilaian serta pertanyaan terhadap dasar-dasar dan tindakan yang dibuat kerajaan.

Menurutnya, jika transformasi besar yang diharapkan rakyat mampu dilaksanakan dengan jayanya, maka BN dapat mempertahankan sokongan rakyat di masa akan datang.

Muhyiddin berkata cabaran politik hari ini yang merupakan rentetan daripada tsunami politik yang melanda pilihan raya umum lepas adalah amat besar, lebih-lebih lagi dengan pendedahan terhadap maklumat-maklmat terkini di dalam mahupun di luar negara, terutamanya di kalangan anak-anak muda.

Katanya, dengan mindset baru di kalangan anak-anak muda ini, maka wujud tuntutan yang memerlukan urusan dan pentadbiran kerajaan serta hal ehwal parti dilakukan dengan lebih efektif dan telus.

Lantaran itu, Mubarak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan dalam membantu BN menghadapi cabaran masa kini, katanya.

Beliau mengajak kepimpinan Mubarak dari semua peringkat berganding bahu dengan kerajaan dalam membantu menjelaskan pelbagai gagasan, dasar serta pendekatan yang sedang dilakukan kerajaan untuk disampaikan kepada masyarakat umum.

Muhyiddin berkata walaupun anggota-anggota Mubarak tidak memegang jawatan pada masa ini, tetapi pengalaman mereka sebagai bekas wakil rakyat amat berguna dalam usaha memajukan negara.

"Pengalaman lama mereka masih boleh dimanfaatkan dalam situasi hari ini yang amat mencabar," kata beliau.

Blog Archive