Showing posts with label lesen judi. Show all posts
Showing posts with label lesen judi. Show all posts

Monday, July 05, 2010

Chua Loi Lek Pertikai Keputusan Najib Tidak Meluluskan Lesen Judi Sukan

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melahirkan kebimbangannya bahawa keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membenarkan Majlis Tertinggi Umno menolak cadangan memberikan lesen judi sukan akan menjadi sebagai satu 'precedent' yang bahaya.

Katanya, sewajarnya, keputusan ditentukan oleh jemaah menteri dan bukannnya Umno kerana ia menimbulkan tanggapan bahawa parti komponen BN yang lain di bawah telunjuk Umno.

“Kami berasa kecewa...Ia sepatutnya diputuskan pada peringkat kabinet, supaya semua pihak komponen dapat memberikan pandangan mereka,” kata Chua pada sesi wawancara khas dengan beberapa media terpilih di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 25 Jun lalu, Najib mengumumkan bahawa majlis tertinggi Umno sebulat suara menolak cadangan kerajaan persekutuan untuk memberi lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd yang dimiliki oleh jutawan Tan Sri Vincent Tan.

Keputusan itu tidak dijangkakan kerana parti komponen BN seperti MCA, MIC, PPP dan LDP secara terbuka menyokongnya meskipun dibidas dengan meluas oleh rakyat.

Chua bagaimanapun cepat mengelakkan sebarang ketegangan sehari selepas itu dengan berkata MCA menghormati keputusan berkenaan,

Pada wawancara hari ini, Chua menimbulkan tajuk judi sukan tanpa dibangkitkan oleh wartawan apabila disoal apakah kedudukan MCA di bawah Umno.

Presiden MCA itu tidak menafikan persepsi ataupun tanggapan umum adalah sedemikian tetapi menafikan parti Cina itu menyokong idea judi sukan dan menyalahkan media kerana salah-tafsir kenyataannya.

"Tiada orang yang suka berjudi. Jika kerajaan membenarkan pertaruhan sukan, perlu ada peraturan bagi memastikan bookie haram dihapuskan.

"Selain itu, pendidikan bagi membanteras judi perlu diadakan di samping badan khas bagi menentukan cara cukai hasil aktiviti judi itu digunakan,” katanya.

Di sebalik pelbagai cubaan mendapatkan penjelasan daripada Chua sama ada MCA meluahkan, 'sokongan bersyarat', Chua hanya mengulangi kenyataannya sebelum ini.

Saturday, June 26, 2010

Kerajaan BN Tidak Akan Keluarkan Lesen Judi Sukan: Najib

Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan atas pertimbangan agama dan juga kesan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata:

"Saya percaya mereka terima kerana ini keputusan kerajaan. Kerajaan memikirkan sebaik-baiknya kepentingan masyarakat pada keseluruhannya."

Menjawab soalan, perdana menteri berkata, Ascot Sports Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Perdana menteri turut ditanya sama ada kerajaan perlu membayar sebarang pampasan ekoran keputusannya untuk tidak mengeluarkan lesen berkenaan.

Menurutnya, kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana mengikut akta, menteri kewangan ada kuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat kerana kesan sosial dan pertimbangan ekonomi, perdana menteri berkata ia dibuat atas pertimbangan dari segi agama dan kesan politik.

Perdana menteri mengumumkan keputusan tersebut dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Najib berkata, sebenarnya lesen tersebut telahpun bermula pada tahun 1989 tetapi syarikat berkenaan mengalami kerugiaan besar pada tahun 1990.

Sejak tarikh tersebut, katanya, syarikat berkenaan beberapa kali cuba untuk memperbaharui lesen itu.

Baru-baru ini, katanya, kerajaan telah mengeluarkan kelulusan pada dasarnya kepada Ascot Sports dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat berkenaan.

Selain itu, tegasnya lagi, kerajaan pada masa yang sama, turut mendapatkan pandangan umum sebelum lesen tersebut dikeluarkan.

"Ini kerana memandangkan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan mempunyai pandangan mereka tersendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen tersebut dari sudut agama, ekonomi dan sosial," tambahnya.

Katanya, daripada tinjaun yang dilakukan, ada pihak yang menyokong dan menentangnya dan "kita ambil kira semua pandangan ini".

"Jelas pada kerajaan bahawa sebilangan besar mereka tidak bersetuju dengan pemberian lesen judi sukan kepada Ascot Sports.

"Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen berkenaan tidak akan dikeluarkan kepada syarikat tersebut," tegas perdana menteri.

Menurut beliau, keputusan tersebut disokong penuh oleh MT dalam perbahasan dan perbincangan dalam mesyuarat malam ini kerana masing-masing telah mengambil kira pandangan masyarakat.

Selain pembangkang dan NGO, pemberian lesen judi sukan tersebut turut dibantah oleh Umno Johor, Kedah, Perak dan Pemuda Umno.

Malah, Gabungan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengadakan perhimpunan membantah pemberian lesen tersebut pada 3 Julai ini.

Wednesday, June 23, 2010

Kalau Saya Masih Berkuasa Lesen Sukan Saya Luluskan: Tun Mahathir

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata beliau akan meluluskan lesen judi sukan sekiranya masih berkuasa.

"Kalau saya jadi kerajaan, saya luluskanlah," katanya ketika ditemui media selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya oleh wartawan sama ada kerajaan perlu segera meluluskan lesen berkenaan.

Katanya lagi, kerajaan tidak sepatutnya menghalang golongan masyarakat yang dibolehkan berjudi.

"Orang Cina main judi selalu, bagi dia tak haram. Buat apa kita nak sekat dia.

"Apa pasal kita nak larang? Tak boleh halang dia makan babi sebab bagi dia tak haram," katanya lagi.

Pada 14 Jun lalu, Mahathir berkata bantahan pembangkang terhadap usaha meluluskan lesen judi sukan di negara ini bukanlah disebabkan ajaran agama, tetapi demi kepentingan politik semata-mata.

"Bantahan itu kerana politik, bukan kerana Islam. Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan) politik parti pembangkang hendak cari isu.

"Sedangkan dalam muktamar PAS ada cadangan suaya semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak," katanya ketika ditanya tentang bantahan pembangkang melalui pelbagai cara seperti ceramah dan demonstrasi.

Monday, June 07, 2010

Apa Yang Kita Sibuk Soal Lesen Judi Bolasepak: lesen Belum Diluluskan Oleh Kerajaan

Kementerian Kewangan masih belum mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kerana kerajaan masih mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung perkara berkenaan.

Dalam satu jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan/memberi lesen kepada syarikat Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia.

"Kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma pelesenan dengan syarikat Ascot Sports bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di malaysia.

"Kerajaan masih mendapatkan maklumbalas/pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia," kata kenyataan bertulis itu.

Jawapan bertulis itu dikeluarkan bagi jawapan soalan Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Tian Chua (Batu) dan Loke Siew Fook (Rasah).

Sunday, June 06, 2010

Sebenarnya LIM Guan Eng Menyesal Haramkan Judi Bolasepak

Sebenarnya LIM Guan Eng menyesal kerana terlalu awal mengumumkan bahawa judi sepakbola piala dunia diharamkan di negeri Pulau pinang.

Melalui cerita-cerita kedai kopi di Pulau Mutiara itu, sebahagian besar rakyat itu yang berketurunan cina sebenarnya lebih cenderung kepada perjudian sepak bola sempana piala dunia yang akan bermula pada 11 Jun ini.

Namun disebabkan gimik politik, Lim Guan Eng terlalu awal mengumumkan bahawa perjudian itu tidak akan dibenarkan di Pulau pinang.

Lim guan eng terpaksa meminta Anwar memberi kenyataan bahawa "sebenar"nya islam dijaga dengan baik di Pulau Pinang, kerana kerajaan sanggup mengharamkan lesen yang berbentuk judi.

Sebenarnya dengan keenggan Lim Guan Eng ini, maka masyarakat cina yang sememangnya pada masa ini penyokong kuat kepada DAP berada dalam dilemma, pertama judi merupakan salah satu budaya kaum cina, akibat gimik politik, maka kerajaan pilihan mereka terpaksa mengorbankan budaya itu. Kedua, sebenarnya kerajaan pulau pinang adalah syurga dunia judi, kerana di marata tempat terdapat outlet-outlet perjudian yang dibuka di merata tempat, dan beroperasi pada hari-hari rabu, sabtu dan ahad.

Demi gimik politik walaupun terdapat rayuan daripada hartawan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Corp Lim Guan Eng tetap mempertahankan pengumuman awalnya.

Tuesday, May 25, 2010

Pakatan konon Bantah Lesen Judi Tapi Selangor Dan Pulau Pinang Adalah HUB Judi

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali sekali lagi menegaskan bahawa PERKASA merupakan NGO pertama yang membantah apabila kerajaan meluluskan lesen judi pertaruhan Piala Dunia.

Berikutan itu, beliau menyifatkan Dewan Pemuda PAS dan mereka yang berkenaan sebagai 'buta tuli' dan hendak mencari modal untuk menghentam PERKASA apabila mencabarnya berdebat mengenai lesen judi bola itu.

"Sebenarnya, PERKASA (adalah) NGO pertama buat bantahan bila kerajaan nak lulus lesen judi.

"Kenyataan saya keluar dalam Astro Awani banyak kali awal-awal lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas menegaskan demikian sebagai mengulas cabaran Dewan Pemuda PAS pusat untuk berdebat dengan PERKASA mengenai kemungkiran judi.

Cabaran tersebut dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan hari ini.

Beliau mencadangkan debat perdama itu dijalankan atas "kemungkaran judi bercambah dalam negara: tanggungjawab siapa".

Nasrudin berkata, pihaknya bersedia berdebat dengan PERKASA pada bila-bila masa kecuali sewaktu muktamar parti itu dari 9 hingga 13 Jun depan.

Mengulas lanjut, Ibrahim pula mencabar Pemuda PAS mendesak kerajaan Selangor dan Pulau Pinang mengharamkan premis judi seperti yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

"Bukankah Selangor dan Pulau Pinang bawah kerajaan PR (Pakatan Rakyat)," katanya mencabar mereka berbuat jika benar-benar 'anak jantan'.

Sunday, May 23, 2010

Pak Lah Ikut Bantah Lesen Judi

Kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat berhubung keputusan meluluskan lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata rakyat berhak menyuarakan pandangan dan kerajaan juga perlu mendengar pandangan mereka.

"Pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan.

"Bagi orang Islam, judi tak dapat diterima dan bukan sahaja orang Islam agama lain tak suka juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mai...Riuh di Kepala Batas, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung sebelum ini dilaporkan berkata Kementerian Kewangan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, pelbagai pihak mahu kerajaan menarik balik kelulusan itu yang dikhuatiri mengundang gejala negatif di kalangan masyarakat.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai cubaan menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam, Abdullah berkata perkara itu perlu dibendung.

"Saya harap tak ada orang yang ikut dan percaya dengan kata-kata bekas pengikut kumpulan itu," katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan yang menyatakan bekas pengikut kumpulan itu mendakwa pemimpin mereka, Ashaari Muhammad atau Abuya, yang meninggal dunia pada 13 Mei lepas, kononnya cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

Lesen Judi Piala Dunia Ada Kemungkinan Dibatal

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan kepada Berjaya Group baru-baru ini.

Menurut Mingguan Malaysia, hari ini, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, walaupun beliau belum dimaklumkan mengenai reaksi masyarakat berhubung perkara itu secara umumnya, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam.

''Secara jujurnya saya belum lagi dimaklumkan mengenai situasi tersebut tetapi kita (kerajaan) memang mengambil kira reaksi orang awam, Islam dan bukan Islam.

“Saya percaya kerajaan akan mengambil kira perkara itu (reaksi masyarakat tentang kelulusan lesen judi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Muhyiddin menjawab soalan pemberita tentang bantahan masyarakat terhadap langkah kerajaan itu seperti laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 11 Mei lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang tampil menjelaskan mengenai perkara itu memberitahu, lesen tersebut bukan lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada Berjaya.

Selain itu, Chee Heung berkata, penganjur turut diletakkan syarat supaya tidak mengambil pekerja dan menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan yang beragama Islam.

Kelulusan itu ditentang oleh beberapa tokoh sukan tempatan seperti bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh melalui laporan Bernama baru-baru ini.

Selain itu, pakatan pembangkang pula mengecam langkah tersebut dengan Pas bertindak menganjurkan siri demonstrasi bantahan perkara tersebut di beberapa negeri Jumaat lalu.

Saturday, May 22, 2010

Bimbang Sangat Soal Lesen Judi Sepakbola: Di Sabah Beratus MESIN SLOT

Tidak payah mengada-ada, katakan 100 mesin slot yang ada di daerah Kota Kinabalu sahaja. Kalau tiap mesin slot makan duit 100k sehari, maka pendapatan pengurus mesin slot sehari adalah 10 juta riggit; sebulan 300 juta, setahun 3.6 bilion sama dengan pendapatan negeri Sabah. Itu hanya di Kota Kinabalu, belum termasuk Sandakan, Tawau dan tempat-tempat lain.

Wang yang dibelanjakan melalui perjudian ini cukup besar. Dalam kiraan di atas belum termasuk wang yang ditelan oleh outlet-outlet ramalan nombor ekor.

Di Sabah mungkin lebih seribu outlet ramalan nombor ekor.

Tidak boleh dinafikan bahawa putaran wang yang melibatkan judi cukup besar.

Apabila kerjaan menambah satu lagi lesen yakni lesen sepakbola sempana piala dunia yang bermula bulan depan, maka dianggarkan putaran wang untuk tujuan judi akan meningkat.

Biasanya kaki judi ini adalah orang-orang yang tidak berduit, ertinya duit mereka hanya cukup-cukup. Disebabkan khyalan mahu dapat duit banyak, maka meraka terus mencuba dan mencuba, mana lah tahu ada nasib mendapat wang berjuta-juta melalui pertaruhan.

Tidak dinafikan memang ada yang tiba-tiba jadi jutawan kerana menang pertaruhan,namun mangsa perjudian ini terlalu ramai.

Jika pun tiada lesen perjudian diberikan kepada sesiapapun atau syarikat, maka perjudian tetap ada, namun perjudian seperti itu akan terhad kepada kalangan tertentu, dimana kegemarannya adalah berjudi. Mereka boleh terbang ke Austrlia, Amerika atau Makau untuk berjudi, namun bagi mereka yang tidak berduit, maka sekurangnya gian berjudi mereka akan terbantut, kerana kemampuan ke tempat lain terhad. Pada gilirannya, secara perlahan gian itu akan hilang begitu sahaja. Namun, jika di merata tempat tersedia berbagai outlet yang menyediakan jualan ramalan atau berjudi, maka unsur cuba-cuba akan berlaku.

Tidak salah jika pihak pembangkang membantah pemberian lesen judi sepakbola kepada Berjaya Group, kerana telah terlalu banyak sudah lesen judi di negara ini.

Thursday, May 20, 2010

Wajar DS Najib Membisu Soal Lesen Judi

Kerajaan Malaysia adalah kerajaan berbilang kaum dan agama. Walaupun perdana menteri adalah islam, namun kabinet negara ini dianggotai juga oleh penganut agama lain.

Dalam semua agama judi tidak dibenarkan, namun ada kaum dimana judi adalah salah satu budayanya.

Perjudian telah lama wujud di negara ini, kerana itu bagi menagawalnya, maka lesen-lesen diberikan.

Lesen kasino mislanya, jika tidak diberikan, maka kapal-kapal mewah asing akan berlabuh di perairanan antarabangsa, dan penumpangnya ada lah rakyat negara ini yang kaki judi.

Lesen 4 ekor walaupun dilesenkan, namun masih juga ujud pertaruhan gelap yang berpaksi kepada undian 4-d.

Lesen bolasepak, walaupun dilesenkan kepada kepada anak syarikat Berjaya, adalah dirasakan perjudian secara haram juga akan tetap berlaku. Bagi kaki judi, dan bandar, perjudian bukan berasaskan kepada lesen judi, namun kepada kegemaran semulajadi mereka.

Lesen judi yang diluluskan kerajaan akan memperluas jangkauan permainan ini. Jika dahulu mereka yang berpendapatan rendah, hanya mencuba nasib pada pertaruhan 4 ekor pada setiap hari Ahad, Sabtu dan Rabu, yang dianjurkan oleh Magnum, damacai, toto (semenanjung) 88, Sandakan, toto (Sabah), maka kini mereka akan ikut mencuba nasib melalui ramalan keputusan permainan bolasepak piala dunia.

Seharusnya, isu lesen judi ini perlu dijawab oleh kabinet Najib yang bukan beragama islam, bukannya Najib atau timbalannya atau kabinetnya yang beragama islam.

Dalam perkembangan lain Najib enggan mengulas mengenai bidasan pelbagai pihak termasuk golongan agama berhubug tindakan kerajaan meluluskan lesen judi kepada Ascot Sports, yang dimiliki oleh jutawan Tan Sri Vincent Tan melalui Kumpulan Berjaya.“Kita tidak akan membincangkannya,” kata Najib kepada pemberita selepas majlis itu.

Sejak pengumuman lesen judi itu dua minggu lalu, Najib memilih untuk membisu meskipun boleh dikatakan hampir setiap hari dibidas kerana tindakan berkenaan dikatakan akan membawa lebih masalah kepada Malaysia dan mencemarkan imej Islam negara ini.

Najib juga tidak mahu mengulas dan enggan diheret dalam pertikaman lidah antara pemimpin MCA dan kumpulan kanan Melayu, PERKASA.

Blog Archive