Showing posts with label Undi Popular. Show all posts
Showing posts with label Undi Popular. Show all posts

Wednesday, September 20, 2023

UNDI POPULAR INDIKASI PEMIMPIN RELEVAN

DALAM politik, relevan atau tidaknya seseorang pemimpin bergantung pada penerimaan rakyat.

Salah satu indikasi bahawa seseorang pemimpin itu relevan, apabila menang dengan undi popular dalam pilihan raya.

Mereka yang menang dengan undi popular, tidak terkesan dengan jumlah penjuru atau undi yang berpecah.

Pun demikian bagi kawasan-kawasan yang melibatkan berbagai penjuru, mana-mana calon yang mendapat undi 40 peratus ke atas, boleh dikira, calon popular, walaupun undi yang diperolehi bukan popular.

Apabila diamati keputusan-keputusan pilihan raya yang lalu-lalu, calon-calon popular menang walaupun tidak dengan undi popular, dan mereka itu adalah calon-calon yang mendapat undi popular antara 40-49 peratus.

Pada PRN16 Sabah antara pemimpin yang menang berdasarkan undi popular antara lain Datuk Seri Hajiji Haji Noor- DUN Sulaman (65.83%); Datuk Salleh Tun Said- DUN Usukan (65.28%); Datuk Masidi Manjun-DUN Karanaan (73.70%); Datuk Dr Jeffrey Kitingan- DUN Tambunan (75.21%); Datuk Shafie Apdal- DUN Senallang (77.16%); Datuk Ghulam Haidar- DUN Kawang (71.24%); Datuk Arifin Arif-DUN Membakut (60.70%); Datuk Jahid Jahim-DUN Tamparuli (59.26%); Datuk Nizam Abu Bakar Titingan-DUN Apas (58.30%); Datuk Abdul Ghani Yassin- DUN Nabawan (55.94%); Datuk Bung Moktar Radin- DUN Lamag (54.06%); Datuk Ir Shahelmey Yahya-DUN Tanjung Keramat (51.74%); Datuk Joniston Bangkuai- DUN Kiulu (51.93%);

Menerusi undi popular atau calon popular, mencerminkan penerimaan rakyat pada para pemimpin itu, sehingga boleh memberi kesan positif pada parti yang diwakili.

Ertinya cerminan undi popular adalah pemimpin relevan di mata rakyat, bukan sahaja di kawasan masing-masing akan tetapi secara umum di negeri Sabah.

Apa yang boleh ditelaah, selagi pemimpin kategori ini aktif dalam politik, maka rakyat mengambil kira pengelibatan mereka.

Kehadiran pemimpin popular sama ada ditandai dengan undi popular atau yang menang pilihan raya kemudian dirujuk sebagai penyandang pada kawasan-kawasan tertentu, akan menjadi perhatian rakyat semasa pilihan raya. Ertinya rakyat memerhatikan parti mana mereka wakili. Atas sebab itu, dengan kehadiran para pemimpin di platform yang berbeza, menjadikan keputusan pilihan raya sukar diramal lebih awal, kerana para pemimpin dalam kategori ini memberi kesan/impak pada keputusan pengundi.

Dalam mana-mana pilihan raya, rakyat mengundi pada parti yang dikira mempunyai potensi untuk menubuhkan kerajaan. Atas sebab itu rakyat melihat platform pemimpin popular atau pemimpin yang masih relevan di mata mereka.

Isu utama politik Sabah adalah para pemimpin yang dianggap popular atau ada sokongan rakyat berada pada platform yang berbeza, sehinggakan pilihan raya yang sepatutnya memilih parti mana yang menerajui kerajaan, sebaliknya medan rebutan antara para pemimpin, sehinggakan terhasil kelompok-kelompok wakil rakyat berasaskan parti masing-masing, sehinggakan boleh menghasilkan keputusan tiada satu parti pun mendapat sokongan majoriti mudah, akhirnya kerjasama antara parti yang sebelumnya berlawan diperlukan untuk tujuan pembentukan kerajaan.

Tiada yang boleh menafikan bahawa para pemimpin yang berbeza platform ini masih mempunyai pengaruh di kawasan masing-masing.

Jika meneliti latar belakang politik Sabah, hanya dua parti yang pernah menang dalam pilihan raya negeri secara solo, itu Parti Berjaya dan Parti PBS, selebihnya semuanya menerusi kerjasama antara parti, termasuk era USNO, menerusi Perikatan (USNO-SCA), BN dengan berbagai parti, samada parti nasional atau parti tempatan.

Memandang mood rakyat Sabah memilih parti-parti yang disertai/dipimpin pemimpin relevan di mata mereka, maka untuk tujuan membentuk kerajaan, perlu adanya kerjasama antara parti-parti itu dalam pilihan raya.

Terpulang pada mana-mana parti bagai mana menghadapi PRN17, kerana dalam era politik terkini, kecenderungan rakyat adalah pada parti-parti yang terkumpul pemimpin popular, kerana pemimpin kategori ini telah teruji di mata rakyat.

Pendek kata, terpulang pada para pemimpin terkategori popular ini menjadikan parti yang mereka wakili boleh menarik sokongan rakyat secara umum untuk menang sebanyak mungkin kerusi dalam pilihan raya.

Mereka yang berjaya mengatur strategi jitu dan mengena pada aspirasi rakyat, maka parti itu lah yang bakal muncul sebagai pemenang. Fikir-Fikirkan.

Tuesday, April 29, 2014

Kalau PRU-14 Diadakan Sekarang-Masih Kah Undi Popular 52 Peratus? Bagi Pakatan Rakyat

Penyokong Pakatan Rakyat sungguh kecewa, apabila Pemimpin idola mereka Dato Seri Anwar Ibrahim gagal berjumpa Presiden Amerika Barack Hussien Obama. Obama berada di negara ini sejak 26 April dan berakhir pada Isnin.

Pelobi Anwar, gagal memujuk Obama untuk berjumpa Ketua Pembangkang itu; namun demi kelihatan bahawa Amerika mengamalkan pendekatan adil, maka diutuskan Susan Rice untuk bertemu Anwar.

Dalam pertemuan itu, biasalah Anwar bersemangat memberitahu utusan Obama itu berbagai keburukan negara menurut kacamatanya, bahawa tiada lagi yang betul dalam negara ini, kecuali kalau dia menjadi Perdana Menteri.

Anwar juga lupa, sistem yang ada dalam negara telah memberi peluang kepada beliau menjadi Menteri, menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan memberi peluang kepadanya menjadi wakil rakyat, walaupun sebagai mantan banduan.

Juga Anwar tidak mengakui, bahawa sistem dalam negara memberi peluang kepada Pembangkang memerintah beberapa negeri, dan Anwar lupa, bahawa amalan demokrasi dalam negara ini menggunakan pakai sistem kerusi, seperti mana di amalkan oleh negara-negara komonwel, seperti UK, Australia, Kanada dan sebagainya.

Anwar semasa pertemuan itu mengungkit bahawa  "Pakatan Rakyat is the rightful government to this country" kerana mendapat 52% dari undi rakyat negara ini dalam pilihan raya yang lalu.

Malangnya, Anwar lupa, bahawa jika PRU-14 diadakan sekarang, undi popular sebanyak 52% itu mungkin tidak lagi menjadi kenyataan jika pilihan raya diadakan, kerana tentunya sebilangan besar daripada penyokong PAS tidak lagi akan menyokong Pakatan apabila isu hukum hudud timbul.

DAP menentang keras hukum hudud itu, walaupun satu ketika dahulu, pimpinan utamanya berjanji untuk menghormati perjuangan bangsa dan agama lain di negara ini.

Apapun, DAP ada hak untuk tidak bersetuju kerana Islam itu bukan agamanya kepada kebanyakan pemimpin dan ahli parti itu.

Malahan, parti itu meminta PAS agar keluar daripada Pakatan dan sekaligus daripada segi moralnya Pakatan hanya mempunyai dua parti sahaja dalam pakatan pembangkang itu.

Justeru peratusan sokongan yang memihak kepada pembangkang sudah pastinya berkurangan dari 52% yang digembar-gemburkan itu.

Jadi pengakuan Anwar yang Pakatan itu merupakan pihak yang secara politik dan moralnya adalah parti yang sepatutnya menjadi kerajaan itu sudah tidak relevan lagi.

DAP dengan jelasnya meminta PAS keluar daripada Pakatan, dan parti itu berkata yang dalam politik tidak ada persahabatan dan permusuhan yang berkekalan, maka DAP merasakan ini adalah masanya untuk mengambil tindakan berpisah dengan PAS, kerana perbezaan yang sangat jelas dalam banyak hal perjuangan dan matlamat parti masing-masing.

Seandainya PAS benar-benar tidak lagi bersama dalam Pakatan, parti itu tidak akan menghadapi masalah moral kerana sememangnya daripada awal penubuhannya, perjuangannya adalah untuk meningkatkan Islam yang hendak diaddinkan dalam pentadbiran kerajaan negara ini.

Malah, jika PAS benar-benar parti yang mempunyai moral dan maruah yang tinggi, parti itu sepatutnya menyahut cabaran DAP itu kerana ini merupakan keputusan yang menjadi penentu kepada masa depan parti itu sama ada ia parti yang boleh diyakini dan tidak berbohong di pandangan mata rakyat.

PAS boleh memberikan penjelasan yang baik dalam isu hudud ini jika parti itu benar-benar mahu melaksanakan hudud di negeri Kelantan.

Kelantan adalah salah sebuah negeri yang menganggotai Persekutuan ini dan Kelantan sama seperti negeri lain yang memberikan sumbangan kepada kedaulatan negara.

Kedaulatan negara datangnya daripada penyertaan negeri yang berdaulat dalam Persekutuan ini, kerana negeri itu juga mempunyai legislatifnya sendiri.

Tiada salahnya jika negeri itu mempunyai undang-undangnya sendiri yang berlainan daripada undang-undang di peringkat persekutuan dan negeri-negeri yang lain.

Amerika Syarikat juga adalah sebuah negara Persekutuan yang dianggotai oleh 52 negeri di dalamnya dan ada negeri dalam Amerika Syarikat yang mana sebahagian daripada undang-undangnya berbeza dengan undang-undang di negeri-negeri lain AS itu.

Maka tidak ada kesalahannya jika di Malaysia, Kelantan dibenarkan melaksanakan hukum hudud itu memandangkan negeri itu mempunyai 97% rakyat yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Hanya yang perlu menjadi fokusnya sekarang ini, tentukan undang-undang hudud itu adalah hudud yang sebenarnya, dan ini belum ternyata lagi berjaya atau gagalnya pelaksanaannya di Kelantan.

Sebagai seorang Islam, saya ingin melihat undang-undang hudud ini terlaksana di Kelantan yang akhirnya nanti dapat membezakan undang-undang mana yang lebih baik daripada yang ada sekarang ini.

Alasan hudud ini menyalahi Perlembagaan negara adalah alasan yang lemah.

Negeri-negeri berdaulat itu ada undang-undang tubuh dan enakmen syariahnya sendiri yang boleh dipinda untuk kehendak rakyat negeri itu.

Yang penting, kerajaan Persekutuan memberikan sokongan yang secukupnya bagi negeri ini untuk melaksanakan undang-undang itu.

Kita bersetuju yang undang-undang hudud ini wajar dilaksanakan dengan berhati-hati agar ia tidak menjejaskan negara, tetapi ia tidak semestinya menjadi alasan kenapa hudud itu tidak perlu dilaksanakan di Kelantan.

Mungkin ia memerlukan penglibatan ramai sadaqiah Islam peringkat antarabangsa yang berwibawa untuk membantu bagi pelaksanaan cita-cita PAS untuk melaksanakan hukum itu di negeri Kelantan yang 97% daripada rakyatnya beragama Islam itu.

Mungkin bukan mudah untuk memulakan pelaksanaannya, tetapi tidak salah untuk diusahakan dan memulakan pelaksanaannya dalam keadaan berhati-hati dan cermat.

Yang pentingnya, dalam tidak berapa lama selepas pelaksanaannya, kita dapat membuktikan hukum dan undang-undang Islam itu mampu untuk menunjukkan kewibawaannya daripada hukum-hukum sivil yang ada hari ini.

Jika ia gagal menunjukkan bukti itu, maka yang gagal nanti ialah PAS, bukannya hukum Allah itu.

Kegagalan adalah sifat mustahil bagi Allah. Tiada apa yang gagal bagi Allah kerana nyawa dan nafas kita sendiri adalah daripada Allah dan terbentangnya dunia dan alam ini adalah kenyataan kehebatan yang mustahil boleh dibandingkan dengan sesuatu.

Masakan hukum dan undang-undang agama yang diturunkannya itu adalah undang-undang yang gagal memberikan keadilan kepada umat sejagat.

Berbalik kepada isu sokongan 52% kepada Pakatan yang disebut oleh Anwar itu, hakikat sebenarnya sekarang ini keadaan 52% yang memihak kepada Pakatan itu bukan lagi satu kenyataan, dan ia menjadi sejarah, bukan kerana sesiapa, tetapi kerana Pakatan itu sendiri.

Sunday, July 21, 2013

Isu Undi Popular: Noh Omar Ambil Contoh Kes Liwat Anwar

Sistem demokrasi berparlimen dan undi popular terus mendapat tempat dalam setiap kali perbahasan di Dewan Rakyat sejak pembukaannya minggu lepas.

Kali ini Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar pula membahaskan isu tersebut.

Menurutnya, pembangkang berhasrat mengubah sistem dalam negara apabila cuba mengambil 'undi popular' semata-mata ingin mendapatkan kuasa mutlak memerintah.

Lantas yang demikian, Noh mengajak Dewan supaya mengambil perumpamaan mudah dengan mengambil contoh sistem yang terdapat di institusi kehakiman negara.

"Ambil contoh kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Tujuh hakim, hakim mahkamah tinggi mendapati beliau bersalah, tak puas hati rayu di mahkamah rayuan dan tiga hakim dengar (kes) turut mengatakan beliau bersalah,

"Kemudian rayu lagi ke mahkamah persekutuan yang mempunyai tiga orang hakim, dua hakim mengatakan beliau tidak bersalah manakala seorang lagi hakim masih mengatakan bersalah.

"Ini bereti dalam kes liwat Ketua Pembangkang daripada tujuh orang hakim, lima (hakim) kata bersalah dan dua tidak, Kenapa dia lepas (bebas), kerana sistem kita. Kalau nak pakai sistem majoriti hakim, tentu dia tidak lepas daripada penjara," tegasnya ketika sesi perbahasan Titah YDP Agong di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu. 

Dalam pada itu Noh turut menggesa para Ahli Parlimen terutamanya dikalangan parti pembangkang supaya menghormati undang-undang sedia ada serta mengambil iktibar daripada negara-negara membangun lain yang menggunakan sistem sama untuk memilih kerajaan memerintah.

"Kita ada undang-undang kita. Ahli Parlimen Gombak (Azmin Ali) suruh ikut Britain, bagaimana untuk bahagi kawasan pilihanraya. Jika mahu ikut sistem di Britain, kenapa mereka disana tidak mengambil undi popular," ujarnya.

Merujuk pilihanraya di Britain pada tahun 2010 menyaksikan parti konservetif memperolehi 36 peratus undi popular. Akan tetapi, Britain yang tidak menggunakan sistem undi popular telah menyebabkan parti tersebut tidak layak menubuhkan Kerajaan dengan jumlah kerusi yang dimenangi daripada 326 kerusi (parti konservatif).

Situasi yang sama di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2000 apibila Al Gore yang mewakili Parti Demokrat memenangi undi majoriti lebih banyak daripada Presiden AS pada ketika itu George W Bush.

"Ketua Pembangkang kena belajar dengan rakannya Al Gore. Hormati undang-undang mengikut perlembagaan yang ditetapkan." tegasnya.

Keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) lalu menyaksikan kebanyakkan pemimpin dikalangan pembangkang cuba membangkitkan berhubung undi popular.
Dalam pilihanraya itu Pakatan Rakyat (PR) memperolehi undi popular melebihi Barisan Nasional (BN) namun PR gagal dipilih sebagai kerajaan pemerintah akibat daripada kekurangan kerusi yang dimenangi.

Blog Archive