Showing posts with label PRN Sarawak 2016. Show all posts
Showing posts with label PRN Sarawak 2016. Show all posts

Wednesday, May 11, 2016

PRN 11 Sarawak: Apa Maksud Tun Dr Mahathir- DS Najib Sebenarnya Kalah?

Terlihat dengan nyata, mengapa selama 22 tahun Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, Sabah dan Sarawak sebenarnya dijadikan jajahan. Kerana merupakan jajahan, maka keperluan rakyat Sabah dan Sarawak daripada segi pembangunan diberikan dengan alah kadar. Ibarat, hidangan makan dalam satu majlis, meja yang diduduki Tun Dr Mahathir dengan penyokongnya dihidangkan dengan berbagai kombinasi lauk pauk, manakalah meja yang diduduki pemimpin Sabah dan Sarawak, hanya disediakan nasi bungkus.

Selepas keputusan PRN 11 Sarawak, di mana Bn Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, Mantan Perdana Menteri itu menyifatkan kemenangan Bn Sarawak itu adalah kemenangan mutlak Tan Sri Adenan, dan kekalahan teruk bagi DS Najib Razak. Menurut mantan Perdana Menteri itu, melalui kemenangan Adenan, kini pusat kuasa bukan lagi di Putrajaya melainkan berpindah ke Kuching, ibu negeri Sarawak.

Melalui kenyataan bahawa pusat kuasa telah bertukar, menunjukkan, bahawa mantan Perdana Menteri itu, sebenarnya sangat marah, apabila DS Najib Razak memberikan apa yang hak kepada Sarawak, dan menyangkal pendekatan beliau selama memerintah, bahawa Sabah dan Sarawak merupakan negeri jajahan.

Sabah dan Sarawak, sebenarnya tidak meminta lebih daripada apa yang dipesetujui pada tahun 1963, apabila negara baru dibentuk, iaitu Persektuan Malaysia. Rakyat Sabah dan Sarawak tidak meminta hak rakyat Semenanjung, sebaliknya hanya meminta hak dua negeri itu sepertimana yang ditulis melalui Perkara 18 (Sarawak) dan Perkara 20 (Sabah).

Sebenarnya, melalui Perjanjian Malaysia 1963, setiap 10 tahun, akan dilakukan kajisemula berkaitan dengan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak, namun sehingga kini, ianya tidak dilakukan. Walaupun tidak dilakukan, namun selepas DS Najib Razak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2 April 2009, beliau menyatakan akan mendengar degup jantung rakyat Sabah dan Sarawak. 

Melalui pengakuan Perdana Menteri ke-6 negara itu, maka diumumkan pembinan Trans Borneo yang menghubungkan semua pekan atau bandar di Sabah dan Sarawak, di mana lebuh raya itu mengandungi 4 lorong (dua lorong sehala). Bayangkan selepas 50 tahun, barulah rakyat Sabah dan Sarawak mendapat lebuh raya 4 lorong, sedangkan lebuh raya seumpama itu telah berdekad dirasai atau dinikmati penduduk Semenanjung.

Rakyat Sabah dan Sarawak adalah rakyat yang tahu mengenang budi, seperti mana kerap diucapkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman- Ada Ubi Ada Batas, Ada Budi Ada Balas. Rakyat Semenanjung begitu marah dengan rakyat Sarawak kerana memberikan kemenangan kepada Bn Sarawak. Ada rakyat Semenanjung mendakwa, bahawa rakyat Sarawak tidak tahu melihat masa depan. Rakyat Sarawak sebenarnya telah memberi isyarat kepada parti-parti yang bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir, jangan paksa rakyat menyokong parti-parti yang disokong oleh mantan pemimpin yang tidak memberi pembelaan kepada mereka. Bayangkan dalam tempoh 22 tahun, rakyat Sabah dan Sarawak digengam kemiskinan, hanya kerana hak yang sepetutnya diberikan, tidak diberikan, sebaliknya pemberian hanya bersifat ala kadar.

Sebenarnya rakyat Sabah dan Sarawak terselamat, hanya kerana perlantikan DS Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Pada masa pilihanraya Sarawak, terlihat bagaimana Perdana Menteri dan Menteri-menteri persekutuan memberi perhatian kepada pembangunan Sarawak. Melalui kempen semasa pilihanraya Sarawak, para menteri Persekutuan berpeluang melihat sendiri, bagaimana ketinggalannya Sarawak, atas sebab itu, berbagai projek diumumkan oleh Perdana Menteri dan para menteri persekutuan.

Melihat kepada pembelaan Perdana Menteri dan para menteri dalam kabinet beliau, rakyat Sarawak memberi respon dengan memberi undi kepada Bn Sarawak yang diketuai oleh Tan Sri Adenan Satem.

Kepada pembangkang, selagi rakyat Sabah dan Sarawak dibela dan tidak dijadikan sebagai jajahan, maka selagi itu rakyat dua negeri itu memberikan sokongan kepada pemimpin yang membela mereka.

Rakyat Sabah dan Sarawak adalah rakyat yang tahu mengenang budi, walaupun ianya tidak disukai oleh sebahagian rakyat Semenanjung, khususnya penyokong pembangkang.

Monday, May 09, 2016

Disebalik Keputusan PRN 11 Sarawak

Apa yang dapat di analisis terhadap keputusan PRN 11 Sarawak? Daripada 82 kerusi, Bn menang 72, mewakili 88 peratus daripada keseluruhan. Daripada 80 kerusi yang dipertandingkan, Bn mendapat undi popular 63 peratus. 

Melihat kepada jumlah kerusi yang dimenangi Bn, boleh dikatakan mewakili jumlah kerusi parlimen yang dimiliki Bn Sarawak, iaitu 27 daripada 31. Angka 27, walaupun tidak mencapai 88% akan tetapi angka itu mencerminkan jumlah kerusi ADUN. 

Kalaulah diambil keputusan PRN 11 Sarawak, maka pada PRU-14, yakni dua tahun daripada sekarang, jumlah kerusi yang bakal dimenangi Bn, akan berlegar-legar pada 87 peratus atau 27 kerusi parlimen. Jumlah itu merupakan jumlah yang sangat signifikan terhadap Bn secara keseluruhan.

Berasaskan kepada keputusan PRN 11 Sarawak, nampaknya keputusan itu memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai simpanan tetap Barisan Nasional di samping negeri jiran- Sabah.

Apa yang malang selepas rakyat Sarawak membuat keputusan, penyokong pembangkang di luar Sabah dan Sarawak, membuat berbagai posting di media sosial menguntuk rakyat Sarawak dengan berbagai panggilan, termasuk mempergunakan agama. Nampaknya penyokong pembangkang di Semenanjung, tidak menghormati keputusan rakyat Sarawak, hanya kerana calon-calon mereka tumpas dengan teruk.

Politik benci dan samseng yang digunapakai di Semenanjung, langsung tidak di terima di Sarawak, atas sebab itu, parti yang mengamalkan cara politik demikian kalah teruk.

Melihat kepada trend pengundian di Sarawak, trend itu sebenarnya hampir sama jika diadakan pilihanraya di Sabah. Sebabnya, perasaaan dan komitmen rakyat dua negeri itu tidak jauh beza. 

Sabah dan Sarawak yang diduduki puluhan etnik, dengan latar belakang yang hampir sama, sudah tentunya mempunyai emosi yang hampir sama dalam menentukan masa depan negeri dan rakyatnya.

Nampaknya, iguan pembangkang untuk menerobos rakyat Sabah dan Sarawak, tidak akan berjaya sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun daripada sekarang.

Melihat kepada trend emosi rakyat Sabah dan Sarawak, apa yang perlu dan patut bagi pemimpin pusat adalah pembelaan, kerana rakyat dua negeri perlu pembelaan yang saksama, kerana masih ketinggalan berbanding keadaan rakyat Semenanjung setidak-tidaknya 10 tahun.

Pemimpin Bn Pusat, janganlah bimbang, jika pilihanraya diadakan nanti, dua negeri itu akan tetap menyumbang minima 50 kerusi parlimen termasuk W.P. Labuan. Oleh kerana jumlah kerusi parlimen berjumlah 222, maka Bn di Semenanjung hanya perlu menang 62 kerusi, bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Para pemimpin Bn pusat, perlu meyakini rakyat Sabah dan Sarawak, selagi politik benci, samseng dan tipu diamalkan oleh parti-parti politik pembangkang, selagi itu, rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan terpengaruh.

Apa yang paling penting bagi Bn di Semenanjung, adalah memerkukuhkan kedudukan di kawasan-kawasan yang dimenangi, dan senantisa mengambil penduli keperluan rakyat di kawasan-kawasan itu, maka dengan demikian menjamin kemenangan pada setiap kali pilihanraya. Dengan demikian, impian pembangkang, untuk menduduki Putrajaya, tidak akan kesampaian, sehinggalah Lim Kit Siang dan Dato Seri Anwar Ibrahim pencen atau tidak aktif lagi dalam politik.

Sunday, May 08, 2016

PRN11 Sarawak: Disebalik Kemenangan Besar Bn

Kemenangan besar Barisan Nasional Sarawak di bawa pimpinan Tan Sri Adenan Satem pada PRN 11 Sarawak sebenarnya bukan satu kejutan, memandangkan persiapan yang telah dijalankan parti-parti Bn bagi menghadapi pilihanraya itu.

Juga bukan sesuatu yang pelik, apabila 72 kerusi dimenangi Bn, dua kerusi tambahan sepertimana ramalan Adenan yang beliau beritahu wartawan minggu lalu.

Pengamit undi yang dicipta Tan Sri Adenan “Berikan saya peluang 5 tahun lagi” merupakan satu tarikan kepada pengundi dan dianggap sebagai faktor utama kemenangan besar parti barisan nasional.

Sejak dilantik ke jawatan Ketua Menteri pada Februari 2014 bagi menggantikan Tan Sri Taib Mahmud (kini Tun), beliau telah bertindak melakukan aku janji dengan SPRM, bahawa beliau tidak akan memberikan sebarang kontrak kerajaan atau tanah kepada ahli keluarga beliau.

Selama 2 tahun berkhidmat sebagai Ketua Menteri, Tan Sri Adenan telah membuat 53 keputusan dan pendekatan yang disifatkan dekat dengan hati rakyat, antara lain keputusan mengiktiraf sijil sekolah daripada sekolah-sekolah cina. Keputusan ini, sebenarnya punca kembalinya kaum cina menyokong barisan nasional.

Sebagai kesan kepada polisi yang diperkenalkan Ketua Menteri itu, maka berimpak positif kepada parti pimpinan beliau, dan sebaliknya berkesan buruk kepada parti pembangkang, khususnya parti DAP.

Pada PRN 11 Sarawak, parti DAP bertanding 31 kerusi disamping mempertahankan 12 kerusi yang dimenangi, hakekatnya, selepas keputusan diketahui, DAP kehilangan 5 kerusi yang dipertahankan (Batu Kawah, Piasau, Dudong, Repok dan Meradong) dan mempertahankan Kota Sentoasa, Pending, Padungan, Pelawan, Bukit Assek, Tanjung Batu dan Pujut dengan majoriti yang berkurangan. Pancapaian parti itu di kawasan bumiputera sungguh mengecewakan, kecuali bagi kawasan Mambong, Bukit Semuja dan Tasik Biru.

Kekalahan teruk parti pimpinan Lim Kit Siang itu, termasuk kehilangan wang pertaruhan calon parti itu di Mulu, apabila pemimpin utama parti itu daripada suku Dayak Paul Raja hanya mendapat 309 undi.

Parti pembangkang lain yang berpakat dalam Pakatan Harapan, seperti PKR, sebenarnya kalah teruk, kecuali di tiga kawasan, Krian, Ba’Kelalan dan Batu Lintang. Sementara parti Amanah, parti baru pimpinan Mat Sabu, bukan sahaja tidak menang, akan tetapi semua calon-calon parti itu hilang wang pertaruhan.

Apa yang nampak daripada keputusan PRN 11 Sarawak, isu-isu nasional seperti GST, 1MDB tiada impak langsung kepada para pengundi, khususnya pengundi luar bandar. Namun, oleh kerana isu ini mempunyai tempat di hati para pengundi bandar, maka atas sebab itu, parti DAP boleh menang di kawasan bandar.

Melihat kepada trend pengundian di Sarawak, diharapkan para pemimpin nasional mengambil iktibar bagi berdepan dengan PRU-14.

PRN11 Sarawak: Politik Benci dan Tipu Ditolak Rakyat

Parti pembangkang yang diketuai DAP, yang berkempen mengunapakai pendekatan benci dan tipu, terbukti tidak mendapat tempat di hati rakyat Sarawak. Walaupun parti itu, masih menang 7 kerusi majoriti kaum cina, namun sebenarnya, parti milik Lim Kit Siang itu kehilangan 5 kerusi yang dimenangi pada tahun 2011.

Rakan DAP, parti PKR, yang bertanding 40 kerusi, hanya mampu menang 3 kerusi, kerusi yang dimenangi tahun 2011.

Pada PRN kali ini, cubaan DAP menerobos kawasan bumiputera, ternyata gagal sama sekali, malah ada calon-calon daripada parti itu hilang wang penduhluan.

PRN 11 Sarawak yang berlabuh semalam, dan keputusan Bn Sarawak (PBB, PRS, SPDP dan SUPP) menang 72 kerusi, satu kedudukan yang amat kukuh. Seperti yang diramal bahawa semua calon parti PBB bakal menang, terbukti benar. Pada PRN kali ini, selain PBB menang 100%, parti PRS juga mengikuiti jejak rakan utamanya tersebut.

Apa yang boleh disaksikan melalui PRN 11 Sarawak, bahawa politik benci dan tipu ditolak rakyat Sarawak, sebaliknya politik pembangunan dan janji nyata merupakan pilihan mereka.

Selepas ini, kerajaan yang dibentuk akan merealisasikan janji-janji piliharaya, yang meliputi perbelanjaan mendekati RM3.5bilion. Tujuan kepada pemberian kewangan kepada Sarawak itu, adalah untuk memenuhi keperluan pembangunan di negeri itu, khususnya prasarana seperti jalan raya dan pembinaan sekolah-sekolah serta jambatan-jambatan.

Parti pembangkang yang mempergunakan isu GST, wang derma kepada Perdana Menteri, isu 1MDB, sama sekali ditolak rakyat., malah isu menjadikan parti DAP menjadi mangsa pendekatannya sendiri, apabila kehilangan 5 kerusi.

Politik benci dan tipu, sebenarnya tidak kekal di hati rakyat. Apabila isu-isu yang dibawa terungkai, maka padah akibatnya.

Kemenangan Bn Sarawak semalam, ada pihak-pihak yang memperlekehnya termasuk mantan pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan kononnya kemenangan Bn Sarawak atas sebab persempedanan baru serta politik wang. Sungguh malang, seorang peguam yang bepengalaman sanggup menipu dan tidak tidak berkata benar, bahawa persempadanan, tiada hubungkait dengan dengan sokongan pengundi. Berkaitan dengan politik wang, Ambiga tidak mampu membezakan, bahawa pengumuman peruntukan dilakukan oleh kerajaan yang memerintah sebagai bentuk pembelaan kepada rakyat. Projek yang diluluskan adalah keperluan rakyat secara keseluruhan, bukannya diberikan kepada individu. Rupanya Ambiga, benci dan marah jika rakyat dibela.

Saturday, May 07, 2016

PRN11 Sarawak: 1.1juta Pengundi Menentukan Masa Depan Sarawak

TEPATnya, pada Sabtu 7 Mei, sejumlah 1,085,087 pengundi menentukan parti mana yang menguasai 80 kerusi DUN yang dipertandingkan. Pada selesa lalu, seramai 24,604 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab.

Pengundian hari ini, tidak termasuk DUN Bukit Kota dan DUN Bukit Sari, kerana calon Bn menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon, 25 April lalu.

Sebelum pembubaran DUN Sarawak, daripada 71 kerusi, Bn Sarawak yang terdiri daripada parti PBB, PRS, SPDP dan SUPP menguasai 55 kerusi, manakala DAP 12, PKR 3 dan Bebas satu.

Pada PRN11 Sarawak, sejumlah 82 kerusi dipertandingkan, kerana persempedanan semula kawasan pilihanraya.

Pilihanraya kali ini, akan mencerminkan pola pengundian pada PRU-14 akan datang, khususnya, ke arah mana, pengundi kaum cina berkiblat.

Pada PRN11, Sarawak, parti DAP, cuba menerobos kawasan bumiputera dengan meletakkan beberapa calon, sebagai “acid test” kepada parti itu. Jika ada calon daripada parti itu boleh menang, maka, julung kalinya, parti yang ditolak bumiputera lebih setengah abad, mendapat tempat.

Namun, berasaskan penganalisis politik setempat, pola pengundian, tidak banyak beza, berbanding dengan pola pengundian masa-masa lalu, di mana kawasan bandar, yang bermajoiti kaum cina akan mengundi parti pembangkang, khususnya parti DAP. Apa yang mahu dilihat, apakah “team adenan” mampu mengurangkan majoriti atau boleh melakukan “upset”.

Pada PRN11, kalau dikira, lucuran kewangan yang diberikan barisan nasional yang berbentuk pembangunan, tidak kurang RM500juta, termasuk peruntukan yang disalurkan melalui “jiwa murni” angkatan tentera, manakala pembangkang, hanya menabur air liur dengan berbagai janji retorik. Kalaulah pengundi Sarawak, menilai bantuan kerajaan Barisan Nasional daripada segi kewangan, maka, tidak sepatutnya parti-parti pembangkang diberikan undi, namun perkiraan para pengundi, khususnya di kawasan bandar dan spra bandar, bukan daripada segi pembelaan kepada rakyat, akan tetapi berasaskan fahaman politik sempit yang tidak menupang kepada pembangunan negeri dan rakyat.

PRN11 Sarawak, meskipun, banyak pihak termasuk Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, mengatakan bahawa pilihanraya itu, tiada kaitan dengan isu nasional, khususnya isu yang menyelubungi Perdana Menteri, namun, sedikit sebanyak, keputusan pilhanraya itu, mahu melihat apa kah rakyat Sarawak, benar-benar tidak terpengaruh dengan isu nasional.

Jika pola pengundian, pada pilihanraya kali ini, pengundiberikan kemenangan kepada calon-calon Bn Sarawak, bukan sahaja kuasa 2/3, iaitu 55 kerusi akan tetapi lebih daripada itu, maka dengan sendirinya menunjukkan, bahawa sokongan rakyat Sarawak kepada "team adenan" yang bervisi mengembalikan hak-hak Sarawak sepertimana tertulis dalam perkara 18, semasa persetujuan membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Perdana Menteri telah memberi jaminan, bahawa hanya melalui parti yang sama sahaja, rundingan mengembalikan hak-hak Sarawak boleh dilakukan. Dengan kata lain, dengan memberi sokongan padu kepada calon-calon Bn Sarawak, rakyat percaya dan yakin, bahawa pengembalian hak-hak Sarawak boleh berlaku melalui parti-parti Bn Sarawak.

Sama-sama kita tunggu, keputusan rakyat Sarawak, yang akan diketahui kurang daripada 24 jam daripada sekarang.

Friday, May 06, 2016

PRN11 Sarawak: Kerjasama Jajaran Pemimpin Bn Luar Biasa

Telah 10 kali PRN Sarawak, hanya PRN ke-11 ini, semua jajaran pemimpin Bn berkampung di Sarawak.

Diperingkat pusat, seluruh kabinet DS Najib Razak terlibat, termasuk para pegawai kanan kementerian yang diterajui para menteri kabinet.

Selain itu, pemimpin negeri jiran- Sabah, juga tidak ketinggalan. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, sejak penamaan calon, sudah berada di Sarawak, meskipun pada awal kempen, bertindak on-off, namun sejak hujung minggu sehingga ke saat ini, Ketua Menteri Sabah itu turut membantu rakan sejawatan beliau Tan Sri Adenan Satem.

Di atas kertas, parti Bn, akan menang mudah, dan bakal membentuk kerajaan kuasa 2/3. Kuasa 2/3 hanya memerlukan 55 kerusi. Daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, 40 kerusi daripada PBB. Daripada 40 itu, 2 Dun sudah dimenangi tanpa bertanding di hari penamaan calon.

Di atas kertas, PBB akan menang 38 kerusi yang ditandingi. Jika semua calon PBB menang, maka membolehkan parti itu menyumbang 40 kerusi. Dengan jumlah itu, maka hanya memerlukan 15 kerusi daripada PRS, SPDP dan SUPP. Diperkirakan PRS pasti menang 8, SPDP 3, sementara SUPP 2, dan 2 calon langsung Bn.

Melihat kepada faktor Adenan, nampaknya Bn bakal menambah antara 11-17 kerusi atau boleh meningkat kepada 22 kerusi. Senario paling rendah perolehan Bn Sarawak adalah 60, pertengahan 66, tinggi 72, dan tertinggi 77.

Friday, April 29, 2016

PRN11 Sarawak: Apa Yang Mahu Dilihat?

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 menyaksikan hanya 80 kawasan Dewan Undangan Negeri jadi rebutan pada 7 Mei, kerana dua kerusi telahpun dimenangi Barisan Nasional pada 26 April tanpa bertanding.

Bagi tujuan menubuhkan kerajaan negeri, maka Bn hanya memerlukan tambahan 40 kerusi bagi menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah.

Di atas kertas, pada PRN-11 Sarawak ini, bukan soal apa kah Bn akan gagal menubuhkan kerajaan, akan tetapi berapa banyak kerusi yang bakal dimenangi parti pembangkang. 

Parti Bn Sarawak, mensasarkan menang 72-77 kerusi. Jumlah itu, bukan sahaja satu jumlah kuasa 2/3, akan tetapi menggambarkan betapa kuatnya “team Adenan”.

Kalau dilihat daripada segi isu, parti pembangkang tiada isu yang boleh disasarkan kepada Ketua Menteri Sarawak itu. Jika, kita jengok kembali semasa PRN10 Sarawak, pembangkang hanya menumpukan serangan mereka kepada Tan Sri Taib Mahmud (kini Tun dan TYT Sarawak), bukannya kepada parti barisan nasional.

Pada PRN11 ini, nampaknya pembangkang ketandusan isu, kecuali isu yang bersifat pembangunan atau kemajuan, seperti isu infrastrukutur di pedalaman. Isu seumpama itu, adalah isu beterusan, kerana memang sifatnya memerlukan masa yang panjang serta kewangan untuk menyempurnakannya.

Pengundi perlu rasional, apabila berkiatan dengan pembangunan, kerana pembangunan merupakan matalamat utama setiap kerajaan. Namun, seperti yang disebutkan, pembangunan selain memerlukan kewangan juga memerlukan masa. Tiada kerajaan yang boleh membawa pembangunan sekelip mata. Jika ada yang mendakwa demikian, maka kenyataan itu hanya bersifat retorik dan janji bulan bintang.

Walaupun di atas kertas, Bn Sarawak akan menang mudah, namun apa yang mahu dilihat pada PRN kali ini, apa kah pengundi kaum cina kembali menyokong Bn? Apa kah 13 calon-calon SUPP yang bertanding di kawasan majoriti kaum cina, merupakan satu-satunya parti komponen Bn di mana calonnya kalah? kerana, menurut tinjauan, calon-calon daripada PBB, PRS, SPDP dan calon langsung Bn, akan menang keseluruhannnya.

Ramai para penganalisis, melihat PRN Sarawak kali ini, merupakan indikator kepada mood pengundi dan ianya boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi PRU-14. Pada PRN10 Sarawak yang diadakan pada tahun 2011, terlihat bahawa mood pengundi masa itu terbawa-bawa pada PRU-13 kebangsaan. 

Tetapi apa yang pasti, melalui PRN ini, rakyat negara ini, mahu melihat, apa kah pengundi kaum cina masih bersama DAP?

Sunday, January 31, 2016

Apa Yang Dilihat Pada Pilihanraya Negeri Sarawak?

APA yang bakal dilihat pada Pilihanraya ke-11 Sarawak? Kalau daripada segi Barisan Nasional, sudah tentunya satu kemenangan mutlak atau satu kemenangan kuasa 2/3 bersama dengan undi popular. Bagi Pembangkang pula, mereka memang tiada keupayaan untuk menang, akan tetapi apa yang mereka mahu lihat, trend pengundian di samping memastikan pengundi bandar terus berpihak kepada mereka. 

Diatas kertas Pembangkang tidak mempunyai kekuatan di peringkat Dun, walaupun pada PRN-10, mereka mendapat 15 kerusi DUN dimana 12 daripadanya disumbangkan oleh parti DAP, kerana tsunami kaum cina. Ekoran tsunami kaum cina itu, maka berimpak kepada PRU-13, dimana pembangkang di Sarawak berjaya mendapat 7 Kerusi Parlimen, khususnya di kawasan bandar yang bermajoriti pengundi kaum cina.

Pilihanraya Sarawak, sebenarnya hanya melihat ke arah mana pengundi kaum cina, kerana kaum bumiputera biasanya masih berdiri teguh dibelakang parti-parti seperti PBB dan PRS. Manakala parti bumiputera lain seperti SPDP, kalau berlaku kekalahan calon-calon daripada parti itu, bukan kerana pengaruh pembangkang, akan tetapi lebih kepada persengketaan antara pemimpin.

PRN Sarawak yang bakal berlangsung pada April, akan menyaksikan 82 ADUN dipertandingkan. Pengerusi Bn Negeri Tan Sri Adenan Satem telahpun mengumumkan, daripada 82 kerusi itu, parti PBB dimana beliau merupakan Presiden akan bertanding 40, sementara komponen Bn lain akan bertanding baki 42 kerusi. Bn Sarawak hanya memerlukan 43 ADUN bagi membentuk Kerajaan dengan majoriti mudah, manakala kuasa 2/3 memerlukan 55 kerusi.

Nampak gayanya, berasaskan kepopularan Adenan Satem, kerusi-kerusi bagi kawasan Bumiputera, akan ditawan sepenuhnya oleh Bn, termasuk kawasan Baro Bian. Melalui PRN itu, hanya akan dilihat apakah penerimaan para pengundi kaum cina. Jika ada kawasan-kawasan yang dimenangi DAP boleh ditawan semula, maka harapaan Bn untuk menang bagi kawasan Parlimen pada PRU-14 akan datang amat cerah.

Penambahan kerusi Bn bagi Sarawak amat penting, bagi mengimbangi, bakal hilangnya beberapa kerusi di Semenananjung khususnya di Negeri Kedah, sehubungan berlakunya krisis kepimpinan di Negeri Jelapang Padi tersebut. 

Sarawak yang mempunyai 31 kawasan Parlimen, pada PRU-13 lalu 24 dimenangi Bn, manakala 7 dimenangi pembangkang. 

Senario lain, adalah jika pada PRN Sarawak kawasan-kawasan bumiputera ada yang berjaya ditawan pembangkang. Jika ini berlaku, maka keadaan cukup rentan bagi Bn secara keseluruhan, kerana trend itu akan merebak ke Sabah. Di Sabah, kawasan yang bakal mengikuti trend itu, selain kawasan Bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Penampang, Tawau, Tuaran, Sepanggar, Kota Marudu, Keninagau, Pensiangan dan Beluran.

Sesuatu yang amat sukar diramal jika rakyat mahu mengubah kerajaan. Ambil contoh Tahun 1976, 1985 di Sabah. Keadaan tenang-tenang, sebenarnya sangat berbahaya. Kalau berlaku perubahan itu, sebenarnya, bukan kerana kepimpinan Negeri, akan tetapi lebih menjurus kepada kepimpinan Pusat, kerana isu wang RM2.6bilion, isu 1MDB serta sara hidup yang meningkat, selain kurangnya peluang-peluang pekerjaan baru bagi generasi muda, khususnya lepasan pendidikan tinggi. Demikian juga, jika berlaku di PRN Sarawak, kalau ada kawasan-kawasan bumiputera bakal ditawan pembangkang, ianya bukan kerana kepimpinan negeri, akan tetapi kerana kepimpinan pusat. Atas sebab itu, keputusan PRN Sarawak amat mustahak untuk diikuti, kerana ianya bakal menentukan Kerajaan Pusat akan datang. Sama-sama kita tunggu.

Blog Archive