Showing posts with label Mukhriz. Show all posts
Showing posts with label Mukhriz. Show all posts

Monday, February 08, 2016

Mukhirz Tidak Dipecat- Terguling Kerana Masalah Dalaman Pemimpin Kedah Sendiri

SEBELUM PAU Tahun 2015, seorang ADUN Umno Kedah mendesak agar Dato Mukhriz Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan menyokong kepimpinan DS Najib Razak sebagai Presiden dan Perdana Menteri secara terbuka, jika gagal berbuat demikian, maka MB dan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah itu perlu meletakan jawatan.

Daripada semua Ketua Menteri/Menteri Besar, untuk negeri-negeri yang diperintah Bn, hanya Mukhriz yang tidak menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, selepas sahaja pemilihan Umno Tahun 2013, apabila beliau tewas bagi perebutan jawatan Naib Presiden Umno.

Apabila isu 1MDB dan wang derma RM2.6bilion serta wang RM42juta daripada SRC International timbul, secara tidak langsung Mukhriz sealiran dengan pengeritik, malah kadangkala sebahagian daripada mereka yang mempersoalkan kepimpinan DS Najib Razak.

Semasa PAU 2015, Mukhriz menunjukan simpati kepada dua pemimpin kanan Umno yang dilarang berucap pada perhimpunan itu, dengan menganjurkan makan malam untuk mereka.

Rami pihak khususnya Umno Kedah melihat tindakan Mukhriz bagaikan sang kelasi sebuah kapal yang bertindak menebuk kapal agar supaya kapal cepat karam.

Melihat tindak tanduk itu, para pemimpin Kedah khususnya daripada Umno bertindak mengenepikan Mukhirz, apabila satu penyelesaian dalaman tidak berjaya berjalan, dengan mencadangkan MB itu melepaskan jawatan dan menyertai kabinet Persekutuan bagi jawatan Timbalan Menteri. 

Kemuncak kepada tidak puashatian para pemimpin Umno Kedah berlaku pada 20 Januari, apabila 14 Ketua Umno Bahagian bersama seorang Timbalan ketua Bahagian serta para pemimpin sayap parti daripada wanita, pemuda dan puteri mengadakan sidang akhbar, dengan menyatakan telah kehilangan kepercayaan kepada Dato Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

Proses menggantikan Mukhriz meskpiun memakan masa dua minggu, namun akhirnya, beliau terpaksa meletakkan jawatan, apabila kehilangan sokongan majoriti dewan undangan negeri (DUN), di mana penentuan itu dijalankan sendiri oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah. 

Kini, Kedah telah melantik Menteri Besar ke-12, seorang pemimpin veteran, lima penggal sebagai ADUN dan seorang pemimpin akar umbi Umno- Dato Seri Ahmad Bashah Hanipah, 66 Tahun.

Tugas utama Ahmad Bashah, selain menyatukan semua penyokong Umno, juga akan mempersiapkan Umno-Bn Kedah berdepan dengan PRU-14, kerana sebahagian alasan yang dikemukakan semasa menggantikan Mukhriz, adalah MB itu tidak mempunyai halatuju dan perancangan yang jelas berkaitan politik untuk berdepan dengan PRU-14. Menurut para pemimpin Umno Kedah, jika Mukhriz terus menerajui Kedah, maka negeri Jelapang Padi itu akan jatuh semula kepada parti pembangkang, bertentangan dengan persepsi orang ramai, bahawa penyingkiran anak Tun Dr Mahathir itu akan menyebabkan Kedah kembali kepada parti pembangkang.

Thursday, February 04, 2016

Krisis MB Kedah- Bukan Bertujuan Peremajaan Kepimpinan!!!

Melantik Menteri Besar berumur 66 tahun, menidakkan faktor peremajaan kepimpinan, sebaliknya kononnya mempergunakan pengalaman orang lama untuk menyatukan semua pihak, agar menjadi satu pasukan yang kuat. Kedengarannya, memang pelik, bagaimana seseorang yang berumur dan kurang latar belakang pendidikan, boleh mengemudi dan menjadi katalis kepada penyatuan? sedangkan beliau sendiri merupakan sebahagian daripada perpecahan.

Lain ceritanya, kalau beliau bukan sebagai pengemudi kepada perpecahan. MB Kedah yang ke-12, Dato Seri Ahmad Bashah Hanipah merupakan punca kepada krisis MB Kedah, apabila mengadakan sidang akhbar pada 20 Januari bersama 14 Ketua Bahagian Umno hanya semata-mata kehilangan kepercayaan kepada Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah. Kenyataan terbuka itu, julung kalinya berlaku di Kedah, malah di negara ini.

Terlihat sangat melalui tindakan Ahmad Bashah bersama 14 Ketua Bahagian Umno, bahawa tradisi dalam Umno berkaitan dengan pengantian seseorang pemimpin, mengenepikan saluran parti yang biasa dilakukan. Melihat sejarah lalu, jika berlaku penggantian, biasanya pemimpin berkenaan akan diberitahu sendiri oleh Persiden atau Timbalan Presiden seperti mana berlaku semasa krisis MB di Selangor sewaktu zaman Mat Taib, Abu Hassan atau krisis MB Melaka semasa menggantikan Tan Sri Rahim Thamby Chik atau penggantian MB Kedah sendiri semasa zaman Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Shah Shahabudin, Tan Sri Osman Aroff, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jika keadaan di Kedah menjadi trend, maka tidak pelik, jika negeri-negeri lain juga akan ikut cara yang sama menggantikan MB/KM. Perlantikan MB/KM adalah kuasa Perdana Menteri. Satu pertanyaan? apa kah melalui tindakan sepertimana dilakukan oleh Ahmad Bashah itu merupakan satu perlekehan kepada kuasa Perdana Menteri? walaupun pada masa yang sama tindakan mereka itu meminta Perdana Menteri campur tangan/membuat keputusan/bertindak. Apa kah Ahmad Bashah dan 14 Ketua Bahagian itu, tiada saluran untuk berjumpa Perdana Menteri untuk menyatakan hasrat mereka??? atau kah memang satu pendekatan Umno kini, jika tidak mahu lagi kepada seseorang pemimpin, maka perlu dihebah terlebih dahulu kepada umum melalui sidang media, agar supaya, Perdana Menteri diletakkan dalam keadaan serba salah jika tidak bertindak? atau kah dalam isu penyingkiran Mukhriz merupakan satu pengeculian? semata-mata untuk tindakan penghinaan??? atau mengaibkan anak Tun Dr Mahathir itu, hanya semata-mata tindakan bapa beliau yang terus menyerang DS Najib.

Melihat kepada tindakan Ahmad Bashah dan 14 Ketua Bahagian Umno Kedah, nampaknya para pemimpin Umno sudah melakukan transformasi, apabila mahu menggantikan kepimpinan, maka perlu secara terbuka, mengabaikan semua perbincangan sebaliknya memilih tindakan terbuka sebagai tindakan pukul mati. Benar juga, selepas Mukhriz Mahathir mengumumkan perletakan jawatan, reaksi segera daripada Pejabat Perdana Menteri (Prime Minister Office), tindakan penggantian Mukhriz, kerana beliau kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kedah. Sedangkan kenyataan itu sudah menjadi rahsia umum, bahawa sebelum itu ada tindakan meminta tandatangan daripada 19 ADUN melalui akuan bersumpah, bahawa mereka tidak lagi menyokong Mukhriz sebagai Menteri Besar. Melalui proses penyingkiran Mukhriz, terlihat sangat memangnya ianya memang dirancang, atas sebab tiada langsung terima kasih disampaikan, walaupun MB-11 itu telah berkhidmat selama 3 tahun.

Melihat kepada kejadian yang berlaku pada proses penyingkiran Mukhriz, adalah diragui bahawa pengganti beliau akan mampu menyatukan semua pemimpin di Kedah, seperti kata peribahasa biduk lalu kiambang bertaut.

Apapun kenyataan atau analisis, apa kah berlaku penyatuan kempimpinan di Kedah khususnya para pemimpin Umno dan pada gilirannya mampu menggamit sokongan rakyat jelata, hanya boleh dibuktikan melalui PRU-14. Jika pada PRU-14, bahawa Bn masih mempertahankan Kedah, maka cara Ahmad Bashah, akan menjadi trend di negara ini dalam proses penyingkaran Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Wednesday, February 03, 2016

Mukhriz: Buka Tembelang Sendiri

SELEPAS mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah tersingkat dalam sejarah moden Kedah, Mukhriz sempat membuat kenyataan, bahawa sokongan terhadap Umno pada masa ini berada dalam keadaan terburuk, hanya kerana Presidennya- Dato Seri Najib Tun Razak. Malah mantan MB Kedah itu turut menyatakan, bahawa rakyat negara ini tidak lagi mampu mengangkat muka kepada masyarakat dunia, kerana dibebankan dengan skandal yang menyelubungi Perdana Menteri.

Dua isu utama yang didepani DS Najib Razak, iaitu kemelut 1MDB dan wang derma RM2.6bilion serta isu SRC International anak syarikat Kementerian Kewangan yang membabitkan RM42juta yang dimasukan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Isu wang derma dan SRC International telah didapati tiada unsur jenayah rasuah sepertimana keputusan Peguam Negara- Tan Sri Apandi Ali pada 25 Januari.

Bagi kemelut 1MDB, ianya masih dalam siasatan pihak berwajib termasuk Ketua Audit Negara dan PAC Dewan Rakyat.

Melihat kepada kenyataan Mukhriz selepas pengumuman beliau meletakan jawatan, bahawa beliau akan terus bercakap berkaitan wang derma RM2.6bilion serta 1MDB, sebenarnya telah membuka tembelang sendiri, atas sebab itu adalah wajar disingkir daripada jawatan MB, kerana bertindak sebagai gunting dalam lipatan.

DS Najib tidak wajar mempunyai kelasi atau penumpang dalam kapal yang senantiasa berusaha untuk menebuk kapal agar cepat karam. Selepas kenyataan Mukhriz itu, ianya mengiakan semua anggapan bahawa beliau bertindak sebagai agen memusnahkan parti daripada dalam.

Melihat kepada keputusan Mukhriz itu, adalah tidak wajar lagi beliau dipertahankan dalam Umno, walaupun dalam kenyataan pada sidang media itu, bahawa beliau akan terus setia dengan parti. Jika beliau masih dipertahankan dalam parti, maka akan menjadi tauladan kepada ahli parti, untuk memaki hamun para pemimpin, tetapi pada masa yang sama mengaku setia kepada parti.

Sesebuah parti tanpa nahkoda, tidak bererti langsung. Demikian juga, sebagai ahli tidak menghormati nahkoda, ertinya ahli itu hanya membawa malapetaka kepada parti.

Melihat kepada kenyataan Mukhriz itu, parti tiada pilihan, melainkan memecat beliau daripada parti seperti mana yang dilakukan pada mantan-mantan pemimpin parti yang bertindak serupa.

Mukhriz Mangsa Perang Mulut Antara Tun Dr Mahathir dan Dato Seri Najib

Dato Seri Mukhriz Mahathir hampir tiga tahun menjadi Menteri Besar Kedah. Anak Tun Dr Mahathir itu dilantik ke jawatan MB Kedah pada 6 Mei 2013 selepas PRU-13. Pada PRU itu, BN menang 21 kerusi daripada 36, dan dengan itu menumbangkan kerajaan PAS di Kedah.

Apa yang menarik berkaitan perlantikan Mukhriz bagi jawatan MB, adalah melalui pengumuman Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dua hari sebelum pembuangan undi, bahawa jika Bn berjaya merampas Kedah, maka Muhkriz dilantik Menteri Besar.

Memang menurut temuan jentera parti masa itu, hanya menjadikan Mukhriz Menteri Besar, BN akan menang pilihanraya. 

Kata orang, sekali air bah sekali pasir berubah. Keadaan tahun 2013 berbeza dengan Tahun 2018. Menurut kajian Bn, hanya melalui penggantian MB Kedah, maka Kedah dijamin berada dalam gengaman Bn. Atas faktor itulah, Mukhriz perlu disingkir dan menggantikannya dengan Dato Seri Ahmad Bashah Hanipah yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

Namun, di mata pandangan rakyat, penyingkiran Mukhriz adalah impak kepada perang mulut antara bapanya dengan Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir pada mulanya adalah penyokong DS Najib, namun kemudiannya bertukar menjadi pengeritik nombor satu pemimpin negara itu.

Akibat perang mulut yang berpanjangan, maka telah mengorbankan tiga pemimpin Umno, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Shafie Apdal dan kini Mukhriz.

Tuesday, February 02, 2016

Kerajaan Campuran Di Kedah?

DALAM politik tiada istilah TIDAK mungkin!!!. Pada PAU Umno Disember lalu, DS Najib menghulurkan salam silaturahim kepada Parti Pas. Apa kah ada hubungan dengan krisis yang disengajakan melalui penggantian MB Kedah?

Daripada 15 ADUN Pembangkang di DUN Kedah, 8 daripada Pas, manakala 4 PKR, 2 DAP dan 1 Amanah.

Memandangkan daripada 21 ADUN Bn yang dipanggil pihak Istana semalam, ada tanda-tanda bahawa pihak Istana mendapat maklum balas, bahawa tidak terdapatnya sekurang-kurang 19 ADUN menyokong menyingkir Dato Mukhriz Tun Dr Mahathir, maka petang ini, giliran ADUN pembangkang pula diminta menghadap wakil Istana.

Melihat kepada kejadian semalam, mungkin ada kebenaran 3 ADUN yang dikatakan menandatangi surat akaun menyokong penyingkiran Mukhriz, telah menafikan berbuat demikian. Jika itu benar-benar berlaku, maka hanya 16 ADUN yang bersetuju kepada tindakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri- Dato Ahmad Bashah Hanipah.

Jika petang ini, semua ADUN pembangkang membantah penggantian Menteri Besar, maka kemungkinan besar berlaku kerajaan campuran di Kedah. Sama-sama kita tunggu.

Tindakan Memecat Mukhriz Belum Berjaya

Tiada keputusan dicapai, walaupun pihak Istana Kedah telah menemubual 19 ADUN Bn. Kini ADUN pembangkang pula dipanggil untuk berjumpa pihak Istana pada petang Selasa. Pembangkang mempunyai 15 ADUN, 8 Pas, 4 PKR, 2 DAP dan 1Amanah.

Melihat keputusan pihak Istana memanggil ADUN Pembangkang, kemungkinan besar ada ADUN Bn daripada 19 itu tidak bersetuju penyingkiran Dato Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Penyingkiran Muhkriz diterajui oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Dato Ahmad Bashah Hanipah yang juga diwar-warkan bakal dilantik sebagai Menteri Besar yang baru.

Pemberontakan terhadap Mukhriz berlaku pada 20 Januari lalu, apabila 14 Ketua Bahagian dan 2 Timbalan Bahagian yang disertai Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri mengadakan sidang akhbar, dengan menyatakan mereka telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz selaku Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri. 

Selepas sidang akhbar itu, ramai yang hadir mempersoalkan sidang akhbar itu, dan ada yang mengaku diperangkap untuk hadir.

Melihat tindakan pihak Istana memanggil ADUN Pembangkang untuk temubual mengsahkan, bahawa memang ada ADUN yang terperangkap hadir pada sidang akhbar itu.

Nampaknya krisis Menteri Besar Kedah akan berterusan, kerana keputusan yang belah bahagi antara ADUN Bn sendiri. Untuk menyingkirkan Mukhriz diperlukan 19 ADUN.

Monday, January 25, 2016

Mukriz- Hampir Pasti Digugur

Menurut sumber yang boleh dipercayai, daripada 21 ADUN Kedah, hanya Mukhriz dan Aminuddin Omar sahaja yang mempertahankan status quo, manakala 19 yang lain yang deketuai Ahmad Bashah Hanipah mendesak agar dilakukan penggantian Menteri Besar.

Pada Rabu lalu, 14 Ketua Bahagian Umno mengadakan sidang akbar atas sebab hilang kepercayaan kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang juga Menteri Besar- Dato Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Pada PRU-13 lalu, dua hari sebelum pembuangan undi, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno mengumumkan, jika Kedah berjaya dirampas daripada Pas, maka Mukhriz akan dilantik Menteri Besar. Ekoran pengumunan itu, telah berlaku "swing" luar biasa khususnya pada golongan muda mengundi calon-calon Bn, dan sebagai keputusannya, Bn mendapat 21 DUN dan Pakatan Rakyat 15, daripada 36 yang dipertandingkan.

Desakan menggantikan Mukhriz, dilihat bukan kerana beliau gagal mentadbir Kedah, akan tetapi lebih bersifat politik yang dihubungkan dengan tindakan Tun Dr Mahathir yang mahukan agar DS Najib Razak meletakkan jawatan.

Sejak Mukriz dilantik, belum pernah terdengar, bahawa MB itu gagal memerintah Kedah, malah sebaliknya. Rakyat Kedah sebenarnya menyokong anak Tun Dr Mahathir itu, atas sebab itu, dikatakan 90 peratus rakyat kedah menyokong Mukhriz. Oleh kerana penggantian MB, berasaskan kepada sokongan ADUN yang hanya berjumlah 21 berbanding 2juta rakyat negeri itu, maka adalah menjadi lumrah, jika seseorang tidak tergolong dalam jumlah yang sedikit itu, maka dengan sendirinya tersingkir. Lihat sahaja Timbalan Presiden parti dan Naib Presiden parti, boleh dipecat, apatah lagi Mukhriz yang berjawatan dalam parti kerana atas lantikan.

Sistem Umno/Bn, siapa sahaja yang tidak diinginkan oleh Presiden, maka akan secara automatik akan gugur. Atas prinsif itu, apapun tindakan Mukhriz, tidak akan ada impak, kerana penentuan kedudukan Menteri Besar adalah atas keputusan Presiden parti, bukannya keputusan suara majoriti rakyat. Sistem politik Malaysia, Menteri Besar atau Perdana Menteri bukan dipilih melalui undi semasa pilihanraya, akan tetapi dipilih oleh parti yang menang dalam pilihanraya. Atas sebab itu, Mukhriz sebenarnya tiada pilihan, beliau perlu meletakan jawatan secara terhormat.

Wednesday, July 25, 2012

Kajian UUM: Golongan Muda Kedah minat Mukhriz jadi MB

Kajian yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Rohana Yusof itu dari UUM juga menyatakan bahawa BN lebih berpeluang untuk merampas Kedah dari tangan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Satu kajian oleh Universiti Utara Malaysia menyatakan bahawa anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir merupakan pilihan ramai sebagai bakal calon menteri besar Kedah.

"Rakyat Kedah inginkan seorang menteri besar yang mampau menyelesaikan masalah mereka dan pada masa yang sama rajin menemui rakyat.

"Nada ini secara tidak langsung memberi gambaran ketidakupayaan menteri besar dari kerajaan PAS melaksanakan tanggungjawab yang diharap oleh pengundi," kata Rohana dalam slaid pembentangan kajiannya.

Kajian itu dijalankan ke atas 10,800 orang rakyat Kedah di 36 DUN, yang sebahagian besarnya berusia antara 21 hingga 34 tahun.

Friday, May 25, 2012

Saya tidak bertandingpun ok: Mukhriz

 Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau bersedia untuk menyahut sebarang keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk beliau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Saya tidak fikir ia sudah diputuskan sama ada saya bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)...dari segi persediaan, saya sudah umumkan bahawa saya tidak bermasalah dengan mana-mana keputusan.

"Sekiranya pucuk pimpinan BN berasa saya perlu kembali untuk bertanding kerusi DUN di Kedah, saya tidak bermasalah dengan itu. Sekiranya mereka kata saya perlu duduk di peringkat persekutuan, saya juga tidak bermasalah.

"Secara alternatif, sekiranya mereka berkata saya tidak akan bertanding samasekali, ia juga OK dengan saya," katanya.

Masa depan saya terletak sama sekali di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebuah program keusahawanan sempena Himpunan Jutaan Belia di sini Khamis.

"Saya seorang ahli parti terlebih dahulu...jadi saya akan ikut arahan," kata Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Katanya, beliau percaya perdana menteri menerima banyak input sama ada seseorang calon itu boleh menang atau sebaliknya.

Mengulas spekulasi bahawa beliau akan menjadi Menteri Besar Kedah sekiranya BN merampas semula negeri itu pada PRU ke-13, seperti dilaporkan oleh media, Mukhriz berkata, ia hanya khabar angin.

"Ia berupa spekulasi semata-mata dan juga terlalu awal. Soal pelantikan menteri besar hanya boleh ditentukan selepas pilihan raya," jelasnya.

Media memetik seorang sumber dalaman parti sebagai berkata Mukhriz dipercayai merupakan calon terbaik untuk jawatan menteri besar kerana beliau popular di kalangan pengundi berusia bawah 50 tahun.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, kajian terbaru menunjukkan faktor belia bukanmenjadi kriteria utama untuk dipilih sebagai calon.

Katanya, pengundi muda inginkan calon yang mempunyai kriteria mudah didekati dan mampu menyelesaikan masalah mereka sama ada di bandar atau kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, katanya, pembangkang tidak boleh lagi memerintah kerajaan negeri Kedah dan mereka tidak menyelesaikan semua masalah malah menimbulkan lebih banyak masalah. - BERNAMA

Friday, December 16, 2011

Jerlun: Masih pilihan Mukhriz kalau dicalonkan semula

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berharap beliau akan kekal bertanding di kawasan Parlimen Jerlun jika terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, berkata beliau akur jika pucuk pimpinan parti membuat keputusan untuk meletakkannya bertanding di kawasan lain.

Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi bahawa beliau mungkin dicalonkan di Langkawi bagi menyambung legasi bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sangat sinonim dengan usaha membangunkan pulau peranginan itu.

Mukhriz, yang menang kerusi Parlimen Jerlun pada pilihan raya umum lepas, berkata beliau merasakan tidak ada sebab beliau perlu berpindah ke kawasan lain.

"Sebelum membuat sesuatu keputusan, semua perkara perlu diambil kira kerana ini adalah soal mesti menang.

"Jika saya dicalonkan di kawasan lain, apa yang akan berlaku di Jerlun. Pada PRU ke-12, kita menang empat kerusi (daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah). Jadi untuk PRU akan datang tak tentu lagi kita boleh menang lebih daripada itu," katanya.

Mukhriz berkata pucuk pimpinan mempunyai pilihan daripada segi siapa calon yang sesuai untuk dicalonkan di satu-satu kawasan.

Blog Archive