Showing posts with label Lajim-Bumburing. Show all posts
Showing posts with label Lajim-Bumburing. Show all posts

Monday, July 30, 2012

Politik Sabah Berkocak Lagi

POLITIK Sabah berkocak lagi, selepas sahaja PRU-12, politik Sabah diwarnai oleh keluarnya SAPP pimpinan Yong Teck Lee, dengan alasan yang diberikan tidak YAKIN lagi dengan kempimpinan Perdana Menteri masa itu- Tun Ahmad Abdullah Badawi.

Selepas itu, keluarnya  Naib Presiden Parti LDP- Peter Phang-namun tetap bersama BN dan kemudian menyertai Parti Gerakan Malaysia.

Politik Sabah terus berkocak dalam cawan, apabila Timbalan Presiden LDP menyatakan secara terbuka tidak boleh lagi berkerjasama dengan Ketua Menteri Sabah-Musa Aman; namun persengetaan itu, hilang begitu sahaja, dan akhirnya berdamai.

Bermula tahun lepas, Lajim pula bersama Bumburing, bertindak seperti pembangkang dalam BN, kononnya tindakan mereka itu selaras dengan desakan akar umbi penyokong mereka.

Bermula dari masa itu, tindak tanduk Lajim dan Bumburing secara terus menerus dicurigai, kerana, peluang yang diberikan oleh pucuk pimpinan untuk berbincang bagi menyelesaikan unek-unek dalam hati kedua-dua mereka, tidak digunakan, akan tetapi tindakan mereka secara terbuka secara terus menerus menjadi-jadi.

Berasaskan itu, maka kebanyakan pemimpin BN dan penyokongnya, tinggal tunggu masa saja, kedua-duanya akan keluar BN.

Masa yang ditunggu-tunggu itu sampai juga; pada Sabtu Lajim mengumumkan meletakan semua jawatan parti, akan tetapi kekal sebagai ahli Umno dan jawatan Timbalan Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan.
 
Sehingga tulisan ini ditulis,belum ada pengumunan daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung kedudukan Lajim dalam kabinet, di mana semalam diumumkan bahawa PM akan membuat keputusan hari ini (isnin).

Semasa mengumukan perletakan jawatan Lajim turut mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

Pada hari berikutnya pula, Bumburing mengumumkan keluar BN akan tetapi tetap sebagai ahli UPKO dan turut menubuhkan Angakatan Perubahan Sabah (APS); kedua-dua pertubuhan yang diumumkan Lajim dan Bumburing adalah mesra Pakatan Rakyat.

Melalui tindakan Lajim dan Bumburing, politik Sabah berkocak lagi, namun kali ini kocakannya sudah tumpah dari cawan.

Apa kah perkembangan politik Sabah ini mencerncat gelaran kepada Sabah sebagai "Fixed Deposit" BN, sama-sama kita lihat bagaimana Datuk Musa Aman mengatur strategi untuk mengatasinya.

Tindakan Lajim-Bumburung: Pemimpin KDM Sabah membisu

SETAKAT ini hanya pemimpin bumiputera islam yang memberi kenyataan berhubung tindakan Lajim dan Bumburung keluar BN.
'
Manakala pemimpin KDM terus membisu termasuk Presiden UPKO-Tan Sri Bernard Giluk Dompok.

Pemimpin KDM daripada komponen BN misalnya Tan Sri Pairin Kitingan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Kurup daripada PBRS dan pemimpin KDM daripada Umno seperti Datuk Rubin Balang, Datuk Masidi Manjun masih membisu.

Apakah ada sesuatu yang berlaku? apakah keadaan ini, ada kaitan dengan sejarah politik Sabah masa silam, umpamanya, zaman kejatuhan Usno tahun 1976 dan kejatuhan Parti Berjaya tahun 1985?

Sejarah politik Sabah cukup akrab dengan masalah individu- tahun 1976-isu Syed Kechik dan Tun Mustapha; tahun 1985 isu Tan Sri Pairin kitingan; manakala tahun 1994, lebih berpusat kepada hubungan kaum dan agama.

Kembali kepada perubahan pucuk pimpinan Sabah, sebenarnya setiap 9 tahun ada perubahan pucuk pimpinan, namun kebiasaan itu tidak berlaku sejak tahun 2003.

Mungkin berasaskan sejarah itulah; Datuk Lajim mengambil keputusan, bahawa penyebab utamanya beliau keluar daripada BN kerana faktor Ketua Menteri-Datuk Musa Aman.

Telah menjadi buah mulut, bahawa Lajim memberi kata dua kepada Perdana Menteri agar memastikan agar Musa tidak dilantik lagi sebagai Ketua Menteri, untuk membolehkan beliau tetap dalam BN.

"Feud" antara Lajim dan Musa bermula sejak awal tahun 2003, sebelum Musa dilantik sebagai Ketua Menteri ke-13 Sabah. Pada masa itu, Lajim dan beberapa pemimpin mencuba mendesak mantan Perdana Menteri-Tun Dr Mahathir, agar melantik sesiapa sahaja daripada kalangan mereka, asalkan bukan Musa Aman (ABMA).

Kini Lajim menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) mesra Pakatan Rakyat; sementara Bumburing menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah (APS) juga mesra Pakatan Rakyat.

Sunday, July 29, 2012

Sandiwara Lajim-Bumburing berakhir: Rahman Dahalan

Akhirnya Datuk Seri Panglima Lajim Hj Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing membuat keputusan untuk keluar dari Barisan Nasional dan merapatkan diri dengan Pakatan Rakyat.

Walaupun BN Sabah merasa "sedih" dan "kesal' dengan berita ini tetapi secara jujur dan ikhlas, respon yang saya dapati dari kalanga ahli-ahli BN ketika ini lebih kepada menghembuskan nafas kelegaan. Lega kerana satu episod lambaian "bye-bye" politik yang terlalu lama dan yang penuh dengan babak-babak dramatik dan retorik yang memenatkan telah berakhir.

Dalam Twitter saya berjenaka, "sukan olimpik baru bermula hari ini, tetapi sudah ada rakyat Malaysia menang pingat emas acara LOMPAT!"

Kenapa Lajim dan Bumburing meninggalkan BN? Banyak spekulasi yang dibuat mengenainya. Daripada kekecewaan tidak mendapat apa yang dihajati di dalam BN kepada janji yang diumpan oleh pihak sebelah kepada tuduahan bahawa BN gagal mentadbir negara. Apa pun sebabnya, itu adalah hak kedua-dua pemimpin tersebut. Malaysia adalah negara demokrasi dan sesiapa pun berhak untuk menggunakan landasan yang disukai dalam perjuangan politik mereka.

Sejak akhir-akhir ini, pembangkang mendakwa Lajim mempunyai pengaruh di Beaufort dan perletakan jawatannya dalam UMNO akan memberi tamparan hebat kepada BN. Puluhan tahun menjadi wakil rakyat di jadikan alasan populariti tersebut. Tetapi saya mempunyai pendapat berbeza. Pengaruh beliau di situ bukan semata-mata kerana populariti beliau sendiri tetapi kerana kekuatan parti UMNO yang menjadi pilihan kepada rakyat di Beaufort. Majoriti rakyat Beaufort terutamanya pengundi Islam mempunyai pandangan jauh. Mereka mengundi parti bukan indidvidu. Sekadar seorang individu tidak akan dapat menjamin kepentingan mereka terjamin.

Membaca komen-komen dalam garisan masa Facebook saya, ramai yang menjangkakan akan berlaku pergolakan di dalam Pakatan Rakyat Sabah dalam masa yang terdekat ini. Lajim, kata mereka, sudah tentu akan menuntut tampuk kepimpinan Pakatan Rakyat jika beliau mahu menjadi Ketua Menteri Sabah. Ada juga yang mengatakan bahawa Lajim mahu senarai calonnya digunakan untuk memastikan calon-calon pilihan beliau menjadi calon Pakatan. Tujuannya ialah untuk memastikan tidak ada tentangan dari dalaman bila beliau mahu menjadi Ketua Menteri nanti.

Persoalannya bagaimaan pula dengan pemimpin awal dan veteren Pakatan Sabah yang selama ini berhempas pulas dan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk berjuang di dalam Pakatan sejak 1998. Bagaimana perasaan mereka jika ada orang luar dari parti mereka masuk dan diangkat menjadi pemimpin dan menentukan dasar-dasar parti tanpa individu-individu ini melalui pfoses pengorbanan yang perit dalam Pakatan? Sudah tentu mereka akan tidak berpuas hati dan akan menunjukkan protes mereka. Kita tunggu dan lihat samada telaan itu benar atau tidak.

Saya ingin ambil kesempatan ini untuk membawa satu fakta yang menarik mengenai UMNO. Ada yang hairna kenapa UMNO mampu bertahan lebih 70 tahun walaupun dalam sejarahnya ramai pemimpin kecil dan besar bertindak keluar parti, meletak jawatan atau bersara. Ada beberapa sebab.

Pertamanya UMNO ditubuhkan atas dasar perjuangan bukan kerana individu. Maknanya, ahli UMNO mendokong UMNO kerana dasar perjuangannya. Oleh sebab itu, individu sebesar mana sekalipun tidak menjadi perhitungan dalam perjuangan mereka dalam UMNO. Berlainan dengan Pakatan rakyat. Padamkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kepimpinan Pakatan, Pakatan akan mengalami krisis kepimpinan yang kronik. Pakatan adalah berasaskan individu bukannya kepada perjuangan.

Keduanya, struktur hierarki atau tatatingkat UMNO diolah sebegitu rupa untuk tidak terganggu gugat jika berlaku insiden pemimpin meninggalkan parti. Bagi sesetengah orang luar yang kurang faham, sistem tatatingkat pelbagai UMNO contohnya Supreme Council, Perhubungan Negeri, Bahagian, Cawangan dan sayap-sayap dilihat sebagai redundant atau berlebihan. Tetapi sebenarnya itulah yang menjadi kekuatan UMNO kerana jika ada seorang pemimpin berpaling tadah, sistem berlebihan ini sukar untuk menjadi lemah dalam sekali gus. Kalau ada pemimpin atasan meninggalkan parti, belum tentu sayap wanita, pemuda, puteri dan putera akan menyokong beliau dan struktur parti secara keseluruhan masih kekal. Bagi Pakatan, oleh kerana kepetahannya bercakap dan aura sebagai penceramah, Anwar Ibrahim bercakap terus dengan ahli partinya tanpa perlu sistem Cabang, Negeri dan Pusat. Ini menyebabkan kurang pengikhtirafan penghormatan kepada sistem Cabang, Negeri dan Pusat mereka.

Ketiga, UMNO bukan parti bermusim. Jentera UMNO sentiasa berada dalam kaedah "berjaga-jaga" sepanjang tahun. Selain daripada mesyuarat dan aktiviti, jentera UMNO didedahkan kepada latihan strategi dan perancangan sepanjang masa. Tambahan pula pilihanraya kecil yang sering berlaku juga menjadi tempat latihan terbaik untuk jentera UMNO. Dengan aktiviti sepanjang tahun sebegini, UMNO sebagai sebuah jentera politik sentiasa di dalam keadaan terbaik sepanjang tahun dan boleh diaktifkan bila-bila masa. Sudah tentu, bila ada wakil rakyat atau Ketua Bahagian UMNO meninggalkan parti, jentera UMNO masih kukuh dan efektif.

Itu beza UMNO dari yang lain.

Nota: Saya akan memberi komen kepada isu-isu dasar yang dibawa oleh Lajim dan Bumburing dalam posting yang akan datang.

Blog Archive