Showing posts with label Kemelut Istana Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Kemelut Istana Kelantan. Show all posts

Tuesday, September 14, 2010

Perlantikan Tengku Faris Petra tidak menyelesaikan kemelut istana Kelantan

Bersamaan dengan perlantikan Tengku Faris Petra sebagai Sultan Kelantan; Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra mendakwa adindanya itu masih merupakan Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta.

Beliau sebaliknya mendakwa, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak memenuhi syarat dan melanggar Perlembagaan negeri yang menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja.

"Sultan hanya boleh digantikan sekiranya baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang munasabah dan ataupun jika sultan turun takhta.

"Kesemua syarat tersebut tidak dipenuhi untuk melantik Tengku Muhammad Faris sebagai sultan kerana Sultan Ismail Petra masih ada dan tidak melanggar syarat-syarat yang ada sehingga membolehkan baginda disingkirkan," kata kakanda Sultan tersebut.

Beliau mengulas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya berkuat kuasa hari ini.

Perisytiharan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Ia turut dihadiri oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa'iz Petra.

Upacara tersebut yang diadakan secara tertutup dan ringkas dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu jemputan dengan kawalan ketat oleh pihak polis.

Menurut Tengku Merjan, beliau hanya mengetahui upacara pemasyhuran tersebut melalui berita yang disiarkan di televisyen dan tidak menyangka pihak berkenaan sanggup dan berani memperlakukan Tuanku Ismail Petra sedemikian.

Jelasnya, beliau tetap mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini bahawa mereka yang terlibat dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai penderhaka.

"Sebarang usaha yang dijalankan untuk menyingkirkan sultan daripada takhta adalah suatu penderhakaan dan menyalahi undang-undang.

"Saya akan mendapatkan khidmat nasihat perundangan daripada peguam dan akan membawa perkara ini ke tengah agar segala kekeliruan ini akan terungkai," ujarnya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah berkata, peristiwa yang berlaku merupakan sejarah baru kesultanan Kelantan.

Jelasnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini seorang sultan baru dilantik ketika sultan yang sah masih hidup.

"Ini adalah satu sejarah kerana sebelum ini pelantikan sultan yang baru hanya dibuat selepas baginda sultan mangkat," jelasnya.

Wednesday, May 05, 2010

Raja Pun Diheret Seperti Lembu

Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mendakwa beliau terpaksa 'mendapatkan perlindungan' di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, malam semalam kerana kuathir ditangkap polis dan supaya berada di samping suaminya.

Menurut laporan The Malay Mail, Tengku Anis juga mendakwa Sultan Kelantan ditahan tanpa kerelaan baginda dan polis mengabaikan perintah baginda supaya dibawa ke istana.

Akhbar tabloid itu juga memetik Tengku Anis sebagai berkata “polis mengheretnya seperti lembu” dalam usaha memaksanya ke balai polis.

Katanya, pada kejadian kira-kira jam 7.45 malam semalam di luar Istana Mahkota di Kubang Kerian, anggota dan pegawai polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) yang lengkap bersenjata menghalang perjalanan baginda dan Tuanku Sultan Kelantan ke Lapangan Terbang Ismail Petra Airport di Pengkalan Chepa.

Keluarga diraja itu dikatakan cuba berlepas ke Singapura bagi mendapatkan rawatan susulan untuk Sultan Kelantan.

"Kami begitu takut apabila polis menyerbu kereta kami dan UTK secara paksa cuba mengeluarkan Tuanku walaupun baginda berulang kali bertitah ingin kembali ke Istana, tetapi polis membawa baginda ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian,” titah Tengku Anis.

Raja Perempuan Kelantan itu juga mendakwa terpaksa bermalam di lantai di luar Wad Diraja di HUSM tetapi kemudiannya berjaya memasuki wad berkenaan sebelum menguncikan dirinya.

Sementara itu, peguam Sultan Kelantan, Mohamed Haaziq Pillay dan Gobind Singh Deo, tiba bagi di Kota Bharu, pagi ini bagi melepaskan baginda dari hospital berkenaan.

Menurut seorang daripada peguamnya, Mohamed Haaziq Pillay, permohonan writ habeas corpus akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jika mereka gagal melepaskan baginda.

Kemelut Istana Kelantan semakin kusut apabila malam semalam, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra dilaporkan ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai polis dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) yang memakai topeng di luar Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu, malam semalam.

Tengku Fakhry terbabit dengan kancah warisan taktha Kelantan yang membabitkan kekandanya, Tengku Faris yang juga adalah Pemangku Sultan.

Tengku Faris kemudiannya bertindak menyingkirkan adindanya Tengku Fakhry daripada Majlis Perajaan negeri itu.

Kejadian malam semalam itu juga dimuatkan dalam Kosmo hari ini dengan laporan Tengku Fakhry ditahan bersama dua orang doktor dan beberapa orang pengawal peribadi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Akhbar itu yang memetik sumber istana memberitahu, putera Sultan Kelantan itu ditahan ketika beliau bersama dua orang doktor dan sekumpulan pengawal peribadi sultan menaiki beberapa buah kenderaan.

Bernama pula malam semalam melaporkan yang Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke HUSM Kubang Kerian untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung.

Berita itu disahkan oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

LATAR BELAKANG KELUARGA DIRAJA KELANTAN

Sultan Kelantan
Sultan Ismail Petra, yang diserang angin ahmar sejak Mei tahun lalu dan dilaporkan masih belum pulih sepenuhnya.

Raja Perempuan
Tengku Anis Tengku Abdul Hamid

Elia Suhana Ahmad (isteri kedua). Permohonan cerai difailkan pada 9 Mac lalu oleh Sultan melalui pihak ketiga.

Anak
Anak lelaki pertama: Tengku Muhammad Faris Petra (Pemangku Sultan,)

Anak lelaki kedua: Tengku Muhammad Faiz Petra

Anak lelaki ketiga: Tengku Muhammad Fakhry Petra (beliau mencabar pelantikan kekandanya dan disingkirkan dari Majlis Perajaan. Baginda juga terbabit dengan kontroversi berhubung dakwaan penderaan ke atas isterinya, Manohara Odelia Pinot)

Anak perempuan: Tengku Amalin A'ishah Putri

Blog Archive