Showing posts with label Kemana Mat Taib. Show all posts
Showing posts with label Kemana Mat Taib. Show all posts

Tuesday, April 23, 2013

Setuju atau Tidak: Penyertaan Mat Taib ke Parti Pas menyukarkan Umno menawan Selangor

Keputusan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib untuk menyertai PAS boleh menjadi penghalang kepada kempen Barisan Nasional (BN) untuk menawan semula Selangor, kata pemimpin Umno hari ini.

Bekas menteri besar Selangor yang diketahui popular dikalangan penyokong Umno terutama di kawasan Melayu negeri kubu kuat parti tersebut, dan penyertaan Muhammad ke kem pembangkang mampu membantu menembusi kubu Melayu parti itu.

“Bergantung kepada pendekatannya. Jika beliau berkempen secara konstruktif dia boleh menimbulkan masalah kepada kami,” kata bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo. “Umno-BN harus beri perhatian khusus terutamanya apabila setiap undi penting.”

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu menerangkan, Muhammad, yang dikenali sebagai “Mat Tyson”, boleh membantu PR masuk ke kawasan pendalaman Melayu dan menarik pengundi Umno untuk menyokong PR.

“Adalah baik untuk kita melawan kempennya dan menerangkan keputusannya … ia menambah lebih kerja kepada kita,” kata Mohd Khir, dan menambah penyertaan Muhammad kedalam PAS tepat pada waktunya dan memberikan kelebihan kepada PR.

Beliau memberi amaran kepada pemimpin Umno agar tidak memandang ringan penyertaan Muhammad dan mendesak pemimpin agar memerhatikan dengan dekat kempen Muhammad agar tidak mengalihkan undi Melayu.

PAS semalam mengumumkan keahlian Muhammad dalam satu ceramah besar di Shah Alam, satu langkah memperkukuhkan lagi perlawanan PR untuk mempertahankan Selangor.

Muhammad bekas pemimpin utama Umno yang menyandang pelbagai jawatan utama dalam parti, disamping pernah menjadi menteri besar Selangor dari tahun 1986 hingga 1997 mengatakan semalam Malaysia dan Selangor membangun di bawah BN tetapi menegaskan masa sudah tiba untuk berubah.

Difahamkan Muhammad akan menjelajah Selangor untuk membantu kempen PR dikawasan pendalaman Selangor dimana PKR-PAS-DAP gagal untuk tembusi.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed bersetuju Muhammad masih lagi mempunyai sedikit pengaruh dikalangan pengundi Melayu Selangor terutamanya penyokong Umno lebih tua tetapi menafikan cadangan mengatakan beliau menjadi ancaman kepada gabungan itu.

“Sudah tentu terdapat orang yang suka kepada dia, tetapi dia sudah menjadi sejarah … dan dia bukanlah seperti Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang evergreen. Saya tidak fikir dia akan memberikan kesan,” kata Mohd Zin.

Bekas menteri kerja raya itu percaya, majoriti pengundi sudah terlupa tentang bekas rakan Umnonya itu sementara pengundi lebih muda, demografi yang menjadi kunci dalam menentukan keputusan pilihan raya 5 Mei, tidak mengenali siapa dirinya.

Beliau juga menafikan Muhammad boleh membantu PR untuk menembusi kubu kuat Melayu mereka.

“Mereka adalah penyokong kuat kami, pengundi luar bandar akan selalu bersama kami,” katanya.

Pengundi percaya, BN akan bergantung kepada pengundi Melayu untuk merampas semula Selangor, negeri paling kaya dalam negara pada pilihan raya 5 Mei.

Sedikit perubahan dalam corak pengundian etnik terbesar dalam negara itu dan undi Cina pada 2008 telah menyebabkan BN kalah di Selangor, pertama kali dalam sejarah negara semenjak merdeka, akan tetapi taktik perkauman Umno berjaya menarik kembali orang Melayu menyokong mereka.

Mat Taib Turun Kempen- Julung Kali Sebagai Pembangkang

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang berkempen untuk calon PKR di Hulu Selangor semalam dijangka akan tampil sekali lagi bersama ketua umum parti berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pilihan raya umum 5 Mei.

Menurut laporan Sinar Harian, Muhammad hadir ke majlis itu untuk menyatakan sokongan ke atas calon PKR bagi kerusi parlimen Hulu Selangor Khalid Jaafar dan juga Datuk K Ramachandran, calon parti berkenaan untuk kerusi DUN Batang Kali.

"Beliau turut menjulang tangan saya bersama Datuk Ramachandran sebagai sokongan terhadap pencalonan kami di kawasan ini.

"Mat Taib turut dijangka menghadiri program bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mei ini, insya-Allah," kata Khalid seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.

Laporan itu menyebut, Muhammad hadir bersama hampir 2,000 orang di majlis anjuran Persatuan Bengkulu Malaysia di Sungai Choh, di Batang Kali itu.

Penyertaan Muhammad ke dalam Pakatan dijangka akan memberi peluang kepada Pakatan untuk mengukuhkan lagi serangan ke atas pentadbiran BN – khususnya berhubung skandal tanah yang berlaku semasa pentadbiran Muhammad sebagai menteri besar.

Muhammad dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai anggota PAS hari ini.

Penampilan bekas ketua perhubungan Umno Selangor itu mencuri perhatian ramai pihak selepas beliau memencilkan diri dari publisiti media selepas tewas dalam pertandingan untuk merebut jawatan timbalan presiden Umno pada 2009.

Mat Taib akan lemas sendiri: Hassan Ali

Berita mengenai hijrah Tan Sri Muhammad Taib, bekas Menteri Besar Selangor untuk menjadi ahli PAS telah lama tersebar. Setengah pihak meragui kesahihah berita itu sementara setengah pihak yang lain mempunyai keyakinan yang agak tinggi tentang langkah penghijrahan itu.

Hari ini terjawablah spekulasi dan andaian-andaian mengenai hasrat Tan Sri Muhammad Taib untuk menyertai PAS. Mungkin ada pihak yang sehingga ini gagal mendapat jawapan untuk memuaskan rasa ingin tahu terhadap tindakan yang Tan Sri telah ambil terutama berkaitan dengan “timing” tindakan itu dilakukan.

Bagi saya keputusan untuk menyertai mana-mana parti dalam sistem yang kita sama-sama praktikkan adalah hak mutlak individu. Saya hormati apa juga keputusan yang dibuat kerana sebagai seorang ahli politik veteran yang telah melalui segala duri dan onak politik sudah tentu mengambil keputusan sedemikian setelah mengambil pertimbangan dan memikirkan semasak-masaknya implikasi keputusan yang di ambil. Apalagi keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Muhammad Taib itu dibuat dihujung karier politik dan dihujung usia. Seperti yang dibayangkan saya adalah di antara mereka yang belum mendapat jawapan pasti tentang “timing” yang dipilih. Adakah tinggal berbaki 13 hari sebelum rakyat Malaysia pergi ke pusat-pusat mengundi dan memangkah kertas undi mengikut pilihan dan keyakinan masing-masing itu sesuai dengan ketika dan suasana yang saya fikir Tan Sri Muhammad Taib sangat-sangat arif mengenai kedudukan perkara ini. Bagi saya keputusan yang dibuat tidak akan menguntungkan PAS dan tidak juga merugikan Umno. Yang rugi ialah umat Melayu Islam kerana manusia hebat seperti Tan Sri yang boleh melakukan sesuatu yang hebat untuk agama dan bangsa melontarkan kehebatan yang mungkin tidak kena pada tempat dan masanya.

Menyertai PAS di ambang mengundi seperti yang dilakukan oleh Tan Sri Mat Taib antara lain disebabkan oleh ketidakyakinan Tan Sri terhadap Umno untuk membawa roh Islam bagi saya mungkin sukar difahami. Tan Sri Mat Taib orang gagah dan salah seorang yang sering berada di hadapan menghulur keris atas nama Islam dan Melayu. Tan Sri pernah menjawat jawatan Menteri Besar, Menteri dan dalam Umno sebagai Naib Presiden dan Ketua Penerangan. Persoalan yang timbul dengan kedudukan dan kuasa yang ada mengapa tidak ditiupkan roh Islam seperti yang dikehendaki di zaman Tan Sri berada dipuncak kuasa.

Berpijak pengalaman saya bersama-sama membantu mentadbir negeri Selangor dan berasosiasi dengan barisan tertinggi parti, PAS, PKR dan DAP, saya bimbang Tan Sri yang satu masa dahulu saya mengkagumi kewibawaannya akan berdepan dengan situasi yang lebih menekan dan akan menjadikan Tan Sri sentiasa tertekan. Parti PAS yang Tan Sri sertai hari ini bukan parti PAS di zaman AlMarhum Dato Fadhil Nor dan zaman-zaman sebelumnya. Zaman kegemilangan PAS dalamana jihad menjadi senjata utama yang menyebabkan parti Islam itu jatuh tetapi tidak rebah, tenggelam tetapi tidak lemas adalah disebabkan oleh prinsip perjuangan yang dipertahankan dengan harta benda, air mata hatta nyawa dikandung badan.

Secara jujur saya suka melihat kalau Tan Sri Muhammad Taib boleh menggunakan seluruh keupayaan, kebolehan dan kemampuan didokong oleh ilmu, kemahiran dan pengalaman untuk meniupkan semangat roh Islam dalam sistem bernegara di Malaysia bumi tercinta ini. Saya masih beranggapan Tan Sri Muhammad Taib saling diperlu dan memerlukan di dalam Umno. Di bawah kepimpinan yang ada sekarang saya merasakan ruang meniup roh Islam terbentang luas di dalam Umno jika dibandingkan di dalam PAS. PAS yang dikuasai oleh golongan Anwarinas atau parasit tidak akan membantu Tan Sri untuk membolehkan Tan Sri merealisasikan hasrat murni Tan Sri itu kerana agenda mereka kini bukan lagi untuk menghidupkan roh Islam tetapi sebaliknya mereka tunduk dengan perintah nakhoda Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim dan jurumudi-jurumudinya Karpal Sing, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Tan Sri Muhammad Taib mungkin sudah mendengar atau membaca atau diberi kefahaman mengenai negara sekular DAP dan aliran liberalisme barat yang dibawa oleh Anwar Ibrahim. Aliran ini yang mendapat restu daripada DAP kini menjadikan pluralisme agama, Islam liberal, LGBT dan lain-lain jalur kehidupan yang begitu asing kepada Islam dan masyarakat timur seperti kita di Malaysia. Saya meramalkan Tan Sri akan lemas dan hilang daya tahan serta dayajuang yang sememangnya menjadi darah daging Tan Sri bila berdepan dengan pemuka-pemuka fahaman liberalisme barat yang menjadi golongan majoriti dalam Pakatan Rakyat. Seperti yang Tan Sri maklum fahaman-fahaman yang begitu asing kepada masyarakat kita yang cuba dibawa diketengahkan tidak mendapat tentangan daripada PAS walaupun terdapat ahli ilmuan dan agamawan yang berwibawa menghukumkan sebahagian daripada fahaman itu sebagai syirik dan merosakkan aqidah.

PAS sekarang bukanlah PAS seperti dahulu yang telah berjaya menambat hati saya untuk menyertainya hampir 15 tahun yang lalu. PAS sekarang adalah PAS yang sedang kemaruk kuasa ingin ke Putrajaya dengan apa cara sekalipun sehingga sanggup meninggalkan prinsip perjuangan dan pengkalan asalnya. PAS sekarang sanggup mengikut apa sahaja kehendak rakan-rakan Pakatan Rakyat hatta “menjualkan” kalimah Allah untuk digunakan oleh penganut-penganut bukan Islam.

Dengan rendah diri saya hanya dapat mendoakan supaya percikan-percikan hidayah yang telah menembusi hati Tan Sri terus dibaja dan disuburkan. Bagi saya proses pembajaan dan penyuburan itu sukar dilakukan dalam Pakatan Rakyat yang PAS merupakan salah satu parti komponennya. Sebaliknya dengan pimpinan Umno yang ada sekarang yang telah menunjukkan tanda-tanda membuka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membawa Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara mungkin boleh dilihat sebagai opsyen yang lebih munasabah bagi Tan Sri untuk menghabiskan sisa-sia usia berjihad untuk terus mengahungkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu.

* Datuk Dr Hasan Mohamed Ali ialah presiden JATI

Monday, April 22, 2013

Mat Taib Sertai Pas- Tersedar selepas kenyang

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akhirnya secara rasmi menyertai PAS pada Isnin.

Muhammad berkata beliau akan berkempen di Lembang Klang dan kawasan bandar di negara ini dengan menerapkan nilai-nilai murni yang diajarkan dalam Islam.

Muhammad, 65, yang juga bekas Naib Presiden Umno berkata beliau mahu menyertai PAS tahun lalu namun terpaksa menangguhkan keputusannya untuk menunggu masa yang lebih sesuai.

"Saya bersetuju untuk menyertai PAS dua hari selepas penamaan calon supaya dapat dapat menghilangkan tuduhan yang saya melakukannya untuk mendapatkan kuasa dan mahu menjadi calon dalam pilihan raya kali ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, pada Isnin.

Beliau berkata dia mahu menyertai PAS selepas menyedari pembangunan di Selangor kosong tanpa pembangunan jiwa dan rohani.

Muhammad menambah beliau akan memperjuangkan idea PAS dalam mengetengahkan nilai-nilai Islam dipraktikkan dalam setiap aspek kehidupan, terutamanya di Lembah Klang dan beliau berharap ia dapat menjadi contoh kepada kawasan lain untuk mengikutinya.

Bagaimanapun, Muhammad tidak menjawab sebarang pertanyaaan daripada pihak wartawan apabila beliau bergegas untuk memberi ruang kepada mesyuarat pimpinan Pas Pusat.

Monday, July 19, 2010

Mat Taib Kecewa

Kegagalan Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dari menghadiri aktiviti pergerakan itu, terutama bahagiannya terus menimbulkan tanda-tanya.

Beliau adalah pemimpin yang pernah menjawat jawatan tertinggi parti dan juga pentadbiran negeri Selangor dan Pusat, perlu memberikan contoh terbaik supaya boleh dicontohi orang lain.

Sejak kalah merebut jawatan Timbalan presiden parti,Muhammad telah dua kali tidak menghadiri mesyuarat bahagian serta tidak pernah menghadiri mesyuarat perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak memperlihatkan kegagalannya menunjukkan komitmen terhadap kerja dan melaksanakan tanggungjawab.

Tindak Mantan Menteri Besar Selangor itu merupakan contoh terburuk sebagai seorang pemimpin yang begitu berpengalaman, dan juga contoh terburuk dari segi kepimpinan apabila dilihat tidak mengambil peduli mengenai bahagian yang diketuai, sama ada untuk menghadiri mesyuarat atau menjalankan sebarang aktiviti.

Muhammad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib yang merupakan Menteri Besar Selangor dari 1986 hingga 1997, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah hampir setahun dari Mac 2008 hingga April 2009, adalah juga bekas naib presiden Umno dan bekas pengerusi badan perhubungan Umno Selangor serta bekas ketua penerangan Umno, didakwa telah tidak aktif dalam politik sejak kalah dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden Umno pada Mac tahun lepas.

Sementara itu Mohd Puad Zakasi Timbalan Menteri Pelajaran dan wakil rakyat Batu Pahat, Johor berkata, malah Muhammad yang merupakan ketua Umno Hulu Selangor sejak 1982 hingga 1998, juga dilaporkan tidak memberikan kerjasama semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Selanjut Fuad berkata "Janganlah hanya dengan sedikit kekecewaan kita bertindak keterlaluan sehingga sikap yang ditunjukkan lebih buruk daripada mereka yang tidak berjawatan tetapi tetap komited dalam perjuangan,".

Mohd Puad berkata sehubungan itu beliau akan membawa isu tersebut ke pengetahuan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) dalam masa terdekat agar satu penyelesaian segera dapat dilakukan.

Beliau berkata MT tidak boleh membiarkan perkara tersebut berlarutan di mana keputusan segera mengenai kedudukan Muhammad sebagai Ketua Bahagian perlu diputuskan demi kebaikan bersama.

"Saya akan bawa isu ini ke mesyuarat MT terdekat dan terserahlah kepada Jawatankuasa Pengurusan parti untuk menentukannya tetapi yang pasti perlu ada keputusan apakah langkah yang perlu diambil bagi menangani masalah itu, apatah lagi Umno dan Barisan Nasional (BN) kini menjadi pembangkang di Selangor," katanya.

Kedudukan Muhammad sebagai Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya mula dipersoalkan apabila baru-baru ini terdapat saranan daripada anggota bahagian itu agar beliau melepaskan jawatannya dengan segera kerana gagal menunjukkan komitmen terhadap kerja-kerja parti.

Mereka juga mendakwa beliau gagal mengetuai parti dalam merealisasikan semua objektif dan fungsi yang ditetapkan.

Blog Archive