Showing posts with label Fahaman Wahabi. Show all posts
Showing posts with label Fahaman Wahabi. Show all posts

Thursday, July 28, 2011

Perlis undang Dr Uthman bincang Wahabi, Terorisme

Kerajaan negeri Perlis melalui jawatankuasa fatwanya hari ini mengeluarkan undangan rasmi kepada penceramah popular Dr Muhammad Uthman El-Muhammady yang dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme.

Menurut mufti negeri Dr Juanda Jaya, undangan rasmi bertulis dihantar kepada felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC) itu setelah diputuskan anggota jawatankuasanya semalam.

"Kita harap majlis itu dapat diadakan pada bulan puasa ini supaya kurang sedikit unsur syaitannya. Jika tuduhan itu tidak benar, ia dianggap memecahbelahkan orang ramai, mengikut perangai syaitan dan mengancam negara," katanya.

Dalam tradisi Islam, Ramadan dikatakan bulan berkat kerana syaitan dikatakan 'terikat' pada siang hari ketika umat Islam berpuasa.

Sebelum ini melalui taklimat tertutup Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya Isnin lalu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.

Dikatakan juga taklimat itu juga mendakwa Arab Saudi sebagai dalang di sebalik jaringan itu.

Bagaimanapun, semalam, Dr Juanda mendedahkan beliau dan institusi kerajaan negeri Perlis turut menjadi mangsa kepada "tuduhan liar" dalam majlis di mana Dr Uthman terlibat sebagai seorang pembentang kepada mufti dan wakil majlis agama Islam negeri yang hadir.

Dr Juanda berkata, Dr Uthman boleh memilih tarikh di mana beliau mempunyai kelapangan untuk membentangkan semula idea-ideanya kepada anggota jawatankuasa fatwa negeri dan ahli akademik yang akan dijemput.

"Majlis ini juga terbuka kepada orang awam dan pihak media supaya setiap pihak dapat menilainya," kata Dr Juanda yang juga felo pelawat di Universiti Oxford.

Menurut Dr Juanda, Dr Uthman perlu membuat penjelasan itu kerana implikasi dakwaan dalam taklimat itu melibatkan amalan penting umat Islam seperti mengerjakan umrah dan haji umat Islam di Mekah - wilayah yang ditadbir Arab Saudi.

"Menjelang Ramadan juga, ramai imam daripada Mekah dijemput mengimani solat Tarawikh di negara ini, kita bimbang amalam mereka tidak sah pula nanti," katanya.

Arab Saudi merupakan negara yang paling dikaitkan dengan fahaman Wahabisme, terutamanya oleh golongan Orientalis. Di Malaysia pula, Perlis satu-satunya negeri yang dikaitkan dengan amalan itu walaupun pemimpin dan ulamanya sering menafikannya.

Dr Uthman merupakan tokoh maal hijrah kebangsaan pada tahun 2005. Pemegang ijazah doktor persuratan kehormat (D Litt) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) itu terkenal kerana kajiannya dalam bidang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tuesday, July 26, 2011

Fahaman Wahabi bukan sesat: Dr Mashitah

Thursday, November 5, 2009
Fahaman WAHABI Bukan Sesat: Dr Mashitah

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah... tak sah, habislah jemaah haji kita.

"Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan biasa umat Islam di negara ini.

Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara.

"Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru.

"Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius.

"Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung," katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata: "Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhati-hati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat.

"Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

Turut hadir pada seminar tersebut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Othman Mustafa dan Pengarah Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azmi Shapie.

Blog Archive