Showing posts with label ESSCOM. Show all posts
Showing posts with label ESSCOM. Show all posts

Tuesday, October 01, 2019

KEJADIAN CULIK DI PANTAI TIMUR SABAH-MENGAPA MASIH BERULANG?

PENULIS terbaca, keprihatinan mantan ADUN Bogaya, Semporna dan juga mantan Pembantu Menteri Kewangan Sabah era Barisan Nasional- Datuk Ramlee Marahaban, sehubungan berulangnya kejadian culik di kawasan Pantai Timur Sabah. 

Penulis berkongsi pandangan pemimpin Semporna itu, kerana siapa sahaja rakyat Sabah sudah tentu mempunyai perasaan demikian, kerana jika kejadian penculikan masih berlaku, kemungkinan suatu hari nanti, kalau bukan beliau atau penulis, mungkin saudara mara bakal menjadi mangsa culik. 

Ramlee patut merasa was-was, dan prihatin, kerana beliau mungkin suatu hari bakal menjadi mangsa, kerana kerapnya beliau belayar di kawasan itu, selain tujuan riadah, seperti memancing, juga beliau mempunyai tempat peranginan di Pulau Mataking. 

Bukan sahaja Ramlee merasa bangga dengan kewujudan ESSCOM, akan tetapi rata-rata penduduk di kawasan itu. Operasi ESSCOM yang antaranya mengadakan perintah berkurung daripada petang ke pagi, sebenarnya membolehkan penduduk yang tinggal di pesisir pantai atau pulau-pulau tidur nyenyak, seperti mana jaminan oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato Suhaimi Haji Mohd Zuki pada 4 September lalu, semasa penyerahan tugas Komander ATB2 bertempat di Kem Kukusan, Tawau. 

Malang sungguh, rupanya modus operandi penculik telah bertukar, iaitu di siang bolong, seperti mana kejadian penculikan nelayan rakyat Indonesia berdekatan Pulau Tambisan pada 23 September. 

Memang betul lah, seperti kenyataan Jeneral Suhaimi, bahawa rakyat boleh tidur nyenyak di waktu malam, namun pada masa mencari penghidupan, di masa itu pula, berlakunya penculikan rentas sempadan. 

Menilai modus operandi yang berubah daripada pihak penculik, maka bagi menghalang kejadian penculikan, besar kemungkinan perintah berkurung dikuatkuasakan 24 jam. Jika demikian, maka rakyat yang bergantung harap daripada laut, kegiatan riadah, pelancongan, akan terhalang. Jika itu berlaku, maka penyediaan aset-aset seperti radar, kapal gerak cepat, tidak dapat melindungi rakyat, sebaliknya hanya berfungsi memantau aktiviti penculik rentas sempadan. 

ESSCOME diwujudkan berikutan pencerobohan Pengganas Sulu pada tahun 2013, di Kg Tanduo, Lahad Datu. Modus operandi pengawal keselamatan sempadan itu, akan menyediakan aset-aset canggih, selain jumlah anggota yang mencukupi bagi tujuan memagar lautan Pantai Timur Sabah sejauh 1,400 Km daripada Kudat hinggalah ke Tawau. Pun demikian, dengan kos yang beratus juta ringgit dengan diserati peralatan canggih termasuk posko di kawasan-kawasan depan, akan tetapi, tidak menghalang penculik rentas sempadan mendapatkan mangsa. 

Satu persoalan, mengapa penculikan rentas sempadan masih berlaku? Kalau daripada segi peralatan atau aset, difikirkan sudah mencukupi, kerana peralatan canggih milik ATB2 5 bulan lalu, berjaya memintas bot yang dinaiki Ramlee semasa beliau menghala ke Pulau Mataking, yang disangka sebagai penculik rentas sempadan. 

Lima bulan lalu, Komander ATB2 yang kini sudah ditukar, begitu bangga sekali membuat kenyataan bahawa aset kententeraan di kawasan tersebut begitu efektif, sehinggakan membuat kenyataan akhbar berjaya memintas dan menangkap penjenayah rentas sempadan, sedangkan yang dipintas itu adalah penduduk tempatan, iaitu Datuk Ramlee yang mana perjalanan beliau diketahui oleh pasukan keselamatan kerana telah memberitahu perjalanan beliau ke Pulau Mataking. Ramlee masa itu dikambing hitamkan sebagai penjenayah, untuk mengsahkan bahawa begitu berkesannya, operasi ATB2.

Namun, kelangsungan berkesannya peralatan ketenteraan di kawasa ESSCOM tidak bertahan lama, kerana selepas itu dua penculikan berlaku, tidak termasuk satu kejadian yang berjaya dipintas oleh pasukan marin.

 Apa kah sebenarnya yang berlaku? apa kah kerana faktor manusia?? sehinggakan peralatan canggih tidak berfungsi dengan baik? Jika benar lah faktor manusia, maka peralatan canggih termasuk membina kem tentera seperti mana permintaan Ketua Menteri Sabah, tidak akan efektif.

Penulis yakin, mereka yang mahir dalam ketentaraan mempunyai jawapannya.

Friday, June 21, 2019

ESSCOME, ATB2 BOLOS LAGI- RAMLEE

PENAT sudah mendengar, berbagai alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa setiap kali berlakunya jenayah penculikan di kawasan keselamatan pantai timur Sabah (ESSZONE).

Bukan sedikit perbelanjaan digunakan sejak penubuhan ESSCOM, semata-mata untuk menjaga kawasan yang terletak dalam wilayah ESSZONE. 

Wilayah ESSZONE, bukan sahaja kawasan aktivtiti ekonomi, akan tetapi wilayah yang ramai penduduk, selain lokasi-lokasi pelancongan, seperti Pulau Sipadan. 

Selepas penculikan demi penculikan berlaku dan puncaknya pencerobohan pengganas sulu pada tahun 2013, maka kerajaan menubuhkan ESSCOM bagi menjaga 1400 km kawasan pantai di Pantai Timur Sabah, daripada Kudat hinggalah ke Tawau yang dipanggil sebagai ESSZONE. 

Matlamat utama ESSCOM adalah untuk mengawal ESSZONE. Dengan terwujudnya agensi tersebut, maka rakyat Sabah khususnya yang mendiami kawasan tersebut meletakkan harapan besar bahawa bukan sahaja dapat membendung penjayah rentas sempadan yang bermatlamat wang tebusan, akan tetapi dapat menghalang pencerobohan warga asing memasuki perairan negara. 

Berdekad lamanya, kumpulan penjenayah rentas sempadan Abu Sayyaf yang berpusat di Filipina menjalankan aktiviti penculikan bermotifkan wang tebusan telah mensasarkan kawasan ESSZONE, dan sehingga kini, kumpulan yang sama bukan sahaja aktif akan tetapi semakin ganas. Berpuluh sudah mangsa culik, malah sebahagian mangsa telah dibunuh. 

Apabila ESSCOM ditubuhkan, telah mengisyaratkan, bahawa aset pertahanan digerakkan di kawasan ESSZONE termasuk pemasangan radar canggih. Bukan itu sahaja, ESSCOM dijadikan sebagai command terpusat penyusunan kawalan sempadan dan perairan yang termasuk dalam ESSZONE. 

Penubuhan ESSCOME sudah tentunya memerlukan peruntukan yang cukup besar yang membabitkan wang negara, namun selepas 6 tahun ditubuhkan, masalah yang sepatutnya diselesaikan dan dinoktahkan, tidak juga berpenghujung. 

Pada pagi 18 Jun, 2019, sekali lagi kawasan ESSZONE dibolosi, dan kali ini giliran perairan Lahad Datu, yang juga dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang sama yang mana sepatutnya terhalang/tercegah menerusi penubuhan ESSCOME. 

Tindakan penculikan pada pagi selasa lalu, tidak seperti mana biasa, kerana sekian lama, mangsa sasaran kumpulan penjayah tersebut adalah para individu yang mempunyai nilai wang tebusan, namun pada kali ini, julung kali melibatkan mangsa yang kurang nilai daripada segi wang tebusan. 

Penjenayah Abu Sayyaf cukup pakar memilih mangsa yang mempunyai nilai kewangan, sebab itu dalam rekod mangsa culik, mereka yang tergolong “palahu” atau “bajau laut” tidak pernah dijadikan sebagai mangsa culik. 

Sebenarnya, siapa pun menjadi mangsa culik di kawasan yang dikawal ESSCOM dan ATB2, bukanlah isu utama, isu utamanya adalah, berkaitan kebolosan kawasan yang dikawal tersebut, kerana telah diuar-uarkan oleh mereka yang diberi tanggungjawab, bahawa aset serta kelengkapan yang membantu kawalan mempunyai kemampuan yang amat canggih. 

Pada April lalu, Komander ATB2 bagi ESSZONE- Brigeder General Datuk Zarondin Md Amin menegaskan selepas tugasan ESSCOM diambilalih oleh Pangkalan Operasi Hadapan di bawa command Angkatan Tentera Malaysia, kebarangkalan berlakunya jenayah culik rentas sempadan sangat minimum sekali, atas sebab beberapa radar canggih yang boleh mengesan imej perentas sempadan telah di pasang di lokasi-lokasi panas, seperti di Pulau Mataking, Tambisan dan Tungku. 

Sebagai bukti kepada keberkesanan radar yang dikendalikan oleh ATB2, pada awal April lalu, ATB2 menahan lima lelaki bersama senjata api dan peluru hidup memasuki perairan Pulau Mataking. Menurut Komander ATB2, Brig Jenral Datuk Zarondin Md Amin, bot dinaiki kumpulan bersenjata itu dikesan oleh radar selepas bergerak laju dari perairan Sitangkai, Filipina menuju perairan Sabah. Menyedari pergerakan bot tersebut, Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) memintas bot tersebut. 

Namun, kejayan memintas pada awal April lalu, tidak berulang pada 18 Jun, apabila 10 kru nelayan daripada Lahad Datu yang sedang menuju Semporna, dengan mudah dapat diculik di kawasan Felda Sahabat 9 antara 2-2.45 pagi, sedangkan kawasan itu dilayan oleh 3 radar canggih daripada ATB2. Apa yang malang lagi, semasa kejadian culik itu berlaku, ianya dalam tempoh perintah berkurung. 

Nampak gayanya, melihat kejadian culik pada 18 Jun, radar milik ATB2, kurang berfungsi pada tempoh perintah berkurung, sebaliknya berkesan pada cuaca terang seperti mana keadaan cuaca pada 11 April, 2019 apabila dapat mengesan dengan jelas bot yang dinaiki mantan ADUN Bogaya- Datuk Ramlee Marahaban. 

Adalah menjadi tanda tanya besar bagi rakyat Sabah di kawasan ESSZONE, apa kah keselamatan mereka terjamin? Atas sebab, walaupun berbagai aset, jumlah anggota keselamatan termasuk disokong oleh persenjataan canggih, pun demikian, dengan mudah dapat diceroboh oleh penjayah rentas sempadan. 

Alangkah gahnya, jika radar yang dikendalikan ATB2 bersama-sama pasukan gerak cepat di bawa kendalian pasukan tersebut dapat memintas penjenayah pada 18 Jun dan memperlakukan penjenayah tersebut seperti mana mereka lakukan terhadap bot yang dinaiki Ramlee pada pagi 11 April, 2019, yang dipintas oleh Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) dari 8RRD(PARA) diketuai Sarjan Salleh Zakaria. 

Jika sekiranya pasukan ATB2 pada pagi 18 Jun berjaya seperti mana pada 11 April, sudah tentu kenyataan media komander ATB2 akan memenuhi dada akhbar tempatan termasuk laporan-laporan portal atas talian. 

Dalam kejadian pada pagi 18 Jun, nampaknya hanya Ketua Polis Sabah- Datuk Omar Mammah yang membuat kenyataan, sedangkan beliau dan polis bukanlah sebahagian daripada ATB2. 

Ramlee dalam saman pemula beliau terhadap tiga defendant yang difailkan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Kota Kinabalu, yang mana defendant pertama adalah Komander ATB2- Brigeder General Datuk Zarondin Md Amin kerana tindakan tidak profesional oleh dua anggota ATB2, iaitu Major Nizam Sazali dan Sarjen Salleh Zakaria terhadap beliau yang menuduh sebagai penjenayah rentas sempadan, malah atas laporan salah oleh dua anggota tersebut, Komander ATB2 tanpa usul perikasa membuat kenyataan akhbar, bahawa pasukan ATB2 berjaya menangkap 5 individu bersenjata di perairan Pulau Mataking, dan kemudiannya disiarkan oleh media arus perdana dan portal atas talian. 

Adalah dipercayai bahawa kenyataan media komander ATB2 tersebut adalah tindakan perang saraf berkaitan keupayaan ATB2 mengawal kawasan ESSZONE, walaupun terpaksa mengkambing hitamkan, bot yang dipintas bukan pada masa perintah berkurung. 

Kini, menerusi kejadian pada 18 Jun pagi, di perairan Sahabat 9, Lahad Datu, terbukti, keupayaan ATB2 mengesan penjenayah sebenar tidak berlaku. 

Dalam kandungan saman Ramlee, antara lain mantan ADUN Bogaya dan Pembantu Menteri Kewangan Sabah tersebut, menyebut, bahawa dua anggota ATB2 yang memperlakukan beliau sebagai penjenayah semasa bot beliau dipintas dan ditahan, dengan angkuh menyatakan bahawa pasukan mereka bukan di bawah ESSCOM sebaliknya daripada pasukan Pangkalan Operasi Hadapan di bawah pasukan ATB2. 

Melihat kepada kejadian culik pada 18 Jun, nampaknya, “chain of command” di kawasan ESSZONE itu bercelaru, yang menyebabkan ketidak upayaan pasukan yang ditugaskan mengesan penjenayah sebenar. 

Kelemahan “chain of command” betapapun banyaknya aset, betapa canggihnya radar, tidak akan dapat berfungsi dengan efektif. 

Memang diakui, bahawa ATB2 mempunyai aset, namun, keupayaan anggota yang menggunapakai aset tersebut diragui, sebab itulah kawasan ESSZONE dibolosi untuk sekian kalinya. 

Berasaskan kepada kejadian terbaru penculikan di kawasan ESSZONE, penstrukturan semula ESSCOM perlu disegerakan, dan menerusi penstruktutan tersebut, kuasa sepenuhnya diberikan pada pasukan polis, maritim dan pasukan gerak am, yang mempunyai kuasa menangkap, menyiasat dan mendakwa, manakala pasukan ATM, perlu menyokong daripada segi aset termasuk radar. 

Juga menerusi penstrukturan tersebut, bidang kuasa masing-masing perlu diperjelaskan supaya tidak berlaku pertindihan tugas atau bidang kuasa. 

Kelemahan yang dilihat mengapa ESSZONE yang sudah beroperasi selama 6 tahun, dapat dibolosi oleh penjenayah rentas sempadan, penyeludup samada daripada negara ini atau sebaliknya, kerana tidak jelasnya bidang kuasa masing-masing agensi, termasuk pertindihan kuasa. Kelemahan ini yang diambil peluang oleh penjenayah. 

Melihat kepada jumlah aset dan anggota keselamatan yang di tempatkan di kawasan ESSZONE sebenarnya lebih daripada cukup, kelemahan hanya kerana adanya pertindihan kuasa atau tugas. Menerusi pertindihan tersebut, maka secara tidak langsung berlaku, apa maksud peribahasa seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. 

Jika sekiranya tidak berlaku pertindihan tugas atau kuasa, mendasari gerakan operasi di kawasan tersebut termasuk perintah berkurung, sebenarnya sudah mengerunkan para pelaku jenayah. 

Ramlee ketika dihubungi, berkaitan berlakunya penculikan pada pagi 18 Jun, bukan sahaja terperanjat, akan tetapi, telah membuktikan, saman beliau terhadap komander ATB2 berasas, bahawa beliau sebenarnya dikambinghitamkan, sebagai pembuktian bahawa ATB2 sangat efektif menjaga kawasan ESSZONE. 

Kini, apabila penjenayah rentas sempadan sebenar berjaya melakukan penculikan, tidak terdengar, komen-komen daripada pasukan ATB2. 

Ramlee menyokong sepenuhnya kenyataan Ketua Menteri Sabah, agar ESSCOM distruktur dengan segera, khususnya yang berkaitan dengan “chain of command” jika tidak, tiada jaminan peculikan rentas sempadan tidak akan berulang.

Tuesday, April 23, 2019

DATUK RAMLEE MARHABAN SAMAN FITNAH SEORANG BERGELAR BRIGADIER JENERAL

Datuk Ramlee Bersama Peguam Beliau
Dalam Sidang Akhabar Di Pejabat
Beliau- KK Times Square-Selesa.
SATU kejadian pada 11 April di perairan Semporna, tepatnya di Pulau Mataking, di mana seorang bergelar Brigadier General yang juga komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) bermarkas di Kem Kukusan Tawau, telah mengeluarkan kenyataan AKHBAR berunsur fitnah terhadap bekas Adun Bogaya-Datuk Ramlee Marhaban, yang turut disiarkan oleh HARIAN METRO.

Kenyataan akhbar yang bersifat fitnah itu telah merosakkan imej mantan Pembantu Menteri Kewangan Sabah itu.

Bertindak atas laporan fitnah itu, Ramlee memfailkan saman selain kepada Brigadier Jeneral tersebut bersama dua anggotanya yang bernama Majer Nizam dan Sarjen Salleh bin Zakaria, juga menyaman  Harian Metro dan The New Strait Times Press (M) Bhd penerbit kepada Harian Metro.

Ramlee seperti mana dipetik THE STAR pada 12 April, menjelaskan bahawa beliau bukan seperti mana kenyataan khabar komander dan laporan Harian Metro.

Mantan ADUN Bogaya tersebut menyifatkan siaran khabar komender tersebut dan laporan Harian itu berniat jahat, bersifat menghasut, membunuh karier politik beliau di mata masyarakat dan rakyat.

Ramlee turut mengakui kejadian pada 11 April merupakan pertama kali berlaku ke atas beliau, kerana sebagai anak watan Semporna, kawasan di mana beliau ditahan di laut merupakan taman permainan beliau sejak kecil. Lagipun, beliau dan keluarga mempunyai 2 bidang tanah di Pulau Mataking, satu bidang dibangun sebagai kawasan pelancongan dan sebidang lagi sebagai tempat kediaman.

Lawatan beliau ke kawasan itu, merupakan perkara rutin, malah sejak beliau tidak menjadi wakil rakyat, kawasan itu kerap dikunjungi beliau untuk tujuan memancing.

Beliau sedar, kawasan itu merupakan kawasan yang termasuk dalam ESSCOM, sebab itu lah setiap kali beliau melawat kawasan pelancongan yang terletak di Pulau Mataking, beliau memaklumkan pegerakan beliau pada pihak berkuasa.

Pada hari kejadian, sebelum beliau, seorang anak beliau dan 3 anak saudara beliau telah memaklumkan pergerakaan beliau ke laut kepada OCPD Semporna dan Komndar ESSCOM di Pulau Mataking.

Ramlee mengakui pada hari kejadian, memang beliau membawa senjata dan sejumlah peluru untuk menjaga keselamatan beliau dan krew lain, hanya pada masa itu, beliau terlupa membawa kad pengenalan diri dan lesen-lesen senjata beliau. Hanya beliau seorang sahaja yang terlupa membawa pengenalan diri, sedangkan anak beliau dan 3 anak saudara beliau lengkap dengan dokumen pengenalan masing-masing.

Sebenarnya, sebelum siaran akbar tersebut, OCPD Semporna telah membuat kenyataan, bahawa "penahanan" Ramlee hanya salah faham, malah Pasukan yang menahan beliau daripada Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) dari 8RRD (para) TIADA tindakan lanjut dan mengklasifikasi "pintasan" di laut tersebut SEBAGAI PEMERIKSAAN BIASA.

Menerusi saman itu Datuk Ramlee meminta mahkamah agar (a) An injunction to restraining the 1st, 2nd and 3rd Defendant and each of them by their servants or agents or otherwise from publishing the said aor any similar libel upon the Plaintiff whether by themselves or agents or servants further defamatory statements against the Plaintiff (b) Damages for libel; (c) Aggravated damages; (d) Costs; (e) Statutory Interest; (e) Any relief deems fit by the court.

Sunday, July 06, 2014

Isu Keselamatan Sabah- Salahkan Musa Tidak Adil

Seingat AYT sejak tahun 1970-an isu penculikan di kawasan Pantai Timur Sabah sudah berlaku; malah pada awal tahun 80-an sudah berlaku beberapa kali perintah berkurung; terutama bagi kawasan Lahad Datu dan Semporna.

AYT pernah bertugas di kawasan Pantai Timur pada tahun 80-an dan pertengahan tahun 1990-an, malah terlibat kejadian rompakan oleh mundu; di Semporna pada tahun 1987.

Esscom/Esszone ditubuhkan pada April tahun lepas, ekoran serangan pengganas sulu di Kampung Tanduo Lahad Datu. Tujuan penubuhan Esscom/Esscom yang mengambil contoh RASCOM di Sarawak adalah untuk mengwujudkan keselamatan di Pantai Timur Sabah yang meliputi 1,400 km panjangnya. Perbezaan RASCOM dan ESSCOM adalah, RASCOM menghapuskan komunis yang bersembunyi di hutan Sarawak dan perbatasan, manakala ESSCOM mencegah kemasukan mundo daripada negara jiran.

Mundo yang bersembunyi daripada negara jiran yang juga warganegara itu; mendapat kerjasama daripada petualang-petulang dalam negara yang hanya bertujuan kewangan; atas sebab kerja penculikan sudah menjadi satu bentuk perniagaan yang memberi pulangan kewangan yang cukup lumayan. Sama seperti penyeludupan dadah ke negara ini, meskipun hukuman mati menunggu, namun saban hari ada sahaja agen/pengedar dadah yang tertangkap, malah mereka itu didalangi sindiket antarabangsa. Jika persamaan diambil setiap tertangkapnya bermilion harga dadah di Klia kah atau di kawasan-kawasan tertentu dalam negara, maka Menteri yang bertanggungjawab perlu meletakan jawatan? sepertimana yang dinyatakan oleh ADUN Pakatan Rakyat Sabah terhadap Ketua Menteri Sabah; bahawa atas sebab masih berlakunya penculikan walaupun ESSCOM/ESSZONE ditubuhkan.

ADUN Pakatan Rakyat pada 14 julai ini telah menghantar satu usul kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah- Datuk Seri Dr Salleh Tun Said; iaitu usul tidak percaya kepada Datuk Seri Dr Musa Haji Aman selaku Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Keselamatan Negeri; atas sebab masih berlakuknya penculikan di kawasan Sabah yang dilakukan oleh mundo daripada negara jiran.

Bagi AYT menyalahkan Musa seorang adalah satu tindakan yang tidak adil kepada Ketua Menteri Sabah itu; sebabnya meskipun beliau merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan negeri atas kapasiti sebagai Ketua Menteri; namun dalam soal-soal operasi beliau sama sekali tidak terlibat; kerana urusan keselamatan adalah ditangan pasukan keselamatan negara.

Tindakan ADUN pembangkang membuat usul tidak percaya kepada Musa di Dewan Undangan Negeri; jika usul itu diterima oleh Speaker DUN, hanya merupakan tindakan publisiti murahan pembangkang; kerana  ADUN Pembangkang mahu menutup kelemahan mereka yang  tidak mampu menzahirkan apa-apa bantuan kepada rakyat yang diwakili mereka, kebolehan mereka hanya bercakap retorik yang dipenuhi dengan janji-janji palsu.

Thursday, July 03, 2014

ADUN Pakatan Mahu Kemuka Undi Tidak Percaya Pada Musa: Hanya Publisiti Murahan

Siapa Chan Foong Hin? Dia hanya seorang ADUN daripada DAP bagi Sri Tanjung; sedangkan dirinyapun tidak hafal kawasan Sri Tanjung. 

Menurut sumber dalaman DAP, sebahagian besar masa ADUN itu hanya di Kota Kinabalu bukannya di kawasan yang diwakilinya. Malah ADUN Dap itu menurut sumber itu, tidak mempunyai sokongan akar umbi DAP; malah semasa pertandingan CC DAP peringkat negeri Sabah, Chan hanya mendapat 65 undi kedua tercorot dalam pemilihan itu. Pemimpin DAP yang tidak mahu disebutkan namanya itu mempersoalkan, publisiti murahan ADUN DAP itu; apa meritnya mengatas nama Pakatan Rakyat dengan membuat kenyataan bahawa Pakatan Rakyat akan membuat usul tidak percaya kepada Musa.

Memang benar Datuk Seri Musa Haji Aman sebagai Pengerusi ESSCOM, atas kapasitinya sebagai Ketua Menteri Sabah. Tetapi, ADUN DAP itu, tidak tahu bahawa tugas-tugas keselamatan adalah tugas pasukan keselamatan; bukannya tugas Musa. 

Kegiatan penculikan di Pantai Timur Sabah, bukan perkara baru; kerana dalang penculikan sebenarnya berpunca daripada dalam, atas sebab kegiatan penculikan merupakan satu bisnes yang mendatangkan kewangan yang besar.

Yakinlah penculikan tidak akan berlaku, jika tiada pihak yang membayar wang tebusan dan juga jika tiada petualang dari pihak dalaman sendiri.

Pihak pembangkang hanya tahu bercakap dan membuat kenyataan murahan tanpa mengerti tugas-tugas dan kompleksnya isu keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Monday, June 16, 2014

Esszone/Esscom Boleh Mufliskan Negara

Esszone/Esscom sejak ditubuhkan April tahun lalu, telah membelanjakan ratusan juta. Penubuhan barisan depan pertahanan negara itu khususnya di Pantai Timur Sabah ekoran pencerobohan Kiram di kampung Tanduo Lahad Datu pada awal Februari 2013.

Memang pasukan keselamtan negara berjaya menyelesaikan pencerobohan itu, dengan melibatkan berbagai aset dan berbatilion angkatan bersenjata negara; sudah tentunya dengan kos yang cukup besar. 

Untuk mencegah agar pencerobohan tersebut tidak berulang, maka ditubuhkan Esszone/Esscom yang dilengkapi berbagai persarana dan aset-aset ketenteraan yang diperlukan bersama-sama dengan jumlah pasukan keselamatan yang berribu jumlahnya.

Operasi seperti ini, bukan sahaja melibatkan masa dan perancangan, juga melibatkan kos yang tinggi, memandangkan panjangnya kawasan pantai yang meliputi 1,400km.

Meskipun, operasi, aset, pasukan tentera yang terlibat cukup ramai, namun usaha kecil-kecilan pihak penjenayah terutama kegiatan pencolekan masih berterusan. Kes penculikan terkini berlaku  semalam, di daerah Kunak Sabah; penculikan kali ke tiga sehingga jun ini. 

Disebabkan penculikan masih berlaku, biasanya pihak ketenteraan akan menambah aset atau anggota untuk mempergiat operasi; dan sudah tentunya memerlukan tambahan kos. Operasi seperti ini, akan terus berjalan, sehingga bila-bila masa, tanpa batas waktu; atas sebab, pihak penculik telah menjadikan tindakan penculikan sebagai bisnes baru yang menguntungkan. Atas sebab itu; menghapuskannya adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

Soviet Union semasa menyerang Afghanistan telah muflis, kerana cara operasi yang sama; Sementara itu Amerika dan sekutunya yang kini berada di Afghanistan juga mengalami keadaan yang sama-muflis; kerana operasi ketenteraan gagal mengawal serangan Taliban. Inilah yang akan berlaku pada Esszone/Esscom; kerajaan akan terus mengeluarkan kos menjaga keselamatan, namun menghapuskan penculikan; terlalu samar untuk dielakkan.

Minggu lepas, Menteri pertahan Dato Hishamuddin Hussien baru sahaja menamatkan lawatan di pantai Timur, hanya selang seminggu, lawatan itu dibalas dengan tindakan penculikan.

Saturday, May 10, 2014

Sandakan: Bakal Penculik Berjaya Ditangkap

Tiga penjenayah dipercayai daripada kumpulan penculik yang sedang dalam perjalanan memasuki perairan Sandakan berjaya ditangkap selepas berlaku perlanggaran dengan bot ronda polis platun tiger Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam kejadian pada kira-kira 8.15 malam sebentar tadi, polis yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan bot yang dinaiki penjenayah terbabit sebelum meminta mereka memberhentikan bot itu.

Bagaimanapun, mereka telah bertindak melanggar bot polis sehingga menyebabkan kedua-dua bot itu terbalik.

Ketiga-tiga lelaki itu bagaimanapun berjaya ditahan walaupun berlaku pergelutan antara polis dan penjenayah

Sunday, November 17, 2013

Sabah: Selepas Krisis Kg Tanduo Kini Krisis Pulau POM-POM

DI Sabah, pulau itu lebih dikenal dengan sebutan Pulau Bum-Bum. Pulau itu, kini bukan sahaja sebagai tempat peranginan mewah, namun kini turut dikenali kerana penembakan pelancong daripada Taiwan awal minggu ini.

Pada Februari lalu, Sabah turut menjadi perhatian, bukan sahaja oleh rakyat negara ini, malah dunia, ekoran pencerobohan 200 militan pimpinan Jamalul Kiram III, di Kg Tanduo, Lahad Datu.

Dalam setahun, Sabah dikenali di dunia, bukan kerana perkara-peraka yang baik, namun yang jelek-jelek. Inilah hadiah kepada negeri yang mempunyai pantai yang panjang, kira-kira 1,400km, yang terdedah kepada pencerobohan daripada negara jiran, yang kurang kuat ekonominya. 

Kejadian di Pulau Bum-Bum, bukan sahaja kegusaran kepada ESSCOM yang ditubuhkan pada Mac lalu, malah kejadian itu dipolitikan oleh pihak pembangkang, malah ada pemimpin pembangkang meminta Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan meletakan jawatan, sebagai tanggungjawab terhadap kejadian yang terbaru.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan ESSCOM atau ESSZONE dengan menempatkan sekurang-kurangnya 7 batalion pasukan keselamatan, namun seperti kata Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek, disebabkan panjangnya, pesisir pantai, maka tidak mungkin dapat mengawal setiap inci kawasan itu. Setidak-tidaknya itulah alasan yang diberikan, kerana gagal mengesan penculik dan pembunuh itu sebelum bertindak.

Ironinya, kejadian itu, berada kira-kira 800 meter daripada pos keselamatan yang terdekat; apa yang malangnya, mengapa, kejadian itu boleh berlaku, dengan jarak seperti itu?.

Laporan awal, berkaitan dengan kejadian itu bersimpang siur, ada yang mengatakan dilakukan oleh penjenayah tempatan, dan kini kononnya didalangi oleh ABU SAYAF dan AL-QAEDA.

Pulau Bum-Bum, memang dekat dengan Pulau Tawi-Tawi, Filipina. Hanya 30 minit dengan boat laju diperlukan untuk sampai. 

Kejadian ribut Haiyan yang melanda Filipina, juga pada awal minggu ini, menyebabkan pasukan keselamtan negara itu dikerahkan membantu rakyat negara itu yang menjadi mangsa, menyebabkan kawalan di sebelah selatan negara itu menjadi poros, ESSCOM sepatutnya mengantisipasi keadaan ini.. Kalaulah tindakan awal dilakukan, mungkin, kejadian pembunuhan pelancong Taiwan yang berumur 57 tahun dan penculikan isterinya yang berumur 56 tahun tidak akan berlaku. Kini Sabah menjadi liputan di Negara Taiwan for the wrong reason.

Blog Archive