Showing posts with label DARURAT. Show all posts
Showing posts with label DARURAT. Show all posts

Wednesday, October 06, 2021

RASIONAL KAH KETUA PEMUDA UMNO MINTA ISTIHAR DARURAT DI MELAKA?


YANG minta DUN bubar adalah ADUN Umno. Yang menyebabkan kerajaan pimpinan Umno tumbang juga ADUN parti itu. Rasional kah Umno minta istihar darurat?

DUN Melaka tidak sepatutnya dibubarkan, jika pemimpin Umno memikirkan kepentingan rakyat, bukan kedudukan.

Jika DUN tidak dibubarkan, pihak yang mempunyai sokongan dapat menubuhkan kerajaan. Kerajaan yang memerintah akan  juga bekerja untuk rakyat.

Di sebalik istihar darurat membolehkan ADUN Umno kekal sebagai Ketua Menteri selama mana darurat itu berkuat kuasa.

Sebelum ini, pemimpin utama parti itu menolak darurat dilaksanakan semasa kerajaan Perikatan Nasional. Mengapa pula sekarang beria-ia sangat?

Rakyat negara ini perlu melihat tindak tanduk pemimpin parti itu, yang cenderung pada kedudukan berbanding rakyat. Jika kedudukan mereka terjamin, maka semua OK, jika tidak maka buruk.

PRN negeri Melaka perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh perwartaan pembubaran DUN, makna kata, sebelum 5 Disember tahun ini.

Jangan jadikan alasan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk darurat, kerana ianya satu alasan yang difikirkan semula. Jika Covid-19 adalah penyebab, mengapa Ketua Menteri yang hilang sokongan memohon TYT Melaka bubarkan DUN? Jangan pergunakan alasan, untuk kekalkan kedudukan.

PRN Melaka boleh diadakan dengan SOP yang ditetapkan, selain itu, pengundi lebih 80 peratus lengkap divaksin. Ancaman Covid-19, kekal ada, tetapi dalam keadaan terkawal, memandangkan virus tersebut sudah mendekati fasa endemik.

Dalam keadaan sekarang, tidak cukup kukuh mengistiharkan Darurat Kesihatan di Melaka, kerana jika jalan itu yang diambil, tersangat jelas, keutamaan adalah kedudukan,bukannya kepentingan rakyat.

Friday, May 22, 2020

TUN BERDEPAN DUA MUSUH

Perjalanan politik anak bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad iaitu Mukhriz agak berliku baik ketika bersama di dalam UMNO mahupun kini bersama Bersatu.

Dua kali Mukhriz gagal menamatkan tugasnya selaku Menteri Besar Kedah iaitu pada tahun 2016 ketika masih bersama UMNO/BN dan kali ini bersama Bersatu.

Plotnya hampir sama dengan krisis yang berlaku pada tahun 2016. Beliau disingkirkan UMNO kerana penentangannya terhadap Presiden UMNO ketika itu Najib Razak.

Kali ini cerita yang sama juga berulang apabila beliau secara terbuka menentang kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama UMNO, PAS dan GPS.

Pada tahun 2016, Mukhriz bersama bapanya, Muhyiddin dan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal secara terbuka mengkritik dan mendesak Najib yang juga Perdana Menteri ketika itu supaya meletak jawatan kerana dikaitkan dengan skandal 1MDB

Dalam satu jamuan makan malam sempena perhimpunan agung UMNO tahun itu di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, Mukhriz di hadapan bapanya dan Muhyidin secara terbuka mengkritik kepimpinan Najib.

Najib pada masa itu tiada pilihan lain kerana enggan tunduk kepada desakan sesuatu perlu dilakukan dan tindakan mesti diambil.

Kecuali Shafie yang keluar secara sukarela, Muhiyiddin dan Mukhriz disingkirkan daripada UMNO,  dan mereka membentuk Bersatu sehingga berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Kali ini plot yang sama dengan skrip hampir sama, kerana bersama bapanya menentang Muhyiddin, sekali lagi Mukhriz hilang jawatan Menteri Besar.

Malah Mukhriz ketika sidang media mengumumkan peletakan jawatan secara terbuka menegaskan yang beliau berpegang teguh kepada pendirian ayahandanya untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Mukhriz bagaikan menjadi mangsa keadaan kepada percaturan politik bapanya.

Sebelum PRU-14 lalu "3M" Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz menjadi tonggak yang menentang kepimpinan Najib dalam Umno.

Boleh dikatakan, majoriti rakyat cukup kagum kepada 3M ini ketika itu, namun situasinya agak berbeza selepas PH berjaya menguasai Putrajaya.

Mahathir sejarahnya memang terkenal dengan sikap suka berkonfrantasi dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan bekas Perdana Menteri.

Daripada Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sehinggalah kepada Najib, semuanya tidak terlepas daripada menjadi mangsa Mahathir.

Kini giliran Muhyiddin pula menjadi mangsa kepada serangan Mahathir, dengan rasminya Mukhriz disingkirkan, maka Perdana Menteri perlu bersiap sedia untuk menerima serangan dan percaturan politik bekas Perdana Menteri dua kali itu.

Persoalannya apakah percaturan Mahathir kali ini mampu menjatuhkan Muhyiddin? Ini kerana Muhyiddin merupakan pengikut setia yang amat memahami percaturan Mahathir.

Ketika Mahathir mendesak bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi supaya berundur, Muhyiddin digunakan bagi menekan Pak Lah ketika itu, begitu juga ketika mendesak Najib, Muhyiddin juga turut digunakan.

Episod yang dilalui Muhyiddin kali ini tidak ubah dengan apa yang dilalui Najib ketika menjadi Perdana Menteri. Kemungkinan tekanan lebih kuat akan dikenakan terhadap Muhyiddin?

Cuma bezanya kali ini Muhyiddin bukan saja mendapat sokongan sebahagian besar pemimpin Bersatu, bahkan turut mendapat sokongan UMNO termasuk Najib, PAS dan GPS serta kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Jadi, secara tidak langsung Mahathir kini mempunyai dua "musuh politik" yang perlu dihadapi iaitu Muhyiddin dan Najib untuk kembali ke tampuk kuasa.

Kali ini, Pakatan Harapan (PH) pula dijadikan "kenderaan" oleh Mahathir untuk mencapai matlamatnya dan mengembalikan PH ke tampuk kuasa.

Persoalannya, mampukah percaturan Mahathir kali ini untuk berdepan dengan dua musuh politiknya?

Wednesday, May 20, 2020

PN BOLEH HILANG MAJORITI JIKA ADA MP HILANG KELAYAKAN


PENULIS yakin 113 ahli parlimen yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan teguh sehingga parlimen dibubarkan. Akan tetapi, jumlah itu akan berkurang jika ada MP daripada kalangan penyokong itu hilang kelayakan.

Kita tahu, terdapat 6 MP daripada jumlah tersebut sedang dibicarakan di mahkamah. Walaupun demikian, status kehilangan kelayakan mereka itu memerlukan proses yang panjang, kerana akan berlarutan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Kerana proses mahkamah memerlukan masa yang panjang, maka peluang hilang kelayakan mereka dalam tempoh masa 3 tahun amat lah tipis.

Enam MP yang sedang dibicarakan tersebut adalah MP Pekan, MP Bagan Datuk, MP Putrajaya, MP Pontian, MP Baling dan MP Kinabatangan kesemuanya daripada parti Umno.

Politik di negara ini, istilah lompat parti atau bertukar sokongan sudah menjadi new normal dan legal, maka penulis tidak terkejut, jika ada MP bertukar arah. Para MP yang ada kemungkinan bertukar arah tersebut, adalah mereka yang ada kaitan dengan mantan Timbalan Presiden PKR-Dato Azmin Ali.

Kebarangkalian bahawa akan ramai lagi MP daripada PKR mengikut jejak Azmin tidak dapat ditolak memandangkan derasnya para pemimpin atau ahli-ahli parti itu semacam berlumba-lumba meninggalkan parti pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim tersebut.

Tarikan bahawa PN bakal wujud sebagai parti boleh menjadi tapak politik baharu mereka, khususnya MP daripada kaum melayu atau bumiputera.

Faktor tarikan lain, bagi para MP melayu/bumiputera adalah kebarangkalian mereka menang dalam pilihanraya amat tipis di kawasan-kawasan mereka jika berhadapan calon-calon daripada PN, kerana berasaskan kepada komposisi pengundi.

Telah terbukti di Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjong Piai dan Kimanis, semasa PRK diadakan di kawasan-kawasan tersebut.

Memang pada kedudukan kerajaan PN yang hanya mempunyai kelebihan 2 kerusi adalah sebuah kerajaan yang tidak stabil atau kerajaan dihujung tanduk, akan terus cuba ditumbangkan oleh pihak lawan, menerusi kaedah lompat parti. Usaha pihak pembangkang akan berterusan sehinggalah parlimen dibubarkan.

Monday, May 18, 2020

GAMBARAN SEBENAR KERAJAAN BETA

GAMBARAN sebenar kerajaan Beta (merujuk kepada SPB Agong) adalah 113 ahli parlimen menyokong; 108 ahli parlimen menentang dan 1 ahli parlimen bebas.

Kedudukan sokongan 113 adalah kerajaan majoriti menepis dakwaan kononnya kerajaan Beta adalah kerajaan minoriti.

Menurut Perlembangaaan Malaysia, Kerajaan yang memerintah merujuk kepada Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Secara matematik, kerajaan Persekutuan tidak perlu diuji kerana terbukti mempunyai majoriti. Sehingga tulisan ini sedang dipersiapkan, tiada seorangpun daripada 113 ahli parlimen yang berada di blok kerajaan semasa sidang Dewan Rakyat hari ini mengistiharkan diri bukan penyokong kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhiyiddin Yassin.

Penulis juga suka merujuk surat akujanji Dato Seri Anwar Ibrahim bertarikh 16 Mei, yang menyokong Tan Sri Muhiyiddn.


Mungkin kerana surat tersebut, maka TIADA seorangpun ahli parlimen PKR hadir pada sidang akhbar Tun Dr Mahathir bersama Datuk Shafie Apdal, Lim Guan Eng dan Mat Sabu post Sidang Parlimen hari ini.

Jika betul lah surat AKU JANJI tersebut, jika berlaku UNDI TIDAK PERCAYA, kumpulan yang menolak hanya berjumlah 68, manakala yang TIDAK mengundi 40+1. Jika pun surat tersebut palsu, maka Kerajaan Perikatan Nasional (Kerajaan Beta) kekal dengan sokongan 113 daripada 222 ahli parlimen Malaysia.

Kerana jumlah sokongan tersebut, maka tidak wujud bahawa Kerajaan takut mengadakan perbahasan atau sidang yang lebih lama, melainkan kerana FAKTOR wabak COVID-19 adalah penyebab.

Sunday, May 17, 2020

DALAM PN ITU ADA UMNO ADA BERSATU

NAMPAKNYA penyokong Parti Warisan dan sekutunya terasa bahang, apabila angin kencang sedang bertiup kerajaan Sabah bakal tumbang bila-bila masa.

Politik Sabah tiada yang mustahil. Apa tah lagi dalam politik itu tiada musuh dan kawan yang kekal, melainkan yang kekal adalah kepentingan.

Kerana keguasaran itu maka ditimbulkan kononnnya wakil rakyat Bersatu Sabah bakal kembali ke parti asal Umno.  Jika pun senario itu berlaku, ertinya, keluar poket kiri, masuk poket kanan, kerana dua parti itu merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) yang sedang memerintah negara.

Pada hari ini parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) telah merangka satu persefahaman (MOU) menyuarakan sokongan terhadap penubuhan Perikatan Nasional melalui kerjasama gabungan parti-parti politik.
Sokongan dinyatakan dalam satu kenyataan ditandatangani bersama oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Ke arah itu, kenyataan berkenaan menjelaskan, memorandum persefahaman (MoU) Perikatan Nasional telah dirangka dengan tujuan-tujuan berikut:
● Memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukun Negara dan menjamin kebajikan serta kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.
● Memastikan satu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif dan bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran serta keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjamin kemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara.
● Memperkukuhkan semangat perkongsian dan kekitaan Malaysia di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung demi merealisasikan aspirasi dan matlamat Perjanjian Malaysia (MA63).
● Memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara.
● Memperkukuh Perikatan Nasional melalui amalan musyawarah dan konsultansi berlandaskan sikap serta sifat saling menghormati atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Dengan wujudnya MOU tersebut, maka memberi motivasi lagi kepada para ADUN Sabah yang sedang bergerak secara senyap meninggalkan kerajaan Shafie Apdal.
Penulis yakin, apabila kabut sirna, nampak lah gunung. Sama-sama kita tunggu.

Wednesday, May 13, 2020

SIDANG PARLIMEN KE-14 AGENDA POLITIK GAGAL


TS Pandikar
PENULIS terbaca paparan terkini facebook mantan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia berkaitan Urusan Dewan Rakyat adalah bergantung kepada Ketua Majlis sesuai dengan Peraturan Mesyuarat 15 yang menentukan agenda urusan Kerajaan dalam Order Paper.

Menurut Pandikar, semasa beliau bertugas sebagai Speaker selama 10 tahun, beliau tidak mengeluarkan kenyataan akhbar sebelum order paper dimuktamadkan, kerana order boleh diubah oleh kerajaan dengan memberikan notis 24jam.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat telah mengeluarkan kenyataan akhbar telah menerima usul tidak percaya daripada ahli parlimen Langkawi dan sebahagian usul daripada MP Batu Sapi untuk dimasukan dalam Urusan Parlimen pada 18 Mei, 2020.

Mungkin kah Speaker terlepas pandang, bahawa di bawah Peraturan Mesyuarat 15, Ketua Majlis lah, iaitu Perdana Menteri yang menentukan agenda mesyuarat bukannya Speaker.

Memang daripada awal-awal lagi telah tersirat kenyataan akhbar Speaker ada unsur politik, kerana tidak mengambil kira keadaan semasa negara yang sedang berhadapan dengan wabak Covid-19.

Kenyataan awal adalah cubaan untuk mengumpul kecaluran untuk mengundang komentar bahawa kerajaan seolah-olah takut mengadakan sidang dewan rakyat kerana khuatir akan kalah dalam undian berbelah bahagi, sedangkan bukan lah demikian, kerana pertimbangan kerajaan adalah berkaitan dengan wabak Covid-19 yang masih sedang dilawan dan belumpun berakhir.

Kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac, 2020 menerusi  fasa 1,2,3, dan 4, dan kini pada tahap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun, 2020.

Terkini urusan Dewan Rakyat 18 Mei, hanya Titah Diraja, dan TIADA sidang selepas itu.

Tuesday, May 12, 2020

MUKHRIZ HILANG JAWATAN KALI KEDUA


JIKA kehilangan jawatan MB kali pertama, tiada yang menduga, tetapi kali ke-2 ini, memang dijangka daripada awal lagi apabila PH tumbang.

Kalau diperhatikan daripada awal-awal lagi, apabila majoriti MP dan ADUN Bersatu ikut gerakan Tan Sri Muhiyiddin Yassin, sewajarnya kerajaan Kedah, sudah lama tumbang. Namun peluang diberikan seluas-luasnya kepada Timbalan Presiden Bersatu itu yang juga MB Kedah untuk memutuskan halatuju atau kedudukan beliau, apa kah ikut rentak atau sebaliknya.

Selepas dua bulan, nampaknya Dato Mukhriz tidak mengubah pendirian beliau, sebaliknya terus bersama PH walaupun Bersatu bukan lagi sebahagian daripada pakatan tersebut.

Keadaan dirumitkan lagi, apabila beliau  menyokong tindakan bapa beliau yang mengemukakan usul tidak percaya kepada Tan Sri Muhiyiddin yang juga Presiden Bersatu sebagai Perdana Menteri.

Mukhriz tidak boleh menyalahkan 4 ADUN Bersatu yang tidak menyokong beliau lagi, kerana kerajaan Kedah tumbang dengan sendirinya apabila 2 ADUN PKR keluar daripada parti dan mengumumkan sebagai ADUN bebas tetapi menyokong kerajaan PN.

DUN Kedah yang mempunyai 36 kerusi, yang diwakili oleh Pas-15, PKR-7, Bersatu-6 (asal 5), Amanah-4, DAP-2 dan Umno-2 (asalnya 3). Draipada 36 itu 19 menyokong Mukhriz PKR, Bersatu, Amanah dan DAP. Apabila 2 ADUN PKR menjadi ADUN Bebas, maka hanya berbaki 17. Kemudiannya, 4 ADUN Bersatu menarik sokongan, maka baki 13 bersama Timbalan Presiden Bersatu tersebut.

Perkembangan terkini seramai 23 ADUN telah mengumumkan membentuk kerajaan PN Kedah.  Sultan Kedah akan melantik MB baharu dalam masa terdekat.

Setakat ini, Dato Mukhriz belum mengumumkan perletakan jawatan sebagai MB Kedah.

USUL TIDAK PERCAYA-TIDAK DIBAHAS- TIADA ISU MORAL BAGI KERAJAAN PN


KALAUPUN ada isu moral jika usul tidak percaya tidak dibahas pada sidang parlimen 18 Mei, hanya pada kaca mata ahli parlimen pembangkang, bukannya pada rakyat.

Kerajaan PN ada lah kerajaan sah berasaskan perlembagaan.

Sepatutnya, semua pihak termasuk pembangkang membantu kerajaan berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara.

Kerana tindakan pembangkang mencuba meruntuhkan kerajaan yang mendapat pengiktirafan dunia melawan pandemik covid-19, maka rakyat sudah dapat menilai, bahawa mereka hanya mabuk kuasa, jauh sekali membela kepentingan rakyat dan negara.

Terserlah sungguh, menerusi 3 usul yang diterima Speaker daripada pembangkang, tiada satu pun usul berkaitan pandemik covid-19, ekonomi, pakej bantuan kepada rakyat, melainkan hanya mahu merebut kuasa.

Di mata rakyat, pembangkang sudah hilang integriti. Di mata rakyat mereka itu rakus kuasa.

Bayangkan negara sedang berperang dengan pandemik covid-19, mereka langsung tidak menghiraukannya, melainkan terus mencatur bagai mana mendapatkan kuasa.

Kalau lah bukan kerana status mereka sebagai wakil rakyat, rakyat tidak memandang mereka.

Saturday, May 09, 2020

KENAPA KAMU CEMBURU PADA RAKYAT?


HARI ini majoriti rakyat selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional.

Hari ini majoriti rakyat selesa dengan Tan Sri Muhiyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Hari ini nelayan, pekebun, petani, penoreh, penarik beca, pemandu teksi tidak lagi dihina kerana pemalas dan mengharap bantuan kerajaan.

Hari ini penjawat awam tidak takut lagi dibuang kerja; anggota perubatan tidak dipotong elaun kritkal; hari ini penjawat awam tidak lagi dituduh makan tidur.

Pokoknya majoriti rakyat bersyukur pada kerajaan Tan Sri Muhiyiddin Yassin. Sehinggakan semasa PKP ini ada yang menggunakan tag “Yes Sir- #WeStayAtHome, #YouStayOurPM.

Kamu mendakwa bahawa kerajaan PN bukan kerajaan mandat rakyat... tunggu dulu.. semasa kamu tubuh kerajaan Perak dengan mengambil 2 ADUN BN; tubuh kerajaan Sabah kerana mengambil 6 ADUN BN; tubuh kerajaan Kedah kerana ambil satu ADUN BN-kamu kata mandat rakyat; Apa beza dengan perikatan Bersatu-UMNO-PAS-GPS-MCA-MIC-PBRS-STAR- bukan kah juga mandat rakyat!!! Ooo lupa, kalau berpihak pada kamu-baru istilah mandat rakyat tergunapakai, manakala pihak lain tidak boleh.

Kemudian kamu menukar tune- Kamu tidak iktiraf Kerajaan hari ini... ertinya- kamu tidak iktiraf YDP Agong dan Majlis Raja-Raja yang terpaksa ikut berperanaan kerana untuk menyelamatkan Malaysia. 

Kamu lupa, ada di antara kamu, boleh jadi wakil rakyat semula, kerana pengampunan Agong, kamu lupa di antara kamu ada dilantik sebagai Perdana Menteri Interim kerana YDP Agong.. kamu kata, kamu tidak iktiraf kerajaan hari ini, ertinya juga kamu tidak iktiraf pengampunan kamu, perlantikan kamu.. kamu mahu apa sebenarnya? Menukar negara ini kepada Republik?

Kamu langsung tiada hati membela rakyat; sudah lah terjejas kerana PKP kerana serangan Covid-19. 

Di saat-saat rakyat bersyukur kerana hampir terlepas daripada genggaman COVID-19, di situ lah kamu ambil kesempatan mahu meruntuhkan kerajaan dengan bersembunyi di balik demokrasi.

Memang kamu tahu, bahawa majoriti rakyat sangat sayang pada kerajaan hari ini, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa dalam sistem berparlimen, kerana untung nasib mereka hanya ditentukan oleh 222 orang daripada 32 juta.

Pada 29 Februari, 114 berpihak  di antara kamu berpihak kepada rakyat, maka wujud lah kerajaan hari ini, akan tetapi kegembiraan rakyat itu terus diganggu oleh 107 di antara kamu.

Pada 18 Mei, 107 di antara kamu ini, mencuba mempengaruhi 5 daripada 114, untuk menumbangkan kerajaan yang rakyat selesa.

Jika kamu berjaya mengumpul 112 daripada 222, kerajaan ini tidak akan diserahkan kepada kamu.. melainkan akan kembali kepada rakyat menerusi pilihanraya..

Kamu jangan menghadap YDP Agong untuk minta dilantik sebagai kerajaan, kerana memang kamu awal-awal lagi tidak mengiktif fungsinya.

Memang kamu, membawa misi, kalah jadi abu menang jadi arang. Biar menang sorak kampung tergadai. Makna kata, rakyat kamu jadikan sebagai padang permainan untuk memenuhi nafsu kamu!!!.

Friday, May 08, 2020

USAHA TERANCANG JATUHKAN KERAJAAN PN


DATUK Shafie hantar usul percaya kepada Tun, Datuk Liew Vui Keong hantar usul Tan Sri Muhiyiddin tidak mendapat keyakinan ahli parlimen, kemudian Tun hantar usul, serupa dengan MP Batu Sapi tersebut.

Sebenarnya 3 usul tersebut bermatlamat sama, hanya usul Shafie melanggar Perlembangaan Negara kerana mempertikai kuasa YDP Agong. Atas sebab itu speaker tolak. Manakala usul VKLiew kata speaker sebahagian diterima, iaitu usul yang serupa dengan usul Tun, kerana speaker menerima usul tersebut.

Melihat 3 usul tersebut, ke tiga-tiga MP itu, langsung tidak mempertimbangkan apa yang berlaku dalam negara, khsususnya wabak covid-19.

Telah diakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa negara terlambat 9 hari melaksanakan PKP, jika tidak kluster terbesar Sri Petaling tidak akan menjadi penyumbang kepada kes positif di negara kita. Juga kluster Italy di Sarawak tidak akan menjadi penyumbang, termasuk beberapa kluster lain.

Perlu diingat semasa kluster itu terwujud adalah pada kerajaan lalu.

Kerajaan PN bertindak tepat walaupun terlambat. Kerana tindakan kerajaan itu sebahagian besar setuju dan sokong, sebab itu, semasa kerajaan Persekutuan laksanakan PKPB, 9 negeri tidak ikut, memilih PKP, makna kata tindakan kerajaan PN melaksanakan PKP disokong majoriti rakyat.

Walaupun majoriti rakyat sokong tindakan kerajaan PN, tetapi 3 MP tersebut pura-pura tidak nampak, akan tetapi memaksa ahli parlimen yang hanya 222 orang berbanding 32 juta rakyat.

Kalau lah diadakan refendum sekarang, penulis yakin tidak kurang 70% rakyat akan menyokong kerajaan PN, tetapi malangnya suara tersebut, gagal diterjemahkan oleh 3 MP atau PH, Warisan dan Kem Tun yang hanya berjumlah 107 orang.

Kini, tersurat, bahawa ahli parlimen seramai 107 itu mahu menafikan suara rakyat majoriti, dan cuba menjatuhkan kerajaan, dengan harapan mereka akan dapat 5 ahli parlimen menyokong mereka, supaya kerajaan Tan Sri Muhiyiddin Yassin kehilangan sokongan majoriti mudah.

Rakyat sudah menjadi mangsa selama 22 bulan, tak kan diulangi lagi..

Rakyat negara ini, secara umumnya mahu kerajaan yang ada bertahan sehingga PRU-15. Bukan lama pun, hanya 3 tahun lagi. Cukup lah menjadikan rakyat sebagai padang permainan.

Rakyat cukup tertekan sudah, kerana PKP. Kini semua rakyat tanpa kecuali perlu menyesuaikan diri dengan norma-norma baharu. Jangan tambah kesengsaran lagi, kerana merebut kuasa.

APA KAH PEMERINTAHAN DARURAT BERULANG?


SERANGAN wabak COVID-19  belum berakhir. Jika berlaku perubahan kerajaan atau pilihanraya selepas 18 Mei, 2020, kemungkinan berlaku gelombang baharu serangan virus tersebut dalam negara.

Malaysia mengalami perebakan serangan virus tersebut semasa perubahan kerajaan antara 24 Feb-10 Mac, kerana hanya 11 Mac kerajaan baru yang dibentuk dapat bekerja, seminggu kemudian diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke fasa 5.

Walaupun kawalan transmisi COVID-19 dalam negara terkawal, akan tetapi, perang melawan virus tersebut belum berakhir.

Dalam keadaan jumlah kes positif yang mempunyai potensi keboleh jangkitan masih di atas 1,000, selain munculnya kluster-kluster baharu, perubahan kerajaan boleh menganggu kerja-kerja mengawal transmisi virus tersebut. Sebabnya, ada lah lumrah, setiap kali berlaku perubahan, maka cara kerja juga berubah, seperti kata peribahasa sekali bah sekali pantai berubah.

Kerajaan sekarang sedang berhadapan dengan musuh halus yang tidak nampak, akan tetapi mempunyai potensi besar mengambil nyawa.

Kerajaan PN sudah mengatur berbagai strategi dan metodologi melawan virus yang melibatkan berbagai strata pihak berkuasa yang diketuai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jika berlaku perubahan kerajaan, ertinya juga perubahan para individu, maka gerak kerja akan retak di tengah jalan, sebagai akibat jalinan komunikasi yang tersekat, kerana setiap individu yang baru mengambil alih terpaksa belajar daripada nol. Jika itu berlaku, maka rakyat lah yang menerima impak, termasuk menjadi mangsa virus dan jika tidak bernasib baik, maka kematian lah jawabnya.

Penulis berpendapat, jika berlaku perubahan kerajaan, kerana kerajaan yang ada tidak mendapat sokongan majoriti mudah di Dewan Rakyat, maka YDP Agong perlu mengekalkan kabinet yang ada sebagai kabinet sementara, dan seterusnya mengistiharkan darurat, sehinggalah keadaan negara benar-benar bebas daripada wabak COVID-19.

Hakikat perlu diterima, bahawa kerajaan hari ini bersama-sama kabinetnya telah berkerja dengan baik. Menggantikan kerajaan dengan kabinetnya sekali adalah merugikan negara dan rakyat.

Blog Archive