Showing posts with label DAP tetap tolak hudud. Show all posts
Showing posts with label DAP tetap tolak hudud. Show all posts

Saturday, July 28, 2012

Hudud: Tamparan kepada PAS lagi- Karpal tetap tentang Hudud

DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini walaupun mengakui Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata kenyataan itu adalah jelas dan tidak pernah berubah kerana perundangan Islam tidak akan dilaksanakan sama sekali.

“Apa yang saya cakap ini adalah pendirian DAP, bukan pandangan peribadi saya. Sebagai Pengerusi DAP, saya bertindak sebagai jurucakap parti dan apa yang dikatakan oleh saya adalah kenyataan rasmi parti,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, beliau tidak menghiraukan pendapat Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai  pelaksanaan hudud ketika bertemu dengan pemimpin Pas sebelum ini.

“DAP sama sekali tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan hukum itu di negara ini.

“Saya tidak kisah apa yang Kit Siang dan Guan Eng cakap mengenai hukum hudud sewaktu bertemu pemimpin Pas,. Tetapi bagi saya ia tetap tidak boleh dilaksanakan di negara ini,” katanya.

Tuesday, November 15, 2011

Karpal mendakwa tindakan PAS laksana Hudud merugikan Pakatan

KARPAL SINGH menegaskan, bahawa DAP tidak akan membenarkan pada sebarang keadaan bahawa Hudud di laksanakan di negara ini termasuk di Kelantan.

Tindakan PAS menimbukan isu hudud sejak akhir-akhir ini, menurut Pengerusi DAP itu merugikan Pakatan, dan akibatnya gabungan tiga parti itu kehilangan sokongan daripada rakyat bukan islam.

Friday, August 27, 2010

Hasrat Pas laksana Hudud hanya mimpi

Hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud tidak akan tercapai kerana parti itu secara sendirian tidak mampu menguasai majoriti kerusi Parlimen untuk meminda Perlembagaan, kata penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

“Saya tidak nampak hudud boleh dilaksanakan oleh satu parti sahaja. Ia memerlukan sokongan besar di dalam dewan (Rakyat),” katanya.

Zaid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan berkata impian melaksanakan hukum hudud tidak mungkin tercapai berdasarkan kedudukan kerusi parti PAS dalam Dewan Rakyat yang memerlukan sokongan dua pertiga anggota dewan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud biarpun rakan pakatan pembangkang, DAP, membantah hasrat itu dengan menyifatkan Malaysia adalah negara sekular.

Zaid berkata perselisihan pendapat berhubung pelaksanaan hukum hudud di antara PAS dan DAP hanyalah berasaskan perbezaan impian politik masing-masing.

“Ketiga-tiga parti (PAS, DAP, PKR) telah bersetuju segala undang-undang yang kita buat atau kita gubal mestilah mengikut perlembagaan negara,” katanya dan menurutnya dasar bersama itu ditandatangani pada Disember 2009.

Tuesday, August 24, 2010

Saya tak sendirian tolak Hudud-negara islam: Karpal Singh

Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh pada hari Isnin menafikan dakwaan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau bersendirian dalam pendiriannya menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam yang dicadangkan PAS.

Karpal Singh berkata penasihat DAP Lim Kit Siang juga telah menyatakan pendiriannya bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular dan pengenalan hukum hudud di negara ini dan pewujudan sebuah negara Islam bukan dasar pakatan pembangkang.

"Kenyataan oleh Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menunjukkan bahawa saya bersendirian dalam DAP yang menentang hudud dan negara Islam," katanya dalam kenyataan.

Karpal Singh mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz dua hari lepas bahawa beliau berpendapat kenyataan pemimpin DAP itu yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud dan negara Islam adalah pandangan peribadi beliau.

"Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti," kata Mursyidul Am PAS itu.

Karpal Singh yang menyambut baik kenyataan pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa hukum hudud adalah tidak sesuai dilaksanakan, berkata: " PAS patut menerima hakikat bahawa mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam merupakan langkah sia-sia dan tidak akan dapat dicapai."

"Langkah itu bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dan menurutnya beliau berharap PAS akan mempertimbangkan pendiriannya mengenai hukum hudud dan negara Islam.

Monday, August 23, 2010

Tamparan hebat pada Nik Aziz: DAP ulangi: Hudud-Negara Islam bukan dasar Pakatan

Kemana PAS letakan perjuangannya? DAP dari awal-awal lagi menjauhkan diri daripada perbincangan mengenai pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam kerana kedua-duanya aspek itu bukan dasar Pakatan Rakyat (PR).

Penasihat DAP Lim Kit Siang mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular.

“Undang-undang hudud dan negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat.

“Itu sebab isu-isu ini tidak disebutkan dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diumumkan Disember 2009,” kata Lim dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Dasar itu diputuskan pada konvensyen sulung PR, yang dibentuk April 2008 dan akhir tahun lalu.

Di bawah Dasar Bersama itu, PR membuat pendirian akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi persekutuan manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.

“Undang-undang hudud dan negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat, apa-apa perubahan dasar perlu menerima persetujuan ketiga-tiga parti komponen dan tiada konsensus dalam Pakatan Rakyat mengenai undang-undang hudud dan negara Islam ” kata Lim lagi.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini menekankan idea negara Islam disokong dan digerakkan oleh tiga perdana menteri terkemudian — Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Kata Lim, kepimpinan MCA, Gerakan, MIC, SUPP dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) yang bersedia memberikan sokongan bulat kepada tiga perdana menteri terakhir, bermula daripada deklarasi 929 Dr Mahathir bahawa Malaysia adalah negara Islam pada 29 September 2001.

Perbincangan baru berhubung pelaksanaan undang-undang hudud dan negara Islam bermula apabila Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh mengumumkan bahawa beliau kekal menentang undang-undang sedemikian jika PR mengambil alih kerajaan persekutuan.

Kata Karpal, undang-undang sedemikian “tidak berperlembagaan” dan setiap orang perlu menghormati perlembagaan.

DAP mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadinya.

Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

“Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti,” katanya.

Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz, yang dibuat Khamis lalu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

“Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini.

“Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,” kata Karpal.

Blog Archive