Showing posts with label Arab Spring. Show all posts
Showing posts with label Arab Spring. Show all posts

Sunday, February 10, 2013

Arab Spring Boleh Berlaku Di Malaysia: Mantan IGP

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yakin 'Arab Spring' boleh berlaku di negara ini sekiranya pihak yang kalah pilihan raya umum akan datang tidak puas hati dengan keputusannya. 

"Saya yakin pihak yang kalah akan menggunakan penyokong-penyokong mereka membuat huru-hara dan rusuhan bagi menjatuhkan kerajaan sebagaimana berlaku di Asia Barat. 

"Pihak-pihak yang bertanding sewajarnya mengawal diri dan bersikap rasional dari sekarang," katanya semasa menjawab soalan hadirin pada taklimat khas kepada anggota Komuniti 1Malaysia di Kompleks Penyiaran Kedah hari ini. 

Menurut Musa pihak polis sewajarnya bertindak lebih awal mengumpul maklumat bagi menghalang sebarang kejadian buruk berlaku. 

"Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) lebih bersifat pencegahan dihapuskan. Akta baru belum tahu lagi keberkesanannya. 

"Orang yang didakwa menggalakkan keganasan di negara luar ditangkap, orang yang membuat rusuhan dalam negara tidak pula ditangkap dan didakwa," katanya. 

Kepada satu soalan, Musa menegaskan beliau tidak akan menyertai sebarang parti politik sebaliknya akan berjuang atas diri sendiri bagi demi kepentingan agama, bangsa dan negara. 

Dalam taklimatnya, beliau melahirkan rasa sedihnya kerana ada segolongan ahli politik negara ini sanggup menggadai maruah bangsa dan agama demi mencapai cita-cita politik mereka. 

"Dulu agensi perisikan Amerika, CIA menyerap masuk bagi menghuruharakan sesebuah kerajaan tetapi sekarang Yahudi dan Barat menggunakan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menerap konsep liberisme dan sebagainya. 

"Mereka gunakan NGO-NGO menuntut kerajaan lebih telus, menggalakkan LGBT, biseksual, transeksual dan sebagainya. Ini cara mereka hendak melemahkan Islam. Jika tidak liberal barat akan anggap kerajaan tersebut zalim," tambahnya. 

Musa berkata fitnah terus-terusan pemimpin pakatan pembangkang yang menyifatkan kerajaan pusat sebagai perasuah dan lemah setiap hari adalah supaya rakyat mempercayai mereka. 

"Taktik ini mampu mempengaruhi rakyat padahal mereka yang menguasai empat buah negeri tidak mentadbir dengan lebih baik," katanya. 

"Saya khuatir keselamatan negara akan terancam sekiranya kerajaan gagal menangani pemimpin-pemimpin rakus, jenayah terancang, ah long, pelampau agama, hasutan dan gerakan sulit. 

"Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terbabit dan tidak dibuat secara terpilih," kata Musa. 
- Bernama

Monday, November 28, 2011

Arab Spring tak akan merebak di Malaysia: Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemungkinan besar Arab Spring tidak akan merebak ke Malaysia kerana kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bekerja keras dalam memenuhi tuntutan rakyat.

"Jika kerajaan tidak beri perhatian kepada masalah-masalah rakyat, maka rakyat akan memberontak.

"Tetapi Malaysia sejak kemerdekaan, telah bekerja keras untuk mewujudkan peluang kepada rakyat ... Saya tidak nampak bagaimana Arab Spring boleh menjangkiti kita," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai prestasi Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju bahawa Datuk Seri Najib Razak gigih berusaha tetapi menghadapi satu tugas yang sukar berbanding zamannya.

"Dia tidak mempunyai majoriti yang saya miliki, (saya ada) majoriti untuk mengendalikan ramai pembangkang, beliau mempunyai majoriti yang kecil jadi ini adalah bahagian yang sukar."

Sambil memberi amaran bahawa amalan rasuah akan menjadi penghalang kepada program transformasi kerajaan, Dr Mahathir berkata beiau berpuas hati dengan kemajuan transformasi Najib.

"Jika ia boleh berjaya 100 peratus, itu soalan lain. Rasuah tidak mudah untuk dibendung, rasuah terdapat di mana-mana sahaja.

"Jika ia adalah rasuah di bawah meja, maka ini lebih mudah untuk dibendung, tetapi jika rasuah adalah di atas meja dan telah menjadi satu budaya, maka ia lebih sukar ditangani," katanya.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir berkata bahawa Malaysia masih belum terjerumus ke satu peringkat yang membimbangkan.

Sambil memuji tindakan pantas reaksi kerajaan terhadap bantahan ke atas Akta Perhimpunan Aman, beliau berkata terpulang kepada rakyat untuk mentafsirkan sama ada kerajaan "tunduk” ataupun "sensitif" terhadap keperluan rakyat.

"Saya fikir kerajaan mendengar suara rakyat dan bertindak dengan cepat. Semasa zaman saya, saya tidak mempedulikannya langsung,” katanya sinis.

Empat hari selepas dibentangkan di Dewan Rakyat, kabinet memutuskan rang undang-undan itu perlu dipinda tetapi menegaskan perhimpunan jalanan tetap diharamkan.

Blog Archive