Thursday, November 07, 2024

PRN-17 SABAH: KERJASAMA YANG BAGAIMANA?

ASAS utama kerjasama adalah kepercayaan, saling menghormati, ketelusan untuk kepentingan negeri dan rakyat.

Adalah janggal bekerjasama dengan parti yang mana pemimpin parti itu, saban hari memaki hamun, menabur fitnah, merendah-rendahkan pemimpin lain, selain berperilaku buruk.

Bekerjasama dengan pemimpin berperilaku buruk, antaranya terpalit perkara-perkara mungkar, melanggar undang-undang, tidak amanah, hanya membawa kemudaratan, tidak akan tercapai maksud demi kepentingan negeri dan rakyat.

Benar lah, asas parti-parti atau pemimpin bekerjasama dalam pilihan raya adalah untuk mengumpul penyokong/pengundi masing-masing untuk mendapatkan sejumlah undi untuk menang. Dalam demokrasi, nombor adalah matlamat, kerana nombor lah membezakan pencapaian calon-calon.

Kerana obses pada nombor, maka bekerjasama, tidak mengambilkira latar belakang mereka yang dibawa kerjasama, sebaliknya ditempuh tindakan menghalalkan cara.

Menjelang PRN-17, walaupun Gagasan Rakyat Sabah, komponen GRS, telah menubuhkan jawatankuasa perunding agihan kerusi antara komponen GRS, kemudiannya meneroka kerjasama dengan parti-parti lain, terutama parti-parti yang sedang menerajui kerajaan negeri, dan atau parti –parti selain itu, perlu jelas akan kerjasama itu, tidak membabitkan parti yang dipimpin pemimpin yang boleh memudaratkan misi DEMI KEPENTINGAN NEGERI DAN RAKYAT.

Rakyat zaman sekarang tidak lagi membuta tuli, terutama pengundi muda atau pengundi kali pertama, melainkan pertimbangan mereka adalah pemimpin yang dapat memberi contoh tauladan tentang kelakuan yang baik-baik, bukannya kelakuan suka mencarut, memaki hamun, apa tah lagi perbuatan takabur, seperti minum darah.

Bentuk kerjasama biarlah antara pemimpin yang tahu adab, sopan santun, dan adat yang diterima pakai majoriti rakyat.

Kerjasama selain ikhlas dan telus, akan tetapi turut diberkati oleh Tuhan YME. Jangan lah kerjasama itu hanya untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan semata-mata, kerana ianya tidak akan bertahan lama.

Latar belakang kerjasama politik “ for the sake of convenince” sepertimana berlaku sebelum ini, hanya menyusahkan rakyat sepertimana berlaku pada 6 Januari 2023 di Sabah. Jika tindakan seperti itu tidak dapat dibendung, maka merugikan rakyat, kerana parti dan pemimpin yang diberi mandat tidak dapat menunaikan janji kepada rakyat.

Kerana pengalaman itu, maka di masa depan, sebarang kerjasama perlu diteliti dengan mendalam, supaya tidak berlaku seperti caption dalam tulisan ini.

No comments:

Post a Comment