Friday, November 10, 2023

FENOMENA BAHARU POLITIK TANAH AIR: LOMPAT TIDAK KELUAR PARTI

Antilompat, tidak sepenuhnya dapat mengwujudkan kestabilan politik, kerana tidak dapat menghalang tindakan “Lompat Tidak Keluar Parti” atau sokong pihak lain tapi kekal dengan parti.

Hakikatnya strategi ini yang digunapakai Perikatan Nasional (PN) semasa PRN2023 enam negeri, jika dapat menawan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan, akan berlaku perubahan kerajaan Persekutuan, melalui cara “lompat tidak keluar parti”.

Kini telah terbukti, tindakan empat ahli parlimen Bersatu, lompat tidak keluar parti. Tindakan yang boleh dibuat oleh Bersatu hanya menggantung keahlian, kerana apapun tindakan terhadap wakil rakyat yang melompat itu tidak akan kehilangan kerusi.

Dengan tindakan menggantung, wakil rakyat yang melompat itu tidak dapat dapat bergiat dalam politik menerusi mana-mana flatform, kerana jika bertindak, maka akan tertakluk Undang-Undang Antilompat, dan akan kehilangan kerusi.

Kedudukan di parlimen pula, walaupun wakil rakyat itu berpindah blok, daripada blok pembangkang ke blok kerajaan, “tidak” dianggap sebagai menukar parti menurut keputusan Speaker, akan tetapi hanya menukar sokongan. Menukar sokongan tidak tertakluk dalam Undang-Undang Antilompat (elemen yang terlepas pandang dalam undang-undang itu).

Fenomena lompat tidak keluar parti akan terus menghantui politik tanah air samada sekarang atau di masa hadapan, jika Undang-Undang Antilompat tidak dikemaskini, dengan memasukan elemen “menukar sokongan”.

Jika elemen “menukar sokongan” tidak dimasukan, maka tujuan undang-undang antilompat untuk mengwujudkan kestabilan politik tidak tercapai.

Di masa hadapan, kerajaan boleh sahaja tumbang, jika sebahagian wakil yang menyokong kerajaan berpaling tadah, dengan tindakan sokong pihak lain tanpa keluar parti yang diwakili. Maknanya, tiada kerajaan yang selamat, selagi terdapatnya wakil rakyat yang mengkompromikan integriti, prinsip dan perjuangan.

No comments:

Blog Archive