Wednesday, October 18, 2023

KE ARAH PEMBASMIAN KEMISKINAN DI SABAH

JUMLAH keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun 2023 bagi rakyat Sabah adalah RM696.3 juta membabitkan 799,782 penerima (22.6 peratus daripada 3.54 juta rakyat Sabah). Daripada jumlah penerima itu, 35,461 golongan miskin tegar yang menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) berjumlah RM21.27 juta.

Secara keseluruhan, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah RM 8 billion di bawah inisiatif STR bagi tahun 2023 melibatkan 8.7 juta penerima STR di seluruh negara. Ini bermakna penerima STR di Sabah merangkumi 9% dari jumlah keseluruhan penerima STR di Malaysia.

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah salah satu inisiatif di bawah konsep Payung Rahmah bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

Sumbangan Asas Rahmah (SARa) adalah sebuah program lanjutan kepada inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bertujuan meringankan beban sara hidup golongan miskin tegar, dalam bentuk barang keperluan asas tanpa tunai, berjumlah RM 600, dengan kadar RM 100 setiap bulan untuk tempoh 6 bulan.

Angka-angka tersebut mempamerkan ramai rakyat Sabah yang berpendapatan rendah dan miskin, selari dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pada tahun 2020, peratusan kemiskinan mutlak/ hardcore poverty di Sabah adalah 25.3%, tertinggi di Malaysia dan jauh lebih tinggi berbanding dengan peratusan negara (8.4%).

Manakala, pada tahun 2019, data DOSM menunjukkan bahawa 8 daripada 26 daerah pentadbiran di Sabah telah merekodkan peratusan kemiskinan mutlak melebihi 30%. Daerah Tongod dan Pitas pula telah merekodkan peratusan kemiskinan mutlak melebihi 50%. Isu ini telah dibangkitkan di Dewan Rakyat pada Selasa, kerana tidak mendapat khusus dalam Belanjawan 2024.

Kemiskinan Mutlak adalah keadaan di mana pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup asas iaitu – makanan, tempat perlindungan dan pakaian. Kerajaan Negeri Sabah untuk tahun 2023 memperuntukan RM175 juta diagihkan pada agensi/GLC/GLIC untuk memperkerjakan pencari kerja bagi jawatan perkeranian ke bawah selain memperuntukan RM125 juta untuk membina rumah untuk golongan ini.

Inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARa) hanyalah berbentuk bantuan sementara. Ianya dapat membantu meringankan kesusahan rakyat dengan segera untuk jangka masa pendek sahaja. Tetapi ianya tidak menyelesaikan punca kemiskinan.

Justeru itu, untuk jangka masa panjang, agenda membasmi kemiskinan mestilah berlandaskan kepada usaha memperkasa rakyat antaranya dengan pendidikan dan kemahiran yang relevan ( Give a man a fish, and you feed him for a day; teach a man to fish and you feed him for a lifetime) untuk memecahkan kitaran kemiskinan/ poverty-cycle turun-temurun, dari generasi ke generasi.

Usaha pembasmian kemiskinan di Sabah hanya akan berjaya dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Pelaburan yang banyak akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Sabah. Untuk sekian lama, Sabah telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang lembap: 2018 (1.5%), 2019 (0.7%), 2020 (negatif 9.2%), 2021 (1.1%). Ini telah menyumbang kepada kadar kemiskinan dan pengganguran (2022: 7.7%) yang tinggi di Sabah.

Namun begitu, sejak Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) di lancarkan pada awal 2021, ekonomi Sabah telah menunjukkan prestasi yang lebih memberangsangkan. Pada tahun 2022, Sabah telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi 3.7%. Malah, jumlah perdagangan Sabah 2022 juga telah meningkat sebanyak 35.4% berbanding tahun 2021.

Manakala, di bawah Belanjawan Sabah 2023, ekonomi Sabah di unjurkan meningkat sebanyak 5.0% untuk tahun 2023.

Sudah pasti pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat ini bakal memberi manfaat kepada rakyat Sabah. Justeru itu, usaha pemerkasaan rakyat Sabah dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran menjadi keutamaan, apabila kerajaan negeri meningkatkan dana untuk maksud ini ke RM100 juta daripada RM50 juta.

No comments:

Blog Archive